Tahniah buat lagu Syahadah nyanyian dan ciptaan Fadzli Fareast yang telah dinobatkan sebagai juara Anugerah Nasyid 2017 (AN17) yang berlangsung di Stadium Malawati, di sini, malam Sabtu.
Menurut laporan media tempatan, kemenangan tersebut melayakkan Fadzli untuk membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 dan kepingan emas bernilai RM15,000.
Fadzli malahan turut merangkul dua anugerah lain iaitu Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik, sekali gus menerima wang tunai dan kepingan emas masing-masing bernilai RM1,500.
Naib juara pula diungguli oleh Lah Ahmad yang menyampaikan lagu Salam, seterusnya membawa pulang wang tunai RM8,000 dan kepingan emas bernilai RM13,000.
Sementara itu, lagu nyanyian Daqmie yang berjudul Jalan Syahadah dipilih juri sebagai pemenang tempat ketiga dengan menerima wang tunai RM5,000 dan kepingan emas bernilai RM6,000.
AN17 turut mengangkat lagu Penyelamat nyanyian Hafiz Hamidun sebagai Lirik Terbaik, manakala kumpulan, Simfoni dianugerahkan sebagai Artis Baharu Terbaik.
Anugerah Muzik Video Terbaik pula menjadi milik kumpulan Al-Manna menerusi lagu Ajarkan Aku Setia. AN17 disiarkan secara langsung menerusi stesen TV AlHijrah dan radio IKIMfm.
Setiap kategori membawa pulang trofi dan kepingan emas bernilai RM1,500. Hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asraf Wajdi Datuk Dusuki.
Selain anugerah utama, AN17 turut mempertandingkan kategori pilihan pendengar atau penonton iaitu Anugerah Lagu Pilihan yang dimenangi oleh kumpulan UNIC.
Trio berkenaan malahan turut menggondol anugerah Artis Duo/Berkumpulan Pilihan, manakala Fadzli Fareast diumumkan pemenang kategori Artis Solo Pilihan.
Selain trofi, pemenang kategori pilihan pendengar atau penonton turut membawa pulang hadiah berupa kepingan emas bernilai RM1,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia.
Pemenang diadili juri profesional terdiri daripada Farihin Abdul Fattah selaku ketua, Rozman Shafie (LY), Amran Omar, Norkhayati Mohd Hashim (Baiduri), Siti Hajar Ismail dan Juliza Adzlizan Abdul Rafar.