‘Terima Kasih kerana Kami Tetap No 1 Dihati Anda. Sepanjang Hari Siang dan Malam Tanpa Henti
Kaji selidik Nielson pertama 2011 menunjukkan radio berjaya meningkatkan jumlah pendengarnya di Semenanjung Malaysia dengan mencatatkan rekod baru iaitu rata-rata pendengar menghabiskan waktu hampir 25 jam setiap minggu dengan mendengar radio.
Suria FM dan Red FM mencatatkan keputusan luar biasa bagi kaji selidik radio Nielson pertama tahun ini. Keputusan membuktikan bahawa kedua-dua stesen berbahasa Melayu dan Inggeris ini berjaya kekal sebagai peningkatan jumlah pendengar tertinggi.
Suria FM menunjukkan pertumbuhan peningkatan tahun ke tahun tertinggi bagi stesen radio Melayu yang mana kenaikan jumlah pendengarnya ialah sebanyak 48% dan 103% bagi pendengar eksklusif.
Kedudukan radio Suria FM dalam pasaran radio berbahasa Melayu diperkuatkan lagi dengan peningkatan yang ditunjukkan setiap hari. Melihatkan kepada persembahan yang ditunjukkan, segment Breakfast@Suria yang dihoskan oleh Halim, Shiera dan Zizi meningkat sebanyak 81%, Suria Drive bersama Linda Onn pula meningkat sebanyak 62% dan segment 50 Minit Muzik Terbaik Tanpa Henti dari jam 8 malam – 11 malam bersama Tyzo meningkat tinggi sebanyak 77%.
Jumlah pendengar di kalangan penduduk sekitar bandar meningkat sebanyak 63% dan 40% peningkatan bagi pendengar dari kategori pekerja kolar putih. Kajian kali ini juga menunjukkan pendengar yang berpendapatan diantara RM2000 hingga RM5000 semakin bertambah sehingga 36%.
Red FM menunjukkan peningkatan jumlah pendengar yang puratanya sebanyak 60% dari tahun ke tahun.’Red FM’s Breakfast Show’ merekodkan peningkatan luar biasa iaitu sebanyak 104% manakala ‘Drive Show’ meningkat sebanyak 94% dan ‘Red FM’s Evening Show‘ pula meningkat sebanyak 55%.
Stesen ini memperolehi peningkatan terbesar sebanyak 105% tahun ke tahun bagi peningkatan pendengar berbangsa melayu manakala pendengar di kawasan bandar, kalangan eksekutif dan pendengar di kalangan pelajar masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 102%, 13% dan 65%. Red FM mencatatkan peningkatan pendengar yang pendapatan isu rumahnya di antara RM2001 hingga RM5000 dengan peratusan sebanyak 108%. Sekali lagi, Red FM menggondoli peratusan peningkatan tertinggi sebanyak 51% bagi kategori pendengar eksklusif sekaligus meningkatkan jumlah pendengar setia Red FM.
Menurut En.Azrullah Mohd Nor, Ketua Pegawai Operasi Red FM dan Suria FM, “Keputusan ini membuktikan bahawa radio masih lagi merupakan saluran media yang popular dan diperlukan bagi mendapatkan hiburan atau isi kandungannya.
Hasil kajian yang menunjukkan peningkatan ini juga menunjukkan perubahan di bahagian barisan penyampai yang dilakukan sepanjang enam bulan yang lalu boleh diterima di kalangan pendengar.
Ianya merupakan satu jangka masa yang mencabar dan saya yakin yang kita berada pada landasan yang betul dengan penambahan jumlah pendengar yang ada. Kami komited bekerjasama dengan rakan pelanggan kami dalam menawarkan kempen pengiklanan yang menyeluruh melalui platform yang membawa semua pihak lebih maju disamping memberikan pendengar rancangan yang berkualiti dengan siaran yang dikeudarakan beserta laman sesawang dan juga aktiviti luaran “
Azrullah menambah lagi dengan berkata, “Kami ingin memanjangkan ucapan terima kasih kepada pendengar dan rakan perniagaan lain melalui sokongan yang tidak berbelah bagi. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan seperjuangan yang telah banyak bekerja keras dan menghasilkan keputusan yang terbaik. Radio merupakan industri hiburan dan penyiaran yang sangat menarik untuk pendengar menyertai apa sahaja kempen dan juga aktiviti yang akan diadakan di masa-masa akan datang“