Namanya mungkin baharu dan jarang kedengaran di arena muzik mainstream tanah air, tetapi buat jejaka tampan berbakat besar bernama Syazwan Shuhaimi ini, dia telah pun menapak sebagai penyanyi profesional sejak beberapa tahun yang lalu. Berbekalkan semangat dan minatnya yang mendalam dalam bidang muzik telah mendorong beliau melangkah setapak lagi dengan lahirnya single sulung yang diberi judul ‘Sang Purnama’ ciptaan komposer Shazee Ishak bersama Audi Mok.
“Syukur sedalam-dalamnya kerana segala usaha dan penat lelah akhirnya membuahkan hasil dengan terbitnya Sang Purnama. Ini merupakan rezeki yang sangat besar kerana sudah lama saya menantikan peluang sebegini.
“Impian saya menjadi kenyataan apabila pengurus yang juga merupakan abang ipar, Pak Azad (pelakon Azad Jasmin) menyapa big boss Rocketfuel, En. Feros di sebuah majlis menyatakan hasrat kami untuk menerbitkan sebuah single, lalu pelawaan itu diterima dengan baik,”
– Syazwan Shuhaimi
Bakat nyanyian semulajadi sememangnya sudah ada pada Syazwan sejak dari kecil lagi, ketika masih menuntut di universiti, beliau sering membuat persembahan bersama band dan sejurus tamat belajar, impian tersebut terpaksa ditunda sehinggalah pada tahun 2015 apabila beliau keluar dengan single pengenalan namun kurang mendapat perhatian.
“Jujur saya katakan pengalaman lalu banyak mengajar saya untuk lebih berhati-hati dalam merangka apakah pelan yang seterusnya. Berbekalkan pengalaman, dorongan daripada keluarga serta rakan, dan sedikit wang simpanan, saya beranikan diri untuk mengorak langkah sehingga terciptanya single ini.
“Sang Purnama membawa maksud metafora buat orang-orang yang kita sayang, mereka ibarat bulan yang menyinari malam hari tatakala diri berada dalam kegelapan dan kesunyian. Ia boleh didedikasikan buat sesiapa sahaja yang menjadi penyeri dalam hidup kita,”
– Syazwan Shuhaimi
Menjadikan penyanyi terkenal antarabangsa seperti Luther Vandross, Celine Dion dan Usher sebagai pengaruh besar dalam muzik, selain meminati artis popular tanah air seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Anuar Zain dan Hazami, ternyata Syazwan lebih terdorong kepada genre balada yang mempamerkan kemantapan vokalnya.
“Lagu ini adalah sebuah ciptaan bergenre pop dansa dengan sedikit elemen jazz dan RNB, saya sengaja lari dari kebiasaan untuk mencabar diri sejauh mana kemampuan saya dalam bidang muzik, melodinya catchy dan easy going kerana saya mahukan sesuatu yang mudah diterima ramai. Selain itu, saya juga turut mencabar diri dengan mempelajari rutin tarian selama setahun bersama koreografer, Faruq Suhaimi, agar selari dengan konsep muzik yang saya bawakan,”
– Syazwan Shuhaimi
Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukanlah penghalang buat Syazwan dalam meneruskan impian beliau bahkan menjadi pembakar semangat dalam menghadapi apa jua cabaran.
“Saya tidak menyangka akan mengeluarkan single ketika PKP, namun saya percaya rezeki tidak pernah salah alamat. Berbekalkan keazaman, saya menongkah keadaan semasa dan merubahnya menjadi positif, kerana kita tidak tahu berapa lama norma baharu ini akan berlanjutan, lagipun zaman sekarang semuanya dilakukan dengan kaedah digital, jadi ia bukanlah alasan,”
– Syazwan Shuhaimi
Jejaka berusia 35 tahun ini sememangnya tidak kenal erti putus asa, namun kekuatan Syazwan dalam meneruskan perjuangan dalam bidang muzik datang daripada dorongan abang iparnya sendiri, Azad Jasmin, yang percaya dengan bakat yang dimiliki beliau.
“Sudah tentu keluarga merupakan pendorong terbesar terutamanya kakak saya, Eira Syazira, namun kalau bukan Pak Azad yang push saya mungkin single ini tidak akan dizahirkan, beliau merupakan biggest fan dan worst critic saya.
“Usia bukanlah penghalang kerana bidang muzik sudah lama sebati dengan jiwa saya, bila ada peluang sebegini sudah tentu tidak akan saya lepaskan. Melalui muzik saya ingin memberi mesej bahawa jangan sesekali mudah putus asa dan terus mengejar impian,”
– Syazwan Shuhaimi
Single Sang Purnama mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan kerana Syazwan menitikberatkan kesempurnaan sesebuah karya dan video muziknya (MV) yang diarahkan oleh pengarah popular, Ghazi Maslan, digarap dengan begitu kreatif sekali.
“Ghazi menjadi pilihan utama kerana beliau sememangnya arif dalam kerja-kerja pembikinan MV, saya serahkan idea sepenuhnya kepada beliau kerana hasil kerjanya yang mengagumkan dan beliau faham apa yang saya mahukan dalam membangkitkan mood lagu Sang Purnama,”
– Ghazi Maslan
En. Hudzaifei Hazmi, selaku Ketua Label & Penerbitan, RocketFuel Entertainment yang baharu berkata,
“Pada mulanya, Pak Azad ada menyapa En. Feros dalam sebuah majlis dan menyatakan hasrat mereka (Pak Azad dan Syazwan), setelah itu mereka berbincang dan En. Feros meneliti sendiri produk (single dan MV) yang telah siap, dan En. Feros yakin Syazwan betul-betul bersedia untuk menjadi penyanyi mainstream, dan rugi rasanya kalau bakat beliau tidak diketengahkan.
“Saya turut berbesar hati Syazwan menerima pelawaan menjadi sebahagian daripada keluarga Rocketfuel kerana dedikasi yang ditunjukkannya, walaupun kita semua sedang berada di tengah-tengah pandemik COVID-19 ini wajar dijadikan contoh. Semoga Sang Purnama menjadi permulaan yang positif dalam kerjaya Syazwan.
“Saya berharap semoga Sang Purnama menjadi titik permulaan buat kerjaya nyanyian saya dan dapat melonjakkan nama Syazwan Shuhaimi sebagai penyanyi yang dikenali ramai. Dan buat semua rakyat Malaysia, saya menyeru agar semua kekal selamat, duduk di rumah jika boleh, dapatkan vaksin yang diberikan dan paling penting jaga kesihatan mental.”
– En. Hudzaifei Hazmi
Lagu ‘Sang Purnama’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube RocketFuel Network.
Lirik Lagu SANG PURNAMA
Tajuk : SANG PURNAMA
Artis : Syazwan Shuhaimi
Penulis Lirik : Shazee Ishak & Audi Mok
Komposer : Shazee Ishak & Audi Mok
Penerbit : Shazee Ishak
Celik mata bergetar jiwa
Tiap kali kau ada
Biar sunyi tidak ku rasa
Kerana kau bersama
Merah jingga langit di senja
Seolah menyerumu
Bintang-bintang bagai kugiran
Sambil kau berlagu
Makin lama makin ku memandang
Makin merdu berdendang
Kau penawar sepi duka
Makin lama makin ku memandang
Makin aku terbayang
Siang usah dikenang
Chorus
Kau terindah satu angkasa
Terang bercahaya malam ini kian sempurna
Matahari di sebalik cakerawala
Hadirmu dari lena gaya manjamu sang purnama
Malam disangkakan kelabu
Jika dikau terlindung
Bintang seakan di penghujung
Terangnya dikabur
Ku tunggu di sisi jendela
Bila ada cerita
Suka duka dikongsi sama
Tanpa syak wasangka
Chorus
Ku gembira tak terkata
Bila-bila bila kau, bila-bila kau ada
Kau fahami rasa hati
Kerana kerana kau, kerana kau sama
Kau tahu bila aku pilu
kau tahu bila aku buntu
Sang purnama terangi hidup ku buat selamanya