SURIANI ABDUL RAHMAN BANGGA TERPILIH MENJADI PENYAMPAI BERITA WARTA SERUMPUN
Jika diukur daripada bentuk fizikalnya yang kecil molek, pastinya tiada siapa yang menyangka telah begitu banyak pengalaman dikutip pemilik nama Suriani Abdul Rahman ini terutama menerusi penglibatannya menjadi penyampai berita selain mengendalikan program lasak, Eksplorasi.
Sejak sedekad lalu memulakan kerjayanya di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Suriani pastinya mampu berbangga dengan pencapaiannya kini kerana terpilih menyampaikan berita Warta Serumpun yang telah mencatat sejarah negara kerana berkonsepkan berita serantau hasil kerjasama Malaysia-Indonesia menerusi RTM dan Televisi Republik Indonesia (TVRI).
Justeru pertaruhannya memilih untuk memberikan tumpuan yang lebih dalam bidang penyampian berita berbanding pengacaraan dilihat menjadi. Apatahlagi di hatinya telah tertancap pemilihannya untuk lebih fokus kepada berita dapat membawa lebih keselesaan dalam dirinya. Malah menerusi pembacaan berita baginya dia turut dapat meneroka berita atau maklumat yang disampaikan dengan lebih mendalam lagi.
Seketika tumpuan wanita berasal dari Teluk Kumbar, Pulau Pinang ini teruja membincangkan perbezaan ketara dan keistimewaan Warta Serumpun yang disampaikannya secara bergilir bersama teman setugasnya, Fathil Hidayat Ghazali di samping penyampai TVRI, Harismen.
“Paling ketara, cara penyampaiannya berbeza berbanding penyampaian berita kebiasaannya kerana konsep yang diperkenalkan menerusi Warta Serumpun dilihat mampu mencapai tahap CNN. Ia merujuk kepada konsep pendekatan interaksi yang membolehkan informasi membabitkan berita dua negara disampaikan kepada penonton secara santai tetapi berkesan dalam mampu difahami dengan mudah,” terangnya sambil mengukir senyuman manis.
”Warta Serumpun sesuatu yang besar dan mencatat sejarah dalam negara. Justeru perasaan berdebar-debar sewaktu pertama kali bersiaran memang ada. Namun pengalaman bertugas dalam majlis dan program besar melibatkan Agung juga Perdana Menteri sebelum ini digunakan sepenuhnya untuk mengawal debar perasaan ketika bersiaran. Malah pada masa sama pengalaman itu sememangnya cukup membantu dalam penyampaian saya,” tambahnya sewaktu berkongsi perasaannya tanggal 17 Ogos lalu apabila buat pertama kalinya muncul mengendalikan Warta Serumpun.
”Cuma yang penting, jangan terlalu confident kerana situasi itu akan membuatkan seseorang penyampai berita itu mengambil mudah semua perkara,” sambungnya berkongsi tips yang mungkin boleh dikongsikan bersama pembaca berita lain.
”Setelah dipilih menjadi pembaca berita Warta Serumpun, saya menjalani latihan selama tiga minggu hingga sebulan sebagai persediaan. Antara persediaan yang dilakukan termasuklah dari segi ilmiah yang melibatkan bahan pembacaan yang lebih meluas. Untungnya saya seorang yang suka membaca melibatkan pengetahuan am samada dalam mahu pun luar negara,” luahnya berterus-terang.
”Segalanya tidak menjadi masalah kerana kebetulan saya memang minat dan banyak meluangkan masa membaca. Ia sekaligus menambahkan ilmu pengetahuan saya. Oleh kerana Warta Serumpun melibatkan negara Indonesia, maka bahan bacaan berkaitan negara itu lebih sedikit berbanding negara lain.”
Malah informasi yang menarik dapat dikongsi sama apabila Suriani membuka cerita ibunya juga berasal dari Sumatera, Indonesia.
Mengimbas kembali penglibatannya mengacarakan program Eksplorasi yang disiarkan menerusi RTM sekitar tahun 2001 hingga 2004 sebelum lebih menumpukan fokusnya dalam bidang penyampaian berita lima tahun lalu, ibu kepada seorang putera bernama Shamel, 14 tahun ini pantas menyatakan rasa terujanya dapat mengendalikan program lasak yang menguji mental dan fizikalnya itu.
”Bidang pengacaraan membuka deria lebih meluas dan bermacam perkara dan situasi diperolehi dalam satu masa,” ujarnya yang turut terlibat menjadi penyampai Warta Jam 5 di RTM.
Tambahan pula minatnya sejak dahulu tidak pernah berubah sukakan aktiviti yang mendekatkan diri dengan alam sekitar dan peluang mengacarakan program Eksplorasi sememangnya membuka peluang lebih luas memenuhi aktiviti kegemarannya itu.
Sesuatu yang istimewa dari sudut pandangannya kerana program ini membuka mata semua masyarakat bahawa semua orang boleh melakukan apa sahaja aktiviti meskipun tiada pengalaman dan fizikal bukanlah satu penghalang.
”Namun pengalaman paling manis yang akan sentiasa terpahat di hati pastinya ketika berada di New Zealand ketika melakukan aktiviti Bunjee Jump yang dianggap paling mencabar,” tambahnya berkongsi cerita.
Justeru usaha kerajaan mengadakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) disokong sepenuhnya wanita yang jelas terserlah karismanya ini yang begitu menggalakan dan menyokong supaya anak-anak muda melibatkan diri dengan aktiviti yang mampu mendekatkan diri dengan alam semulajadi.
”Apa sahaja benda alam semulajadi, mengajar lebih pengalaman diri dan anggapan bahawa masalah lain di luar lebih mudah sebenarnya,” ujarnya berpengalaman dua tahun berada di hutan juga menerusi pengalaman perjalanan pergi ke Endau-Rompin, dimana dia satu-satunya wanita yang terlibat dalam produksi itu.
”Kesukaran meneruskan hari-hari mendatang ketika berada di dalam hutan lebih mencabar dan mematangkan seseorang. Malah pengalaman itu lebih sukar jika mahu dibandingkan dengan masalah hutang atau pun kewangan seseorang itu,” tambahnya jujur.
Memandang dari sisi hobi waktu senggangnya, personaliti RTM yang telah ditawarkan berlakon namun ditolak atas alasan tidak minat berlakon yang sejak berjinak-jinak melibatkan diri dalam bidang pengacaraan ini ini gemar berkongsi momen lapangnya dengan melakukan aktiviti scuba diving bersama suaminya tersayang. Di samping itu suka menyediakan hidangan istimewa air tangannya untuk mereka keluarga.
Warta Serumpun yang menampilkan Suriani sebagai penyampainya boleh diikuti setiap hari Ahad, jam 10.30 malam menerusi RTM1 manakala jam 9.30 malam menerusi saluran TVRI.