Dengarnya…: Tolak persembahan kerana tak ada mood?
Dipetik dari Berita Harian
BARU-baru ini, Cik Normah dihubungi rakan lama yang ingin berkongsi mengenai kisah penyanyi lagu Seribu Tahun dan Selamat Ulang Tahun Sayang. Siapa lagi, Imran Ajmainlah. Rakan Cik Normah berkongsi mengenai sikap penyanyi itu termasuk pengurus yang menjaganya.
Kisahnya begini, sebuah pusat pengajian ada menganjurkan program debat dan kebetulan mereka berminat mengundang Imran untuk membuat persembahan. Pada permulaannya selepas menetapkan harga, kedua-dua pihak bersetuju untuk memberikan kerjasama.
Namun sehari kemudian, selepas pihak pusat pengajian itu ingin mendapatkan pengesahan selanjutnya, tak semena-mena pengurusnya pula memberitahu persembahan itu tidak dapat diteruskan. Maksudnya, kira tak jadilah. Alasan yang diberitahu Cik Normah daripada rakan lama itu ialah pengurusnya memberikan alasan yang boleh dianggap bodoh.Â
Alasan itu berbunyi Imran Ajmain tidak ada mood dan pada masa yang sama, pengurusnya mula ‘demand’ untuk menaikkan sejumlah harga lagu yang ditetapkan. Nampak sangat alasan yang diberikan dibuat-buat dan tak kukuh langsung seolah-olah Imran dan pengurusnya memang tidak berpuas hati dengan bayaran yang ingin diberikan.
Cik Normah faham dengan situasi yang dialami pusat pengajian terbabit kerana tak banyak penaja, jadi mereka perlu berbelanja dengan berhemah. Akhirnya, gara-gara penyanyi itu mereka jadi kalut terpaksa mencari penyanyi pengganti pada saat akhir. Projek sekolah atau universiti manalah ada bajet tinggi nak bayar mahal.
Lucunya, rakan Cik Normah beritahu yang pihak pusat pengajian itu cakap dengan nada sindir, kalau tak popular janganlah demand sangat dan menyusahkan orang. Maksudnya, kalau tak berminat cakap awal-awal, ini tidak akhirnya orang lain yang terkapai-kapai. Entahlah, mungkin ini pengajaran terbaik buat penyanyi baru yang baru nak menapak ataupun mencari rezeki di tempat orang.