Pelbagai kisah menarik pernah menjadi paparan program dokumentari terulung TV3, Majalah 3 yang kini bersiaran pada setiap hari Isnin, pukul 9.00 malam. Untuk episod seterusnya pada 11 September, Irin Putri Azmi ingin berkongsi sebuah kisah inspirasi, ‘Tanpa Kaki, Tanpa Tangan, Tanpa Halangan’ tentang semangat kental adik Zy dan bapanya untuk menjalani hidup normal sehingga tercetusnya idea mahu membantu golongan yang tidak bernasib baik itu.
Kisah Inspirasi Menarik Dalam Majalah 3 Siaran 11 September
Zy Lee Kher dilahirkan tanpa kedua -dua belah kaki dan tanpa tangan. Kini, Zy sudah berusia 11 tahun dan dapat menjalani hidup seperti rakan-rakan sebaya yang lain berkat usaha bapanya. Selepas kelahiran Zy, bapanya, Walter Lee, berikrar akan melakukan apa sahaja agar anaknya mampu berjalan dengan sendiri dan hidup seperti kanak-kanak normal.
Walter dan Zy telah bertemu dengan doktor pakar di 16 buah negara untuk mencari jalan supaya Zy dapat berjalan dengan sendiri. Namun mereka pulang dengan perasaan hampa apabila tiada yang mampu memberi harapan.
Akhirnya, mereka sampai ke Hospital University Heidelberg, Jerman, di mana pakar berjaya membentuk kaki palsu yang sesuai untuk Zy. Dia dapat berjalan dengan sendiri pada usia 2 tahun.
Hasil dorongan dan didikan keluarga, Zy telah membesar dengan penuh keyakinan meskipun mengalami kekurangan daripada segi fizikal. Menggunakan kaki palsu dan bukannya kerusi roda telah membolehkan Zy melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga dan rakan-rakan. Antaranya mendaki bukit dan berenang. Kini dia gigih berlatih renang secara serius dengan harapan dapat mewakili negara dalam kejohanan renang antarabangsa suatu hari nanti.
Kepakaran serta kemajuan teknologi perubatan di Jerman jauh ke hadapan berbanding di rantau ini. Bertitiktolak daripada perjalanan Zy, Walter berazam untuk membantu golongan OKU lain di rantau ini yang tidak berpeluang mendapat khidmat perubatan di luar negara. Dia telah menubuhkan NGO Zy Movement Foundation (ZMF) bertujuan untuk merapatkan jurang kepakaran perubatan antara Jerman dan negara-negara ASEAN.
Jangan ketinggalan untuk mengikuti paparan Majalah 3 oleh Irin Putri Azmi tentang adik Zy Lee Kher pada 11 September 2017, pukul 9.00 malam di TV3.
Anda juga boleh menonton program ini melalui strim secara langsung definisi tinggi di www.tonton.com.my. Layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia untuk info terkini.