Zul bersedia memikul kepercayaan diberi Rektor ASWARA, Prof Madya Dr Sahar Sa’di Hashim, berikutan dia diamanahkan sebagai Presiden Persatuan Alumni ASWARA atau Beringin sejak 2018. Zul berkata, sejak dua tahun lalu, tiada individu dalam kalangan alumni dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah seperti dibuat institusi pengajian tinggi (IPT) lain.
Sehubungan itu, perkara berkenaan disuarakan kepada Rektor ASWARA.
“Sejak itu, Prof Sahar melatih saya menguruskan majlis, menghadiri mesyuarat, melakukan gerak kerja dan mengurus tadbir sejak setahun lalu.
“Usaha Prof Sahar mendapat sokongan Ahli Lembaga Pengarah yang lain. Sekurang-kurangnya, dengan adanya wakil bekas pelajar, saya dapat menjadi suara bagi pelajar dan alumni serta menjaga soal kebajikan.
“Sudah tentu tanggungjawab ini tidak mampu saya pikul sendirian. Saya memerlukan sokongan Beringin,”
Zul berkata, selepas 26 tahun ditubuhkan, masih ramai yang tidak tahu peranan ASWARA.
“Apa yang berlaku dan kesan daripada kelahiran anak seni ASWARA? Jadi, inilah cabaran yang perlu saya pikul untuk mengangkat ASWARA setaraf universiti lain,”
Tidak mahu memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah atas nama semata-mata, juara All Stars Buka Panggung ini mahu membuktikan dirinya dapat berkhidmat dengan berkesan.
Zul mahu bergerak secara padu supaya nama ASWARA bukan sahaja gah di peringkat tempatan, malah global.
“Saya fikir sudah tiba masanya ASWARA melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada seluruh warganya.
“Sebelum ini, mungkin perbincangan Ahli Lembaga Pengarah kurang sampai kepada pelajar dan alumni. Saya akan pastikan tanggungjawab yang diberi selama setahun ini dimanfaatkan sebaik mungkin,”
Zul berkata, dia akan cuba menjalin hubungan dengan universiti luar negara seperti Institut Kesenian Jakarta, Indonesia dan Royal Bangkok Art University, Thailand agar ASWARA dikenali di peringkat global.
“Selain itu, saya berharap ASWARA mampu mendapat kedudukan dan gelaran yang lebih gah seperti Royal ASWARA,” katanya.
Tambah Zul, pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah membuka jalan kepada alumni untuk meluahkan pendapat.
Sebelum ini, dakwa Zul, ada bekas pelajar memilih meluahkan rasa tidak puas hati dalam media sosial, namun, usaha itu sia-sia kerana tidak diberi perhatian oleh pengurusan.
“Dahulu saya sering memberontak secara dalaman. Ada pula rakan-rakan memilih meluahkan rasa tidak puas hati menerusi saluran media sosial.
“Namun, cara itu tidak mendapat perhatian dan tidak sampai kepada pengurusan ASWARA,” katanya.
Sehubungan itu, Zul mahu setiap permasalahan atau rungutan dimaklumkan kepadanya.
“Jika timbul rasa tidak puas hati, mereka boleh beritahu. Saya akan membawa masalah itu ke pihak atasan dengan penuh diplomasi dan berhemah.
“Saya tidak mahu warga ASWARA melawan dengan cara yang tidak betul seperti berpiket,” katanya.
Selain Zul Huzaimy, turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah ASWARA adalah Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Tan Sri Norliza Rofli serta penyanyi, konduktor muzik dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat.
Sumber: BH Online