Meskipun berlapang dada memaafkan sahabat yang dikenalinya sejak 22 tahun lalu namun Syura mengakui sukar untuk melupakan apa yang terjadi.
“Sebagai manusia siapalah kita untuk tidak memaafkan orang lain. Saya dengan Siti Nordiana bukannya kenal setahun dua. Kami kenal sejak usia saya 13 tahun, manakala dia berusia 15 tahun.
“Sudah lama kami berkawan dari zaman remaja lagi. Jadi, bila kawan-kawan ada buat masalah sudah tentulah memaafkan itu sentiasa ada dalam hati, tapi untuk melupakan itu bagi saya terlalu peribadi,” katanya.
Berkongsi mengenai kes saman tersebut, Syura berkata dia bersama empat lagi rakan yang lain cuba untuk menjernihkan hubungan serta berdamai ketika proses mediasi, namun gagal menemui jalan terbaik.
“Sebab itulah adanya proses mediasi dan sewaktu sesi itu dijalankan kami sudah luahkan segala-galanya. Namun, nampaknya kami tak dapat kata sepakat daripada kedua-dua belah pihak.
“Apabila tak setuju dan kes masih berjalan jadi kami teruskan saja. Namun, kalau kata sudah memaafkan atau memohon maaf, saya secara peribadi sudah memaafkan segala apa yang terjadi.
“Cuma daripada pihak dia saya tak tahu macam mana. Apapun saya harap peminat dapat mendoakan bukan hanya saya tapi untuk pihak dia juga. Mudah-mudahan kami dapat keputusan yang baik untuk kedua-dua belah pihak,” katanya.
Terdahulu, Siti Nordiana menfailkan saman berjumlah RM2.5 juta pada 3 Ogos lalu. Dalam saman tersebut, penyanyi itu turut menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.