Menurut Pengurus Besar Suria, Cik Roslinda Abd Majid atau DJ Lin, “Suria sentiasa komited dalam usaha meningkatkan prestasi radio saban tahun dan tentunya peningkatan jumlah pendengar mingguan sebanyak 11.9% yang dibuktikan melalui keputusan kaji selidik radio menjadi satu berita gembira buat Suria FM.”
Berdasarkan keputusan kaji selidik GfK Pengukuran Pendengaran Radio, Wave 2 2021 yang dikeluarkan baru-baru ini, stesen radio Suria FM berjaya mencatatkan peningkatan pendengar mingguan tertinggi di antara stesen radio berbahasa Melayu di Malaysia iaitu sehingga 3.09 juta pendengar daripada 2.76 juta pendengar pada kaji selidik sebelumnya.
Segmen utama di Suria FM iaitu “Suria Cinta” kekal sebagai segmen radio yang mempunyai tempoh masa mingguan tertinggi dihabiskan untuk mendengar (TSL) di antara stesen radio komersil berbahasa Melayu tertinggi iaitu selama 3 jam 17 minit sepanjang Ahad hingga Jumaat dari jam 8.00 malam hingga 1.00 pagi.
Segmen Team Pagi Suria kelolaan Ajak, Fizi Ali dan Suraya Borhan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 6.00 pagi hingga 10.00 pagi pula mencatatkan peningkatan peratusan pendengar mingguan tertinggi sebanyak 22% dari kajian sebelumnya, mencapai 1.5 juta pendengar setiap minggu dan juga berjaya mencatatkan peningkatan pendengar eksklusif tertinggi antara 4 stesen radio berbahasa Melayu yang tertinggi di Malaysia.
Manakala segmen Gaya Suria kelolaan Cik Piah pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengahari dan juga Muzik Top Suria pada jam 1.00 tengahari hingga 3.00 petang pula mencatatkan peningkatan peratusan pendengar mingguan dan eksklusif yang tertinggi di antara semua stesen radio berbahasa Melayu.
Segmen Suria Petang yang dikelolakan oleh Sharifah Shahirah dan Tyzo pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 3.00 petang hingga 7.00 malam pula berjaya mencapai 1.7 juta pendengar setiap minggu dan mencatatkan peningkatan jumlah pendengar eksklusif tertinggi antara semua stesen radio berbahasa Melayu.
Bukan itu sahaja, platform digital kreatif Suria iaitu media sosial Suria Malaysia, laman web suria.my dan YouTube Suria TV turut mencatatkan peningkatan sehingga 2.5 juta pengikut dan 214 juta jumlah tontonan.
Jumlah pendengar dalam talian menerusi laman web dan aplikasi Suria turut meningkat dengan jumlah keseluruhan sebanyak 51 juta pendengar.
Muat turun aplikasi Suria dan layari laman web suria.my untuk mendapatkan akses percuma kepada semua informasi, peraduan dan maklumat terkini mengenai Suria FM 24 jam setiap hari, dimana-mana sahaja, pada bila-bila masa.
Dan sehingga kini, aplikasi SURIA telah dimuat turun sebanyak 1.18 juta kali menerusi AppStore, Google Playstore dan Huawei App Gallery.
“Walaupun industri radio terkesan dengan pandemik COVID-19, namun Suria FM tetap sentiasa berusaha memberikan kandungan yang segar dan menghiburkan selari dengan sasaran pendengar kami sekaligus menarik lebih ramai orang untuk mendengarkan dan mengikuti Suria walaupun hanya duduk di rumah.” tambah DJ Lin.
“Terima kasih kepada pendengar yang setia menjadikan Suria radio pilihan kegemaran anda dan terima kasih juga kepada pihak penaja serta syarikat-syarikat pengiklanan yang mempercayai jenama Suria.” akhiri DJ Lin.
Suria FM adalah sebuah stesen radio swasta yang dikendalikan oleh Rimakmur Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik Star Publications (M) Berhad.
Sumber data daripada GfK Radio Audience Measurement (RAM), Wave 2, 2021 | Facebook Analytics & Insight, Januari – Oktober 2021 | Twitter Analytics, Januari – Oktober 2021 | YouTube Analytics, Januari – Oktober 2021 | Google Analytics, Januari – Oktober 2021 | TikTok Analytics, Januari – Oktober 2021 | Suria Web and App Database, Januari – Oktober 2021 | Radioactive, Triton Digital and Youtube, Januari – Oktober 2021 | GA4 (Android & iOS), Januari – Oktober 2021.
Sebarang maklumat lanjut boleh rujuk laman web Commercial Radio Malaysia (CRM), https://www.commercialradio.my/.