Pengarah popular, Syamsul Yusof sedia mempertimbangkan kemungkinan menarik balik saman yang dikemukakan terhadap pelakon Farid Kamil.
“Yang mana saya nak saman, tetap berjalan. Jadi, saman itu tetap diteruskan. Saya pun harap Allah lembutkan hati saya untuk tarik balik saman, mungkinlah. Saya pun tak tahu.
“Sekarang saman tetap diteruskan. Ini bukan soal siapa menang atau kalah, ia hanyalah perkara yang patut dijadikan pengajaran.
“Ini kerana apabila berdiam diri buat kerja, tiba-tiba ada orang mengganggu atau memberikan kata-kata buruk, jadi kita perlu bertindak.
“Saya seorang yang tenang dan tak suka ada isu dengan rakan artis kerana satu bidang. Saya tanya apakah anda akan mengambil tindakan saman kalau ada orang mengutuk dalam media sosial, jadi saya ambil tindakan undang-undang,”
Terdahulu, pada 21 Mac lalu, Syamsul membuat pendedahan serius mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap bintang filem Anwar: The Untold Story itu berikutan kenyataan yang pernah dimuat naik dalam laman Instagram (IG), baru-baru ini.
Menerusi kenyataan dalam IG, Farid mendakwa seorang lelaki pernah memukul wanita bernama Diana, namun tiada sebarang tindakan diambil. Diana dalam kenyataan itu dipercayai merujuk kepada isteri Farid iaitu Diana Danielle.
Sementara itu, Syamsul enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai kenyataan pelakon, Aaron Aziz yang meminta Syamsul memohon maaf kepada orang tuanya, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail.
“Bila keluarkan kenyataan, perkara ini tidak akan habis. Jadi, apa yang saya mampu cakap mengenai isu Aaron sudah saya komen sebelum ini,” katanya.
Mengulas adakah boleh bersemuka dengan Aaron, Syamsul berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian.
“Boleh, tiada masalah,” katanya.
Semalam, Aaron ditemui media ditanya jalan terbaik agar kemelut antaranya dan Syamsul ditamatkan berkata, perkara itu hanya akan terjadi selepas Syamsul memohon maaf kepada orang tuanya.
“Tak ada sebarang konfrontasi. Saya cakap kepada umum suruh dia minta maaf kepada orang tuanya (Datuk Yusof dan Datin Patimah),” kata Aaron.
Ia susulan kontroversi apabila Aaron memuat naik hantaran video dalam IG mendakwa Syamsul enggan berjumpa berhubung isu digugurkan membintangi filem The Original Gangster (TOG).
Syamsul ditemui Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, ketika hadir bagi sebutan tuntutan nusyuz yang difailkan olehnya terhadap isteri pertama, Puteri Sarah Liyana, 38.
Mahkamah Rendah Syariah menetapkan tarikh 8 Mei depan berikutan Puteri Sarah tidak hadir atas tuntutan kerja di luar negara.
Syamsul memfailkan permohonan nusyuz pada 21 Mac lalu di mahkamah di sini.
Sementara itu, Puteri Sarah tidak hadir dan hanya mewakilkan peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Sumber: BH Online