SYAHADAH MEMBONGKAR KEINDAHAN DAN KEISTIMEWAAN REPUBLIK KAZAKHSTAN DAN KYRGYZSTAN MULAI 1 HINGGA 9 SEPTEMBER 2009 DI RTM
Setelah mendekati dan menjelajah ke 4 buah wilayah menarik termasuklah menyusuri Tashkent, Samarkand, Bukhara dan Shahrisadz di Uzbekistan, perjalanan krew Syahadah Musim Lima minggu ini yang bersiaran mulai 1 hingga 9 September 2009, jam 6.30 petang menerusi TV1 dan siaran bahasa Inggeris, jam 4.30 petang di TV2, bakal membongkar keindahan dan keistimewaan Republik Kazakhstan dan Republik Kyrgyzstan.
Menjalani penggambaran pada 20 April hingga 30 Mei 2009 lalu di dua negara ini kembara Syahadah melibatkan Republik Kazakhstan (Almaty, Shymkent, Taraz dan Astana) dan Republik Kyrgyzstan (Bishkek, Jalal Abad, Osh dan Karakol) untuk didekati masyarakat yang berminat mengetahui sejarah dan perkembangan dua republik ini.
Episod di Kazakhstan bakal bermula menjejak dan meneliti rentetan sejarah penubuhan negara bangsa Kazakhstan, perkembangan agama Islam dan kemajuan serta pembangunan yang dihadapi oleh negara ini setelah mencapai kemerdekaan. Kazakhstan, negara yang terletak di Asia Tengah dan menjadi negara ke-9 terbesar wilayahnya di dunia selain kaya dengan pelbagai sumber mineral berharga dan padang rumput subur untuk aktiviti penternakan. Begitu pun bumi bertuah ini sering menjadi sasaran perluasan empayar kuasa asing selain pernah dijajah dan ditakluk oleh beberapa kuasa asing seperti Turki, Mongol, Rusia dan menjadi salah sebuah negara di bawah Kesatuan Soviet Union. Hinggalah pada 16 Disember 1991 mencapai kemerdekaan dari Soviet Union.
Kemudiannya program ini membawa penonton melihat perkembangan Institusi Islam di Kazakhstan yang sungguh aktif memainkan peranannya untuk menghidupkan kembali syiar Islam di bumi bertuah ini selepas merdeka. Juga turut melihat penghayatan prinsip hijrah yang dilaksanakan seorang rakyat Malaysia dan seorang ahli perniagaan berjaya di Kazakhstan.
Penonton juga dibawa melihat pembangunan industri produk halal Kazakhstan bagi memenuhi keperluan makanan kepada 15 juta penduduk yang majoritinya beragama Islam, Kazakhstan mula meneliti peluang penghasilan produl makanan halal.
Ketika berada di Shymkent, Taraz dan Turkestan bandar utama dalam sejarah Islam di Kazakhstan, penonton didedahkan dengan pelbagai monumen bersejarah, makam, kubu dan penempatan purba dan paling unik Bandar Purba Turkestan ( kurun 16 – 18 M) , menjadi pusat budaya, politik dan perdagangan semasa pemerintahan Dinasti Beraja Kazakh – khanate. Antara yang menjadi tumpuan Kompleks makam Khoja Ahmad Yassawi, Makam Karakhan dan Makam Aisha Bibi.
Episod berikutnya penonton akan berpeluang mengetahui sumbangan beberapa tokoh-tokoh Islam di Kazakhstan dalam menyumbang bakti kepada penduduk tanpa mengira pegangan agama dan bangsa. Selain turut membawa khalayak penonton melihat usaha yang dijalankan dalam memajukan sektor ini dan memperkenalkan Kazakhstan sebagai sebuah negara tarikan pelancong di Asia Tengah.
Saksikan juga peranan Pertubuhan Wanita Islam Al Mutaqqallim yang memperjuangkan hak-hak wanita di Kyrgzystan serta beberapa tokoh wanita Islam yang telah berjaya dalam pelbagai bidang dan menjadi kebanggaan Negara selain peluang meneliti rentetan sejarah Islam di Osh dan perkembangannya kini. Malah sebagai sebuah ibu negara, Institusi pengajian tempatan dibina di sekitar Bishkek, penonton bakal melihat kursus pengajian Islam yang diajar sebagai salah satu kursus utama di beberapa Universiti tempatan.
Sesuatu yang mengagumkan pastinya tajuk Islam Gemilang Di Kyrgyzstan yang terkenal dengan jolokan Switzerland Asia Tengah. Dengan penduduk berjumlah 11 juta orang dengan majoriti beragama Islam, Bishkek menjadi ibu negara dan pusat kegiatan ekonomi, politik, sains, budaya dan pengangkutan moden. Terletak di kawasan lembah Chui dan kaki pergunungan Ala-Too, asalnya Kyrgyzstan menjadi tempat persinggahan kafilah perdagangan yang melalui banjaran Tien Shan yang cukup terkenal dengan keindahannya pada musim panas.
Kepada anda penonton yang berminat untuk mengikuti perkembangan dua republik, Kazakhstan dan Republik Kyrgyzstan ini usah ketinggalan menyaksikannya mulai 1 hingga 9 September 2009, jam 6.30 petang menerusi TV1 dan siaran bahasa Inggeris, jam 4.30 petang di TV2.