Berikutan itu, kata Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari, satu-satunya pendekatan bertemu dengan Diana ketika hadir ke mahkamah.
“Talian Diana dan anak-anak semuanya disekat. Panggilan telefon tidak diangkat dan mesej dalam aplikasi WhatsApp tidak berbalas.
“Masa bertemu dengannya (Diana) ketika di mahkamah sahaja,” katanya kepada BH Online.
Farid ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, bagi sebutan kali pertama kes hadanah, pagi tadi.
Pelakon filem Anwar, The Untold Story itu juga berkongsi, dia hanya berpeluang meluangkan masa selama enam jam bersama anak sulungnya, Muhammad pada 1 April lalu.
“Alhamdulillah, Muhammad ceria. Saya berjumpanya selama enam jam. Itu adalah proses yang ditetapkan oleh peguam Diana. Untuk perjumpaan ini, hanya berlangsung dari antara jam 10 pagi hingga 6 petang,” katanya.
Terdahulu, Farid memuat naik hantaran video di Instagram (IG) Story yang memaparkannya meluangkan masa bersama Muhammad di Masjid Negara selepas hampir sebulan tidak dapat bertemu dan berhubung dengan anak-anaknya.
Sebelum itu, media melaporkan Farid mendakwa sudah 23 hari tidak dapat bertemu dan berhubung dengan anak-anaknya.
Ia susulan konflik rumah tangganya dengan Diana yang memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pada 10 Mac lalu.
Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Beberapa hari sebelum melantik JKP, Diana memperoleh hadanah interim (hak penjagaan sementara) dua anaknya oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 24 Mac lalu.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.