Rita Rudaini dikatakan sedang rapat dengan seorang model lelaki yang lebih 10 tahun muda daripadanya. Selain terkenal sebagai seorang dramatis, karisma Rita Rudaini sebagai seorang usahawan menjadi idola kepada Ariz Lufias yang sanggup berkorban masa untuk membantu memajukan bisnes tersebut. Rita mula rimas dengan perhatian yang diberikan oleh Ariz dan apakah tujuan Ariz mendampinginya?
Ariz Lufias Mengaku Meminati Rita Rudaini dalam Drama TAK BELI TAK CINTA
[dropcap]S[/dropcap]aksikan dramedi “Tak Beli Tak Cinta’ lakonan Rita Rudaini dan Ariz Lufias yang bakal disiarkan menerusi slot Iris bermula 19 Oktober 2016, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 6.30 petang. Memaparkan kekecohan butik Puan Bibi (Rita Rudaini) yang diwarnai dengan pelbagai ragam pekerja dan pelanggannya, drama bersiri 20 episod terbitan oleh Aifa Motion dan arahan daripada Ahmad Idham ini membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Rita Rudaini, Ariz Lufias (Forteen), Erry Putra, dan Syainie Aida.
[pullquote align=”right”]Saksikan dramedi “Tak Beli Tak Cinta’ lakonan Rita Rudaini dan Ariz Lufias yang bakal disiarkan menerusi slot Iris bermula 19 Oktober 2016, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 6.30 petang. [/pullquote]
Puan Bibi sedang sibuk mempersiapkan butiknya untuk hari pembukaan yang bakal berlangsung dalam masa dua minggu lagi. Sejak pemergian arwah suaminya, Puan Bibi belum bersedia untuk menerima cinta dalam hidupnya. Dia hanya mahu fokus dalam bisnes selain menjaga anak lelakinya, Raykal. Kenakalan Raykal juga memeningkan Puan Bibi apatah lagi apabila Raykal sering meragam kerana mahukan ayah baharu.
Puan Bibi hanya dibantu oleh seorang staf, Liyana (Syainie Aida), anak saudara arwah suaminya yang gemar melaram dan kuat berangan. Liyana mahu menjadi penyanyi bertaraf antarabangsa seperti idolanya, Yuna. Tuan CJ (Erry Putra) pula sangat rajin untuk membantu Puan Bibi tetapi sebenarnya dia mencari peluang untuk mendekati dan menggoda Puan Bibi. Malahan, Tuan CJ juga berjanji akan mendapatkan penaja VIP untuk butik Puan Bibi.
Keadaan butik itu berubah selepas seorang pemuda lelaki graduan jurusan kimia yang sangat kacak, Isma (Ariz Lufias) diterima sebagai pekerja. Liyana menyimpan perasaan terhadap Isma tetapi Isma pula minat pada Puan Bibi.
Sudah seminggu butik Puan Bibi dibuka tetapi gagal mendapat sambutan. Puan Bibi tertekan dan terus bercadang mahu menjual sahaja butiknya. Isma menghalang niat Puan Bibi dan memohon izin untuk merangka satu plan publisiti. Isma meminta tolong beberapa rakan perempuan di kolejnya untuk membantu dan Liyana mula melakukan sabotaj kerana cemburu. Akhirnya plan publisiti Isma berjaya dan butik Puan Bibi mula dipenuhi pelanggan.
Dek kerana kesibukan menguruskan butik baharunya yang menjadi tumpuan selebriti dan ikon komestik, Puan Bibi seringkali terlupa untuk mengambil Raykal di sekolah. Suatu hari, Puan Bibi cemas apabila gagal mengesan Raykal di sekolah kerana terlambat sampai. Kehilangan Raykal berakhir apabila Raykal dijumpai menyelinap masuk ke dalam kereta cikgu di sekolahnya yang masih bujang dan tampan, iaitu Cikgu Ramli.
Sejak pertemuan dengan Cikgu Ramli, Puan Bibi sering dilamun angau. Dia sentiasa membayangkan Cikgu Ramli. Puan Bibi sentiasa sampai awal di sekolah untuk mengintip Cikgu Ramli. Malangnya, Cikgu Ramli sudah bertunang dan bakal berkahwin. Bagaimana pula dengan hubungan Puan Bibi dan Isma? Adakah Puan Bibi akan menerima cinta daripada lelaki yang lebih muda daripadanya? Apakah rahsia yang cuba disimpan oleh Isma?
Saksikan bagaimana kemajuan bisnesnya dalam menguruskan butiknya yang bakal dilancarkan dalam drama baharu ‘Tak Beli Tak Cinta’ pada setiap hari Isnin hingga Khamis jam 6.30 petang di slot Iris, TV3. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia. Bagi sesiapa yang terlepas untuk menonton di kaca televisyen, anda juga boleh layari laman web www.tonton.com.my.