Kita berada di minggu kedua bulan November dan bermulalah Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2020 – sebuah acara yang amat dinantikan oleh peminat fesyen tempatan. Namun kali ini keadaan sedikit berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya kerana kita masih lagi berada dalam suasana kekangan pandemik dan rakyat Malaysia perlu mematuhi pelbagai peraturan seperti penjarakan sosial dan kepatuhan pelbagai SOP. Dengan itu, acara pertunjukan fesyen di pentas runway diambil alih dengan pertunjukan secara digital.
Jenama Syomirizwa Gupta memilih untuk menghasilkan sebuah filem fesyen penuh misteri yang diberi judul Kegusaran. Ia diimaginasikan berlaku di sebuah dunia selari dengan konsep dan arahan kreatif Zahir Omar, seorang pengarah filem berkaliber yang bertanggungjawab menghasilkan filem hebat, Fly By Night. Kegusaran menampilkan pelbagai persalinan ikonik daripada koleksi jenama Syomirizwa Gupta terdahulu dan juga persalinan-persalinan baru yang dicipta khusus bagi tujuan filem ini.
“Pada mulanya saya agak risau dengan konsep yang cuba ditonjolkan oleh Zahir namun saya percaya dengan artistrydan visinya sebagai seorang pengarah muda yang berani.
Lebih-lebih lagi ia amat bertepatan dengan suasana masa kini yang sangat pelik dan penuh dengan tanda tanya. Ini adalah masa yang sangat sempurna untuk kita bereksperimen.
Namun dalam kelainan yang ditampilkan, saya tidak berkompromi dengan DNA jenama Syomirizwa Gupta iaitu dari segi rujukan budaya dan sejarah,”
– Syomir
Ditulis oleh Jiman Casablancas, filem tersebut menjadi lebih istimewa dengan kehadiran Bront Palarae membacakan prosa dengan iringan muzik oleh Engineering Bureau.
Filem ini merupakan percubaan pertama Zahir berjinak-jinak dengan penghasilan filem pendek berkonsepkan fesyen.
“Saya amat terharu dengan kepercayaan yang diberikan ini. Saya juga amat berbangga dapat bekerjasama dengan individu-individu yang kreatif dan sangat mementingkan kesempurnaan. Tidak dinafikan filem ini agak dark namun ia masih jujur dengan aspirasi Syomir sebagai pereka fesyen dan pengarah kreatif jenamanya”.
– Syomir
Lawati Syomirizwa Gupta di www.syomirizwagupta.com
Ikuti perkembangan Syomirizwa Gupta di IG dan FB dengan nama yang sama.