Kamil berkata dia tidak menyangka album pertama anaknya itu mendapat sambutan dan kebanyakan pembeli sanggup membayar dengan harga setimpal.
“Album buah tangan pertama Sissy ini dicetak sebanyak 1,000 unit saja dan saya tak sangka ia mendapat sambutan baik daripada pembeli dengan kurang dua jam ‘link’ (pautan) dibuka, ia (album) sudah pun habis terjual.
“Rata-rata yang membeli itu daripada pelbagai latar kerjaya dan peringkat usia, termasuk kebanyakan mereka adalah ‘collector’ (pengumpul) cakera padat,” katanya.
Sementara itu, Kamil berkata meskipun tidak meraih keuntungan namun dia meluahkan rasa syukur serta berharap ianya menjadi pemangkin semangat untuk Sissy terus berkarya.
“Penghasilan album ini di Studio Abbey Road, London sudah sangat bermakna buat Sissy. Ia dianggap pencapaian terbesar buat dirinya yang diimpikan selama ini. Jadi, tak apalah asalkan dia gembira dan terus bersemangat untuk bekerja dalam bidang muzik.
“Sebagai bapa, saya akan sentiasa terus menyokong apa saja yang ingin lakukan anak-anak, walaupun Sissy mengambil masa 10 tahun dalam industri untuk berjaya menghasilkan album ini dengan wang hasil titik peluh dikumpul sendiri daripada pelbagai cabang seni diceburi,” katanya.
Terdahulu, Sissy menjadi perhatian apabila menangis di pentas Famili Duo minggu lalu selepas persembahannya bersama Naim Daniel menerima kritikan pedas daripada Mas Idayu.