Untuk kali ini, Tourism Selangor akan berkongsi 7 lokasi di sekitar Negeri Selangor untuk mencuba hobi baharu yang penuh keunikan tersendiri. Ini masa untuk serlah dan ekspresikan diri anda melalui hasil seni dan kraftangan!
1) Sewing World Gallery, Subang Jaya
Terletak di One City, Subang Jaya, Sewing World Gallery telah mula ditubuhkan sejak tahun 1989. Organisasi ini telah mengendalikan banyak bengkel menjahit sejak mula beroperasi untuk memastikan tradisi dan seni menjahit ini diturunkan ke generasi baharu. Ianya juga menyediakan landasan untuk artis yang mempunyai kemahiran untuk menjual hasil seni mereka di sini. “Tunku Azizah Handmade Market†yang dimulakan pada tahun 2010 adalah salah satu saluran untuk pelajar organisasi ini menjual hasil seni jahitan mereka ke pelbagai tempat dari pasar malam ke bazar dan juga Pusat Beli-belah. Organisasi yang telah memperoleh pelbagai anugerah dari tahun 2009 ini juga menawarkan bengkel kraftangan dan pembelian produk buatan tangan secara atas talian melalui laman sesawang rasmi mereka.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://sewingworld.com.my/ atau hubungi 03 – 5022 3023
2) The Artsy Craftsy, Shah Alam
The Artsy and Craftsy adalah sebuah organisasi seni yang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam. Mula beroperasi pada tahun 2008, organisasi ini membantu anda untuk menerokai bakat seni yang terpendam dalam diri anda dan membantu anda menjadi kreatif melalui pembuatan seni dan kraf. Organisasi ini juga menyediakan bengkel seni dan kraf seperti mengecat kanvas dan tote-bag, binaan tanah liat kering, seni lukisan coretan (doodle) dan banyak lagi. Organisasi ini mengendalikan bengkel mereka di studio yang dihias dengan suasana tenang dan selesa bagi mengekalkan inspirasi buat pengkarya.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://www.theartsycraftsy.com/Â
3) Clay Expression, Subang Jaya
Seperti namanya, Clay Expression adalah sebuah organisasi yang menawarkan bengkel seni tanah liat. Organisasi ini mengendalikan bengkel-bengkel untuk seni tanah liat yang kemudian dibentukkan menjadi tembikar atau pottery yang cantik mengikut kreativiti anda. Selain daripada mengendalikan bengkel, organisasi ini juga menawarkan kelas-kelas untuk seni tanah liat. Kelas-kelas terdiri daripada kelas untuk pelajar baharu (beginner), sedia-ada (intermediate) dan mahir (advanced). Clay Expression terletak di Subang Jaya ini juga ada menawarkan bengkel secara peribadi berkumpulan dengan minimum 6 peserta dalam sesi 1 jam, jika anda mahukan sesi pembelajaran yang lebih bertumpu.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://clayexpression.com/ atau hubungi +6018 299 9054Â
4) Sew Fabby, Shah Alam
Pemilik Sew Fabby yang dikenali sebagai Puan Azzah, mula menjahit dari usia kecil hasil didikan dari ibunya. Kemudian, beliau menyambung hobi ini pada tahun 2008 dengan mula menjahit beg tote (tote-bag) untuk kenalan dan rakan-rakan rapat. Mendapat sambutan hangat, Puan Azzah mula mengambil pesanan jahitan di laman Facebook. Sew Fabby telah berjaya menganjurkan bengkel pertama pada tahun 2012 bertempat di Art 2 Publika. Kini, organisasi ini aktif menjual hasil-hasil jahitan termasuk patung plushie, tuala bersulam, bekas pensil bersulam, key chain yang dihasilkan dengan idea sendiri, dan macam-macam lagi.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 016-395 9386
5) Fabu Cafe, Subang
Fabu Cafe yang terletak di Bandar Sunway adalah terdiri daripada komuniti sekumpulan peminat teknologi dan peminat kraf yang bersemangat dalam berkarya. Fabu Cafe juga menyediakan ruang komuniti dan pelbagai alat fabrikasi digital seperti laser, pencetak 3-dimensi dan mesin sulaman digital untuk pengguna dan pengkarya mendapatkan pengalaman karya seni yang terbaik. Selaras dengan namanya, Fabu Cafe juga menarik perhatian pelanggan dengan menawarkan menu lempeng bercetak di mana lempeng dihasilkan mengikut bentuk dan hasil seni pelanggan. Fabu Cafe juga menawarkan khidmat bengkel untuk memupuk semangat senibina dan kesenian dalam kalangan pelajar.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://www.fabu.com.my/ atau hubungi 03-5611 7355
6) Laman Kraftani, Kuala Langat
Puan Esiah dari Laman Kraftani, Kuala Langat telah menghasilkan seni bunga tekap sejak tahun 1999 lagi, yang telah berjaya menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa. Penggunaan bunga dalam hasil seni Puan Esiah semuanya ditanam di rumah kampungnya yang penuh dengan bunga hijau yang subur dan pokok buah-buahan. Puan Esiah juga telah banyak sertai pameran seni dibawah tajaan Agensi Persekutuan. Para pengunjung boleh singgah ke Laman Kraf Tani ini yang terletak di Kampung Sungai Lang Tengah, Kuala Langat dan belajar beberapa teknik untuk menghasilkan seni bunga tekap yang menarik.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-3181 7052
7) Ramadas Pottery, Kuala Selangor
Ramadas Pottery di Kuala Selangor ada salah satu lokasi unik yang tersembunyi di Kuala Selangor. Ramadas Pottery yang dimilliki oleh keluarga Ramadas mula aktif dalam industri ini pada tahun 1976. Tuan Ramadas yang lahir pada tahun 1951 telah berjaya memperoleh anugerah Adiguru Kraf Tembikar pada tahun 2012 kerana kemahiran dan pencapaian beliau dalam seni kraf tembikar. Produk-produk tembikar dari Tuan Ramadas Pottery termasuk periuk, pembakar kemenyan, periuk tanah liat, hiasan untuk rumah dan macam-macam lagi. Anda boleh lawati Ramadas Pottery untuk belajar cara membentuk tembikar menggunakan tanah liat asli menggunakan tangan dan mesin khusus untuk pembentukan tembikar.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 0126671373
Melalui karya seni, anda tentunya boleh ekspresikan diri anda. Kelas atau bengkel dengan suasana yang tenang dan santai juga mampu memberikan fokus bagi anda menghasilkan karya seni yang bermutu tinggi. Justeru, serlahkan kreativiti dan bakat terpendam dalam diri anda di 7 lokasi di Negeri Selangor yang tersenarai di atas!
Untuk terus membendung penularan wabak Covid-19, anda sentiasa diingatkan untuk terus ikuti SOP yang telah ditentukan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mana sahaja anda pergi. Pastikan anda mengikuti peraturan termasuklah seperti memakai topeng muka setiap masa, memastikan penjarakan sosial dan menggunakan cecair pembersih tangan.
Anda boleh melayari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk terus mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor pada masa hadapan, atau anda juga boleh mengikuti hantaran atau posting pihak Tourism Selangor di laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube untuk kekal berinspirasi! #ImagineNowExperienceSoon.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.