Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris, berkata rang undang-undang baharu itu yang lebih tegas dan efektif perlu bagi mengatasi tindakan
segelintir netizen yang menunjukkan sikap ekstrim, melampau dan tidak patriotik dalam media sosial terhadap institusi beraja, institusi Perdana Menteri dan negara sekali gus boleh terarah menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, selain itu pindaan juga boleh dilakukan kepada undang-undang sedia ada dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Katanya, Parlimen juga boleh menggubal undang-undang menurut Perkara 10(2)(a) bagi menyekat kebebasan bersuara sekiranya ia berkaitan keselamatan dalam negeri, prinsip moral, ketenteraman awam dan hubungan antarabangsa.
“Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir netizen yang menunjukkan sikap ekstrim dan melampau melalui platform media sosial.
Tindakan tidak patriotik terhadap institusi beraja, institusi Perdana Menteri dan negara ini boleh terarah kepada menjejaskan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Terbaharu, cercaan, hasutan dan carutan netizen dilakukan dalam platform media sosial baharu terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan lawatannya ke Republik Indonesia.
Beliau berkata, tindakan sedemikian adalah sesuatu yang tidak boleh diterima serta tidak melambangkan sifat sopan santun dan tatasusila yang baik.
“Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara bimbang dengan fenomena ini malah cercaan, hasutan dan carutan dalam platform media sosial baharu dilihat sudah menjadi penyakit mental nombor satu yang memerlukan tindakan undang-undang yang lebih tegas dan efektif,” katanya.
Razali yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysiaberkata, pihaknya yakin Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan tindakan lebih tegas mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Kanun Keseksaan (Akta 574) serta Akta Jenayah Komputer 1998.
Mereka yang menyalahgunakan platform media sosial baharu katanya, hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Peguam untuk pendakwaan.
Katanya, rakyat Malaysia termasuk netizen, bebas mengeluarkan pendapat dan pandangan namun ada batasannya serta tidak melanggar undang-undang digubal mengikut Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan netizen perlulah menunjukkan tingkah laku terpuji melalui kesopanan dan kesusilaan serta toleransi sebagai pegangan kukuh bagi menghormati institusi beraja, institusi Perdana Menteri dan negara.
“Rakyat di negara ini dinasihatkan menunjukkan tingkah laku, disiplin dan patriotisme yang tinggi termasuklah soal menghormati pucuk kepimpinan tertinggi negara.
“Sejak dahulu lagi, Perdana Menteri seperti Tunku Abdul Rahman al-Haj, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan seterusnya berkhidmat merentasi fahaman politik, kaum, agama, budaya dan latar belakang pendidikan demi kesejahteraan rakyat sekalian.
“Institusi Perdana Menteri adalah ketua eksekutif pentadbiran negara bagi memacu pembangunan negara ke arah masyarakat yang bersatu padu, muhibah tanpa mengira kaum serta bersikap saling menghormati antara satu sama lain.
“Melalui perpaduan yang kukuh, pertumbuhan dan pemulihan ekonomi akan dapat ditingkatkan serta kestabilan kesejahteraan rakyat dan kesihatan awam dapat diperkasakan secara lebih efektif,” katanya.
*Sumber: Berita Harian