Dalam program tinjauan dan pemantauan SOP itu, Annuar meneliti kerja pada hari pertama penggambaran supertele terbabit di Dewan Sri Temuan, Damansara Perdana, di sini, petang tadi.
Annuar berkata, pemantauan itu dibuat selepas mendengar keluhan penggiat industri kreatif yang menganggap SOP ditetapkan agak sukar dipatuhi.
“Saya ambil peluang melihat apa sebenarnya berlaku di tapak penggambaran selepas kita diberikan keizinan kembali menjalankan kerja ‘shooting’, baik di dalam mahu pun luar studio.
“Langkah ini adalah susulan daripada dialog yang dihadiri di mana ada yang memberi pandangan SOP yang dikenakan agak sukar untuk dilaksanakan.
“Kita sebagai orang biasa agak sukar memahami suasana di tapak penggambaran. Jadi, saya datang menjenguk. Namun, bukan di sini sahaja, ada beberapa lokasi penggambaran lain selepas ini,”
– Tan Sri Annuar Musa
Yang turut hadir, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri serta penerbit Mermaid Studios, Liyana Jasmay.
Annuar mahu mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pemain industri mengenai SOP penggambaran agar boleh ditambah baik.
“SOP dikenakan disediakan dengan kerjasama FINAS. Jadi, Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat penetapan dari kriteria yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
“Tetapi jika ada perkara yang boleh atau perlu diubahsuai, SOP tidak semestinya ‘rigid’, asalkan kriteria boleh mengawal penularan jangkitan COVID-19.
“Jadi, sekiranya betul ada SOP yang tidak sesuai, kita boleh membuat semakan semula.
“Misalnya, jumlah kru dan pelakon dalam penggambaran ‘indoor’ boleh dikawal. Kemasukan kru dan pelakon juga boleh dihadkan dalam suatu masa.
“Melihat daripada teknik ditunjukkan, pengarah filem boleh mengawal daripada jauh melalui ‘monitor’. Jadi, itu adalah satu cara membantu memudahkan pematuhan SOP,” katanya.
– Tan Sri Annuar Musa
Annuar menganggap keputusan kerajaan membenarkan kerja penggambaran diteruskan adalah betul.
“Saya tidak nampak perkara yang membimbangkan dengan proses penggambaran yang dilakukan. Saya berharap ia (kerja ‘shooting’) diteruskan.
“Saya gembira mendapat tahu daripada FINAS, sudah ada lebih 100 produksi memohon kebenaran FINAS untuk menjalankan kerja penggambaran. Ini adalah jumlah yang besar dalam masa yang singkat sejak kebenaran diberi.
“Jadi, ini bermakna, industri kreatif sudah mula bergerak semula. Itu yang kita mahukan di mana pemain industri kembali menjalankan perniagaan mereka,” katanya.
– Tan Sri Annuar Musa
Annuar berkata, apa yang penting, apabila rakyat bergerak ke arah endemik, kehidupan dan perniagaan perlu diteruskan dengan SOP sesuai.
“Satu daripada Indeks Prestasi Utama (KPI) 100 hari saya adalah untuk memulihkan industri kreatif. Jadi ini adalah cara di mana saya boleh ambil cadangan daripada mereka yang terbabit (dalam kerja kreatif),”
– Tan Sri Annuar Musa
Sumber: Berita Harian