Baru berusia 19 tahun, pendatang baharu dalam dunia nyanyian Syafiq mahu membuktikan meskipun sibuk dengan pengajian, dia mahu bekerja keras dalam memastikan single terbaharunya berjudul SAKIT diterima pendengar. Lagu ini adalah ciptaan Candy Rozie dan merupakan salam perkenalan buat semua pencinta muzik serantau.
“Cita-cita untuk menjadi juruterbang terpaksa saya lupakan kerana saya buta warna. Namun sejak mengenal muzik, ia menjadi penyelamat dan ‘escapism’ saya. Dunia saya tidak pernah muram dan suram”.
– Syafiq
Mempelajari gitar dengan hanya gerak hati sendiri (dan terima kasih atas pertolongan Youtube!), Syafiq mengambil masa lebih setahun sebelum berani membuat persembahan di depan khalayak.
“Saya masih ingat pada tahun 2015, saya menyanyi di depan rakan-rakan di sekolah. Pelbagai perasaan muncul – gementar dan malu, semua ada – tetapi saya yakin inilah yang mahu saya lakukan dan saya ingin menjadi penghibur,”
– Syafiq
Barangkali darah seni yang mengalir di tubuhnya membuatkan dia berasa begitu senang menyanyi dan memetik gitar dengan bersahaja. Ibunya berasal dari Singapura dan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pasangan seniman dan seniwati hebat, Aziz Jaafar dan Normadiah.
“Atas dorongan insan-insan terdekat, saya memberanikan diri menghantar video nyanyian ke stesen radio KFM. Tuah menyebelahi apabila saya dipanggil untuk membuat persembahan dalam satu sesi akustik dan di situlah bermulanya kerjaya nyanyian saya secara profesional,”
Syafiq
Ketika itu, jejaka kelahiran Brunei Darussalam ini bertemu dengan DJ Daffy yang menawarkannya untuk bernaung di bawah label Octove Artist Management dan mereka bekerjasama sejak tahun 2017.
“ Saya masih berstatus pelajar di sebuah kolej di Brunei dalam jurusan perniagaan. Namun dalam masa sama, saya menyimpan impian besar agar lagu ini dapat diterima pendengar di Malaysia.
“ Lagu ini bukan sahaja menggambarkan citarasa muzik saya tetapi jenis genre yang ingin saya tawarkan. Saya harap ia menjadi pembuka jalan untuk peluang yang lebih besar.
“ Bila melihat kejayaan rakan-rakan segenara yang sudah mencipta nama dan melebarkan sayap seperti Jaz, Aziz Harun dan Fakhrul Razi yang menerima respon baik di sini, saya mahu lakukan perkara sama,”
– Syafiq
Tawaran demi tawaran diraih dalam memperkukuhkan namanya. Antara pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan apabila Syafiq diundang membuat persembahan di hadapan keluarga diraja Brunei, termasuk Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen pada tahun lalu. Biarpun gementar, dia mendapat pujian di atas dendangan hebatnya.
“Semuanya berlaku terlalu pantas tetapi saya bersyukur dengan peluang yang diberikan,”
Syafiq
Syafiq kini masih menuntut di sebuah kolej di Brunei dalam jurusan perniagaan.
Baru berumur 19 tahun, anak muda ini menyifatkan muzik sebagai pelengkap dalam kehidupan. Biarpun dia sedar tanggungjawabnya sebagai pelajar masih belum selesai, namun begitu dia percaya setiap individu mempunyai peranan untuk menginspirasikan orang lain.
“Saya sendiri terinspirasi dari rakan-rakan senegara yang sudah mencipta nama dan melebarkan sayap seperti Jaz, Aziz Harun dan Fakhrul Razi. Saya mahu membuktikan jika kita melakukannya dengan bersungguh dan penuh minat, insya Allah kejayaan pasti akan mengiringi.”
– Syafiq
Berjinak-jinak dalam dunia penghasilan lagu, single pertamanya berjudul Sakit hasil tulisan Candy Roze, Syafiq terlibat secara langsung dalam susunan muzik bersama Daffy dan Hafiz Salim.
Sarat elemen pop dengan suntikan jazz yang ‘easy-listening’, Syafiq menyifatkan Sakit sebagai salam pengenalannya kepada peminat muzik Nusantara.
“Lagu ini bukan saja menggambarkan citarasa muzik saya, tetapi jenis genre yang ingin saya tawarkan. Saya harap ia menjadi pembuka jalan untuk peluang yang lebih besar,”
– Syafiq
Memahami selera dan kehendak pendengar, Sakit adalah sebuah lagu cinta yang mengisahkan seorang lelaki yang berharap agar kekasihnya kembali untuk menyambung kasih mereka.
‘DIIKAT’ WEBTVASIA
Kerana kemerduan suara dan potensi lagu Sakit untuk ‘mengembara’ lebih jauh, WebTVAsia Sdn. Bhd. melamar Syafiq menjadi bintang naungan mereka.
Pengurusan rangkaian digital terkenal ini yang diketuai Fred Chong selaku pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutif, dengan pengalaman Melvin Wong selaku Naib Presiden bahagian Muzik diyakini mampu menyokong kerjaya Syafiq, bukan sekadar di Malaysia malah di rantau Asia.
“Sebagai salah satu rakan kongsi terbesar Youtube di Asia dengan platform ‘multi-channel network’, WebTVAsia optimis dengan bakat Syafiq sebagai penghibur muda. Dia bukan saja boleh menyanyi dengan baik, tetapi berbakat dalam penciptaan dan penulisan lagu.
“Kami juga selaku label rakaman yang ingin menyokong bakat-bakat tempatan, sangat teruja dengan sikap positif yang ditunjukkan Syafiq terhadap perancangan kariernya. Dia kelihatan amat bersedia untuk bekerja keras dalam memacu langkah,”
– Fred Chong
Majlis pelancaran single Sakit, yang juga majlis memperkenalkan Syafiq kepada para media di Malaysia, diadakan di Nicsmann, Starling Mall, Petaling Jaya. Selain media, acara bersejarah itu akan turut dihadiri keluarga, rakan terdekat serta individu-individu yang selalu berada di belakangnya.
Mempamerkan kebolehan membuat persembahan secara ‘live’, selain lagu Sakit, Syafiq akan turut menyanyikan lagu 2002 dan Ragaman pada majlis tersebut.
Buat pertama kalinya, tetamu dapat menyaksikan muzik video lirik Sakit secara eksklusif sebelum dilancarkan di Youtube – Syafiq Abdilah mulai Jumaat, 5 April ini jam 6 petang.
Single itu juga boleh didengar di semua platform digital seperti Spotify, Joox, Apple Music dan KKBox pada hari yang sama.
SEPINTAS LALU
Nama Penuh: Mohammad Syafiq Abdillah bin Soony
Tarikh Lahir: 4 November 1999
Warganegara: Brunei
Profesion: Pemuzik, Penyanyi dan Pelajar di Laksamana College, Brunei dalam jurusan perniagaan Horoskop: Scorpio
Idola: Afgan, Tulus, Ed Sheeran, Bruno Mars
Prinsip Hidup: Tiada gunanya sombong dan meninggi diri kerana pasti ada orang lain yang lebih hebat dari kita Instagram: @syafiqabdilah
TENAGA KERJA
Pengarah Eksekutif: Fred Chong
Naib Presiden (Muzik): Melvin Wong
Komposer: Candy Roze
Lirik: Candy Roze
Penerbit: Octove Company
Susunan Muzik: Syafiq, Daffy
Programming: Syarif, Hafiz Salim, Hans Anuar
Gitar: Syafiq, Hafiz Salim
Studio Rakaman dan Adunan: Phuturephase Production, Chorz Studio Proses Mastering: Cheng Lee dari Prodigee Studio
Hak Cipta/Edaran: WebTVAsia Sdn. Bhd.
Promosi dan Pemasaran: WebTVAsia Sdn. Bhd.
Pengurusan Artis: WebTVAsia Sdn. Bhd.
Pengurus: Farahrizan Razak
Penata Gaya: Johan Kassim
Solekan dan Dandanan: Khairul Abidin
Jurufoto: Alif Ridzuan