Sejak kelahiran bayi kedua mereka pada 12 Februari lalu, pasangan pelakon dan pengacara terkenal, Scha Alyahya dan Awal Ashaari dilihat masih tidak mendedahkan nama anak kedua mereka kepada umum. Rupa-rupanya pasangan ini menantikan detik paling eksklusif untuk mengumumkan nama baby yang sebelum ini hanya dikenali sebagai Baby L sahaja.
Menerusi program Schawal Babyboom 2021, Episod ke-9 yang disiarkan sebentar tadi, Scha dan Awal akhirnya tampil mengumumkan nama anak kedua mereka secara eksklusif menerusi program itu.
Seindah nama, secantik rupa, Awal dan Scha sepakat menamakan adik kepada Lara Alana ini dengan nama cukup indah iaitu, Lyla Amina.
“LA atau LY, dua huruf ni yang buat saya tak boleh tidur malam. Temujanji dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah buat waktu itu. Nama pula tak putuskan lagi. Nasib baik ada isteri dapat selesaikan perkara ini.
“Asalnya, Lara inginkan nama Lela yang dia sudah pilih lama semasa adik masih dalam perut lagi. Sementara, saya dan isteri pula sudah jatuh hati dengan nama Aminah, diambil bersempena nama ibu Nabi Muhammad SAW.
“Selepas perbincangan, kami putuskan nama Lyla Amina yang membawa maksud hitam manis, jujur, dipercayai dan beriman”
Menurut Awal, anak sulungnya Lara Alana, 7, yang mencadangkan nama tersebut kerana hampir sama dengan namanya.
“Lara mulanya mencadangkan nama Lyla dan kami tambah Amina kerana maksudnya yang baik iaitu jujur, setia serta merupakan nama ibu kepada rasul junjungan kita, Nabi Muhammad.
“Jadi saya mengambil kesempatan untuk mengabdikan nama dan maksud yang baik pada anak kedua kami. Doakan Lyla menjadi anak yang solehah,” ujar Awal.
Terdahulu, menerusi episod terawal Schawal Babyboom, Awal dan Scha meminta Lara menamakan adiknya dan salah satu nama yang dikongsikan oleh Lara adalah Lyla.
Dan kini nama indah penuh makna itu sudah pun dimiliki oleh tuan empunya badan yang cukup comel, persis kakaknya, Lara Alana.
Kata Awal, dia dan Scha sepakat menamakan Lyla Amina kerana membawa maksud yang cukup indah.
Bagi menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa, Awal dilihat sudah berada di Jabatan Pendaftaran Negara, di Putrajaya bagi mendaftarkan nama anak keduanya itu.
Kata Awal, dia tidak tidur malam memikirkan nama untuk anaknya. Malah perasaan berdebarnya tidak dapat dibendung kala proses itu berlangsung.
Kata Awal lagi, dia dan Scha menyenaraikan dua nama, bagaimanapun sehingga ke saat akhir, dia masih keliru untuk memilih nama terbaik buat anaknya itu.
Seterusnya selepas segala urusan selesai, barulah Awal membuat kejutan dengan menyerahkan sijil kelahiran si comel beserta nama yang sudah dipilih. Cukup istimewa!
Dalam pada itu, menerusi episod pendedahan nama itu juga, Awal lebih dahulu menyediakan Roti Tuban seperti yang diminta Scha sebelum bergegas bagi mendaftarkan nama anaknya.
Seronok melihat aksi Awal yang tidak kekok di dapur menyediakan sajian untuk Scha setiap hari.
Anak kedua pasangan selebriti itu dilahirkan pada 12 Februari lalu secara pembedahan di sebuah hospital swasta di ibu negara. Awal dan Scha berkahwin pada 4 Mei 2012.
Tahniah sekali lagi kami ucapkan kepada pasangan ini. Semoga Lyla terus membesar dengan sihat.