in

Syahadah Musim 7 Selusuri Perkembangan Islam di Malaysia

Dokumentari Syahadah Musim ke-7 Selusuri Perkembangan Islam di Malaysia

Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi merealisasikan ungkapan “Syahadah” yang diterjemahkan menerusi penerbitan dokumentari Syahadah musim ke-7 yang pelancarannya telah pun disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Haji Ahmad Said bertempat di Dewan Besar Darul Iman, Suk Kuala Terengganu, 26 Julai lalu.

Penerbitan Syahadah nyata memperlihatkan satu jalinan ukhwah yang utuh antara masyarakat seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak malah menariknya Syahadah musim ke-7 ini turut menjalankan penggambaran merentasi peta dunia dengan mengekori kesan-kesan peninggalan Kerajaan Andalusia sekaligus membongkar kedatangan Islam, kesannya kepada komuniti setempat dan global di Morocco (Maghribi) dan Sepanyol.

Penerbit Penyelaras - Ibrahim Hj. Ismail

Penerbit Penyelaras – Ibrahim Hj. Ismail

Syahadah musim ke 7 memaparkan sejarah awal kedatangan Islam ke setiap negeri, peninggalan manuskrip dan kitab-kitab lama, peranan utama serta tokoh-tokoh agama yang bertanggungjawab menyebarkan agama Islam di Malaysia. Anjakan paradigm ini berjaya melahirkan generasi modal insan yang cemerlang hasil daripada pengalaman Islam yang syumul dan ilmu pengetahuan serta keperibadian yang tinggi.

Syahadah turut mengetengahkan usaha peranan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam di peringkat negeri dan daerah-daerah yang membentuk jalinan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga badan kebajikan yang diwujudkan di setiap negeri dalam usaha pembangunan ummah.

Mula diterbitkan tahun 2005, program Syahadah telah menjelajah ke tujuh negara termasuk Singapura, Brunei, Indonesia dan Kemboja dengan paparan kehidupan kontemporari masyarakat Islam di samping mengangkat keunikan budaya, warisan dan pencapaian mereka dalam pelbagai bidang. Musim ke-2 (2006) pula liputan Syahadah di Negara Cina, tahun 2007 pula kegemilangan Islam dan Syahadah di negara India menelusuri pendekatan Islam Hadhari. Kemudiannya tahun 2008, musim ke-4 pula meneroka Balkan dan Eropah untuk melihat tamadun Islam masa silam dan kecemerlangan Islam masa kini. Seterusnya Syahadah musim ke-5 (2009) mendekati sisi unik budaya, kepelbagaian etnik, kemajuan dan pembangunan Islam di negara bekas jajahan Soviet Union iaitu Uzbekistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Azerbaijan. Tahun lalu kecemerlangan Syahadah musim ke-6 (2010) membongkar sejarah kedatangan Islam di Alam Melayu termasuklah di Melaka, Terengganu dan Kedah), Indonesia, China, India, Kemboja dan Negara kuasa baru Asia (Jepun dan Korea Selatan).

Syahadah musim ke-7 mengekalkan tiga penerbit berpengalaman dari Unit Majalah dan Dokumentari RTM; iaitu daripada Syazariah Majidi (Terengganu, Kelantan, Pahang, Kuala Lumpur juga dua negara Morocco dan Sepanyol), Ibrahim Hj. Ismail (Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Sabah) dan Ramlee Johari (Sarawak, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis).

Menariknya sepanjang penggambaran Syahadah di Morocco (Bandar Marrakech. Casablanca, Rabat dan Fes) di mana ketika di Bandar Marrakech program ini mengunjungi kawasan Old Medina, Bandar Islam lama yang dibina semasa pemerintahan Islam pada abad ke 11 hingga ke 13 Masihi. Selain itu rakaman di Istana El-Bahia, bangunan senibina Islam yang paling cantik dan agung dibina pada 1884 oleh golongan bangsawan Islam zaman itu. Rakaman turut memaparkan aktiviti pasar tradisional masyarakat kaum Berber dan juga aktiviti kanak-kanak Berber mangaji di sebuah surau dan menggunakan papan kayu yang bertulis dakwat serta kaum wanita memproses minyak Argan yang satu-satunya hanya terdapat di Morocco.

Krew Syahadah juga sempat mengadakan rakaman khas Aidilfitri bersama penduduk Islam Maghribi selain melawat dan merakamkan keindahan Masjid King Hassan 2 di Casablanca dan perusahaan membuat seramik di Bandar Fes.

Di Sepanyol pula, Syahadah berkunjung ke Granada, Cordoba dan Madrid serta menyingkap khazanah sejarah Islam yang pernah terpahat di kota-kota tersebut antaranya penggambaran indah di Istana Al Hambra iaitu istana lama yang didirikan oleh kerajaan Bani Ahmar atau bangsa Moor (Moria), Masjid Granada, iaitu satu-satunya masjid yang dibina di bandar tersebut serta Masjid Cordoba yang dibina ketika pemerintahan Abdurrahman III daripada Bani Umaiyah yang kini 90 peratus sudah diubahsuai menjadi gereja.

Selain melakukan penggambaran untuk tujuan penerbitan, Syahadah berkongsi buah fikiran serta pandangan bersama penduduk tempatan mengenai kesyukuran mereka terhadap pengembangan dan amalan ajaran Islam di Malaysia yang jauh lebih baik.

Secara jelas penerbitan Syahadah yang diusahakan oleh RTM selama ini menyingkap rahsia peradaban Islam dengan mengambil iktibar daripada mujahid terdahulu serta umat Islam masakini dengan memaparkan realiti kehidupan, pegangan dan amalan masyarakat Islam sebagai satu inspirasi dan inovasi dari satu zaman ke satu zaman.

33 episod dokumentari Syahadah serta satu episod khas “Disebalik Tabir Syahadah” berdurasi 30 minit menemui penonton pada setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini jam 6.30 petang dan siaran ulangan jam 5.30 pagi hanya di TV1. Manakala versi Inggeris pula disiarkan jam 4.00 petang dan ulangan jam 4.30 pagi di TV2.

Penaja utama adalah Kerajaan Negeri Terengganu dan Yayasan Islam Terengganu.

Kelas fardu Ain , kanak-kanak tadika tengku Anis, Kota Bharu, Kelantan

Kelas fardu Ain, kanak-kanak tadika tengku Anis, Kota Bharu, Kelantan

Penggambaran di Muzium Pekan, Pahang

Penggambaran di Muzium Pekan, Pahang

Pasar Pagi di Pergunungan Kaum Berber, Marrakech, Morocco

Pasar Pagi di Pergunungan Kaum Berber, Marrakech, Morocco

Dalam masjid Cordoba yang kini menjadi Gereja di Spain.

Dalam masjid Cordoba yang kini menjadi Gereja di Spain.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

One Month Ramadan In Kuala Lumpur

Ziana Zain, Jaclyn Victor & Suki Meriahkan 1Malaysia Aidilfitri