in

Syazwani Diyana Juara Top Host 2010

Budiey ingin mengucapkan tahniah kepada Syazwani Diyana kerana telah berjaya menjadi juara Top Host 2010. Semoga terus sukses bekerja di TV3.

Selepas 11 minggu berhempas-pulas, akhirnya Syazwani Diyana Mohamad Isa, 24, membuktikan dirinya memiliki kriteria yang diperlukan seorang pengacara serba boleh TV3 apabila dipilih panel juri sebagai juara rancangan Top Host 2010.

Panel juri terdiri daripada Pengurus Besar Jabatan Produksi Majalah & Dokumentari, Primeworks Studios, Ahmad Kamaludin Zabaai; Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Sherina Nordin; Pengurus Unit Pembangunan Kandungan, Primeworks Studios, Nurin Marini Ramlan, dan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Dato’ Seri Farid Ridzuan.

Syazwani berjaya menewaskan pesaing terdekatnya yang juga peserta kegemaran ramai, Fadhil Mohamad Isa, 25. yang bersamanya terpilih sebagai dua finalis terakhir program tersebut.

Menurut anak kelahiran Melaka itu, peluang keemasan ini akan digunakan dengan sebaiknya, terutamanya dalam mengalak pertuturan bahasa Melayu yang betul di kalangan masayarakat. Kerana dirasakan pada hari ini, ramai yang menggunakan bahasa Melayu yang rojak dalam pertuturan seharian mereka.

Syazwani, yang sedang mengambil ‘masters’ dalam jurusan komunikasi dari Universiti Teknologi MARA, turut berkongsi bahawa dirinya seorang yang sukakan cabaran. Jika mempunyai pilihan, ingin diberi peluang mengacara rancangan ‘Majalah 3’ mahupun ‘Malaysia Hari Ini’.

Sebelum menyertai rancangan ‘Top Host 2010′, Syazwani pernah bekerja sebagai penolong pengarah dan penerbit bebas di Astro selama empat tahun. Gara-gara kerana terlalu bagus di dalam kerjanya, dia tidak diberi peluang untuk mengasah bakatnya di depan kamera. Atas sebab itu dia menyertai Top Host 2010.

“Saya lakukan ini kerana minat. Saya ingin mencuba kedua-duanya, di depan dan belakang kamera,” kata Syazwani.

“Saya memilih TV3 kerana ia dekat dengan masyarakat. Pelbagai lapisan masyarakat akan menukar saluran kepada TV3. Saya berkecimpung dalam bidang penyiaran kerana ingin melakukan khidmat kepada masyarakat.”

Ditanya jika pengalaman bekerja di Astro memberinya kelebihan berbanding peserta lain, jelas Syazwani, pengalaman empat tahun bertugas di Astro hanya terhad kepada kerja-kerja di belakang tabir sahaja. Ditambah pula, apa yang dipelajarinya dalam tempoh itu telah dikongsi bersama sembilan finalis lain.

“Jadi, saya masih perlu belajar tentang cara bertugas di depan kamera seperti peserta yang lain,” ujar Syazwani yang akan menghadiahkan wang kemenangan RM10,000 itu kepada ibu bapanya.

Nasib empat finalis lain
Menurut ketua pegawai eksekutif kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Dato’ Seri Farid Ridzuan, keputusan juri yang memihak kepada Syazwani bukan hanya berdasarkan persembahannya pada malam ini tetapi sepanjang berlangsungnya pertandingan Top Host 2010.

Jelas Farid, Syazwani telah mempamerkan kematangan dan inisiatif terbaik serta bakatnya dalam pengacaraan terserlah. Di samping itu, cara penyampaian dan penampilannya membuktikan dia sudah bersedia untuk mengacara program TV3.

Mengenai nasib keempat finalis yang lain – Fadhil, Za’im Helmi Zaini, Nur Liyana Adnan dan Nabihah Md Rosdi – Farid memberitahu sayang jika dilepaskan mereka kerana semuanya memang bagus. Atas sebab itu, mereka akan diserapkan juga ke dalam Media Prima, baik dalam stesen TV3, TV9, 8TV atau ntv7. [Sumber]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hukuman Penjara Bung Moktar Ditangguhkan

Artis Ejen Jualan Langsung MLM Haram