Baharu sahaja selesai mengadakan konsert sulung bersama isteri menerusi ‘Konsert Syamel & Ernie Zakri: Aku Cinta’ bertempat di ibu negara, penyanyi lelaki popular bersuara emas tanah air, Syamel kembali dengan single romantis terbaharu berjudul ‘Bahagia Milik Kita’ yang telah dinyanyikannya buat pertama kali ketika berlangsungnya konsert mereka hasil ciptaannya sendiri bersama penyanyi-penulis lagu berpengalaman, Yuka Kharisma, manakala diterbitkan oleh jenama hiburan nombor ‘syatuu’ negara, Rocketfuel Entertainment.
“Pertama sekali, saya dan Ernie ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengunjung yang hadir memberikan sokongan sewaktu konsert sulung kami berdua, serta terima kasih juga kepada pihak pengurusan iaitu Rocketfuel Entertainment yang telah berjaya merealisasikan impian kami,”
– Syamel
Terakhir, Syamel pernah menghasilkan single Raya berjudul ‘Erti Lebaran’ ketika sambutan Aidilfitri tempoh hari dengan sambutan yang tidak mengecewakan.
“Sebenarnya saya banyak menghabiskan masa membuat persiapan konsert bersama Ernie, selain itu saya juga sedang dalam proses mengumpulkan ‘material’ yang akan dimuatkan dalam album sulung yang bakal dilancarkan pada tahun hadapan,” jelas penyanyi berusia 28 tahun ini.
Single terbaharu bernuansa balada pop dalam notasi romantis ini merupakan idea Syamel sendiri bersama rakan artis yang juga merupakan komposer berbakat besar, Yuka Kharisma.
“Idea di sebalik pembikinan lagu ini hadir dari cetusan rasa bahagia dengan adanya peneman hidup dan zuriat dalam hidup saya. Jikalau pendengar sedar, kebanyakkan lagu-lagu saya terdahulu semuanya bernada sedih dan sangat melankolik, dan Bahagia Milik Kita merupakan lagu pertama saya yang mempunyai unsur cinta serta kasih sayang.
“Maksud lagu ini pula mengenai pasangan kekasih yang sudah lama berkenalan dan sedang dalam perjalanan menuju ke destinasi bahagia yang merupakan kemuncak dalam perhubungan mereka iaitu alam perkahwinan. Kini, mereka telah pun bersatu kerana segala yang ingin dicapai ada di dalam genggaman, jadi berpeganglah pada janji agar apa yang dimiliki kekal sampai bila-bila,” terang bapa kepada puteri comel, Nur Khawla Soleha.
Peranan baharu dalam hidup Syamel yang kini bergelar bapa banyak mengajarnya tentang erti tanggungjawab yang sebenar.
Proses rakaman single dari mula sehingga akhir mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disempurnakan.
“Lagu terbaharu ini bersama-sama lagu lain yang bakal dimuatkan dalam album nanti dicipta ketika Ernie masih lagi dalam tempoh berpantang, bayangkanlah ketika itu saya berulang-alik dari rumah ke tempat kerja dan kebanyakan demo dilakukan di dalam kereta ketika dalam perjalanan sehinggalah Yuka yang menemukan lagu Bahagia Milik Kita ini,” kongsi Syamel lagi.
Selain single, sebuah video muzik (MV) turut dihasilkan dan telah dilancarkan dengan konsep yang minimalis ibarat sebuah lirik video yang memaparkan emosi kegembiraan yang terpancar di wajah Syamel.
Encik Feros Sayna, selaku Ketua Rocketfuel Entertainment berkata, “Syamel merupakan seorang penyanyi dengan ‘benchmark’ yang tersendiri, kualiti vokal yang dimilikinya merupakan aset yang sangat berharga. Semoga single Bahagia Milik Kita menjadi lagu penyeri pasangan kekasih di hari bahagia mereka.
Kata Syamel dengan penuh pengharapan: “Saya berharap agar semua yang mendengarnya dapat menerima lagu ini, semoga lagu berunsur bahagia yang jarang saya bawakan ini menjadi pilihan ‘wedding song’ pasangan pengantin di hari bersejarah mereka.
Lagu ‘Bahagia Milik Kita’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian popular seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala MV single ini boleh ditonton oleh peminat secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network.
Tajuk: BAHAGIA MILIK KITA
Artis: : Syamel
Penulis Lirik: Syamel & Yuka Kharisma
Komposer: Syamel & Yuka Kharisma
Terbitan: : Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd.
(VERSE 1)
Anugerah terindah
Dikirimkan tuhan
Untuk ku
(VERSE 2)
Yang mencinta
Dari waktu terburuk ku
Masakan ku lupa
Kenangan kita berdua
(PRE-CHORUS)
Dihatiku
Hanyalah kamu
Ku pertaruhkan
Seluruh hidupku Untukmu
(CHORUS)
Kini bahagia milik kita
Kamu akan ku jaga
Hingga ke akhir waktu
Dan ku mohon
Jangan kau berubah
Tetapkanlah setia
Sehingga ke akhirnya
Selamanya
(VERSE 3)
Peluk erat tanganku
Bayangkan umpama
Ini malam terakhir kita
(PRE-CHORUS)
Dihatiku
Hanyalah kamu
Ku pertaruhkan
Seluruh hidupku Untukmu
(CHORUS)
Kini bahagia milik kita
Kamu akan ku jaga
Hingga ke akhir waktu
Dan ku mohon
Jangan kau berubah
Tetapkanlah setia
Sehingga ke akhirnya
Selamanya
(BRIDGE)
Tuhan janganlah kau merubah Takdir aku dan dia…