Walaupun hanya bakal mula bersiaran pada 28 Oktober nanti, drama yang bakal menghiasi slot Lestary berjudul Kau, Aku, Kita telah banyak mendapat perhatian orang ramai terutama di kalangan netizen. Ini semua gara-gara penangan drama bersiri Hati Perempuan yang sehingga kini tetap memberi kesan kepada para penonton. Bagi peminat tegar drama ini, mereka menantikan pasangan yang sama di kaca TV mereka.
Namun Kau, Aku, Kita bakal mempertaruhkan seorang pelakon baru yang mencipta nama menerusi drama bersiri Syurga Nur, Janna Nick yang bakal bergandingan dengan hero pujaan ramai, Syarul Ridzwan. Ini sekaligus membuktikan drama-drama di TV3 mempunyai kualiti yang membanggakan dan sering mencetuskan fenomena dan impak besar di hati jutaan penonton di Malaysia.
Kau, Aku, Kita memperkenalkan dua karakter penting yang berkongsi nama yang sama, Iman Firdaus. Si gadis lebih senang disapa dengan nama Iman (Janna Nick) manakala si jejaka dipanggil ringkas dengan nama Aus (Syarul Ridzwan). Nama yang sama namun perwatakan mereka berbeza. Iman merupakan seorang gadis yatim piatu dan terpaksa bekerja keras bagi menyediakan keperluan adik-adiknya. Semuanya bermula kerana pinjaman lintah darat yang memporak-perandakan kehidupan Iman. Berbeza dengan Aus yang hidup serba mewah dan merupakan artis ternama yang digilai ramai. Jika iman diancam gengster kerana terpaksa melunaskan hutang, Aus pula diancam dengan para peminatnya yang ingin menjadikan dirinya sebagai pasangan kekasih.
Lebih menarik apabila pertemuan Iman dan Aus adalah kerana mereka berkongsi nama yang sama. Iman dikejar geng lintah darat ketika dia mencari pekerjaan manakala Aus pula menyamar sebagai orang biasa bagi lari dari dunia glamornya. Penjahat yang menjerit nama ‘Iman Firdaus’ menyebabkan mereka berdua menggelabah dan berlari bersama. Kekeliruan itu menjadi detik pertemuan mereka. Apa yang pelik bagi Aus ialah Iman langsung tidak mengenalinya sebagai seorang selebriti. Jawapannya mudah kerana Iman sendiri tidak mampu mempunyai televisyen apatah lagi masa untuk menontonnya.
Dalam masa yang sama, Aus sering ditanyakan ayahnya, Dato’ Ashari Irfan seorang ahli perniagaan berjaya yang tidak tahan mendengar cerita gosip mengenai anaknya yang dikaitkan dengan ramai pelakon dan model wanita. Ayah Aus seorang yang rendah diri namun permintaannya mudah agar Aus segera menamatkan zaman bujangnya dengan sesiapa sahaja tanpa memilih pangkat dan status.
Aus tertarik dengan Iman yang tidak mengenali dirinya langsung lantas memikirkan bahawa Iman adalah jodohnya yang paling tepat. Aus dengan segera melamar Iman. Iman tidak tahu sama ada dia mampu mencintai Aus tetapi dia tahu tanggungjawabnya adalah untuk memberi kesenangan kepada adik-beradiknya. Aus berjanji untuk melangsaikan hutang Iman bagi mereka memulakan hidup baru.
Mampukah perkahwinan tanpa landasan cinta membawa mereka kepada kemanisan berumah tangga? Mampukah Iman bertahan dengan dunia glamor Aus? Adakah Aus berjaya menambat wanita polos sesuci Iman? Nantikan drama bersiri – Kau, Aku Kita – yang bakal menemui penonton mulai 28 Oktober 2015, setiap hari Rabu dan Khamis, jam 9.00 malam eksklusif di TV3. Kau, Aku, Kita merupakan adaptasi novel nukilan Orkid Edyliyne yang diangkat ke skrin TV oleh produksi JS Pictures.