Peserta berasal dari Sabah ini memperolehi kemenangan berganda bila diumumkan mengungguli Persembahan Terbaik.
Pertandingan berlangsung meriah di Arena Gemilang, DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, Sarawak ini menyaksikan Kiki membawa pulang hadiah sebanyak RM20,000 berserta trofi, sijil dan hadiah iringan serta hadiah Persembahan Terbaik sebanyak RM4,000.
Naib Juara pula menjadi milik Nurfarina Farha Abdul Zahir dari Selangor yang membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000. Sementara itu, tempat ketiga dimenangi oleh Wa’ie Mohd Zain dari Johor yang memenangi wang tunai sebanyak RM10,000.
Pentas sama menyaksikan Mohd Alif Ikmal Danial Azawan dari Sabah dipilih memenangi Bintang Pilihan Prodigy. Manakala lima finalis yang lain membawa pulang wang tunai saguhati sebanyak RM5,000 berserta sijil dan trofi.
Pertandingan mencungkil bakat nyanyian si cilik ini disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2dan penstriman langsung Facebook RTM Sarawak dan RTMKlik
Pertandingan ini menyaksikan kemampuan vokal para peserta diuji menerusi dua pusingan, iaitu membawakan persembahan lagu solo dan pada pusingan kedua mereka diberikan tugasan berduet.
Kemuncak Bintang Kecil 2023 turut diserikan dengan persembahan artis jemputan Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri, Luca Sickta, Kmy Kmo dan Hijrah Yahya yang menghiburkan penonton dengan lagu popular masing-masing.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi yang telah hadir bagi mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.