Tahniah diucapkan kepada bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol David yang telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia.
Sekali lagi mencipta kejayaan tersendiri, Datuk Nicol David berjaya meraih anugerah terunggul itu selepas mendapat undian sebanyak 318,943. Ini sekaligus mengetepikan James Kehoe iaitu legenda tarik tali Ireland yang mendapat sebanyak 113,120 undian. Atlet powetlifting Ukraine, Larysa Soloviova pula di kedudukan ketiga selepas meraih 80,790 undian.
“Ia adalah satu penghormatan buat diri saya apabila dicalonkan untuk anugerah ini dan menerima sokongan padu daripada seluruh rakyat Malaysia serta komuniti skuasy.
“Agak mengejutkan melihat diri saya disenaraikan bersama atlet terkemuka dunia yang lain dan saya bersyukur untuk anugerah ini.
“Semoga kejayaan ini dapat meningkatkan perhatian dunia terhadap sukan skuasy. Ini adalah saat yang membanggakan untuk mewakili negara saya dan Asia,” katanya.
– Nicol David
Bekas atlet kelahiran Pulau Pinang berusia 37 tahun itu bersaing dalam undian dalam talian dengan 23 calon lain mewakili sukan masing-masing dalam sejarah 40 tahun temasya sukan itu (1981 hingga 2017).
Sementara itu, Presiden Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA), Jose Perurena mengucapkan tahniah kepada para calon sambil menambah Nicol bertindak sebagai inspirasi dan teladan yang baik kepada atlet muda.
“Saingan ini adalah luar biasa dan bagus untuk melihat bagaimana atlet mendapat sokongan bukan sahaja dari sukan mereka sendiri tetapi juga negara mereka dan pihak berkuasa sukan di sana. Sukan benar-benar menyatukan rakyat dengan cara yang istimewa,”
– Jose Perurena
Sementara itu, Presiden Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) Zena Wooldridge berkata kejayaan Nicol adalah pengiktirafan terhadap karier luar biasa yang menyaksikannya mencipta pelbagai rekod dan memenangi semua gelaran yang ditawarkan dalam sukan itu.
Difahamkan, undian mulai dibuka sejak 8 Januari lalu namun bermula 20 Januari, hanya 10 atlet dengan undian tertinggi terus bersaing bagi anugerah berkenaan.
Pada edisi 2019, anugerah itu dimenangi pemain hoki dari India, Ritu Pani.
Anugerah itu dianjurkan Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA) sebagai sambutan ulang tahun ke-40 sukan dunia.
Anugerah tersebut dianjurkan oleh IWGA sebagai sambutan ulang tahun ke-40 acara Sukan Dunia itu yang pertama kali diadakan di Santa Clara, California, Amerika Syarikat pada 1981.
Penganjuran anugerah itu bertujuan memilih atlet terbaik sepanjang zaman yang pernah beraksi dalam mana-mana edisi sukan dunia yang diadakan buat pertama kalinya di Santa Clara, Amerika Syarikat pada 1981.
Sebagai rekod, pemain hoki dari India, Ritu Pani memenangi anugerah Atlet Terbaik Sukan Dunia bagi edisi 2019.
Sumber: Harian Metro