Bermula pada awal April yang lepas, Suria telahpun memulakan siri Jelajah Suria 10 Tahun yang dianjurkan sempena meraikan ulang tahun ke 10 Suria. Membawakan tagline ‘Segalanya Hiburan’, Suria memberikan segala bentuk hiburan di siri jelajah ini.
Pengunjung bukan sahaja disajikan dengan aktiviti-aktiviti pentas yang memberi peluang kepada mereka memenangi hadiah eksklusif Suria dan Starbucks serta wang tunai, malah mereka juga telah dihiburkan dengan persembahan daripada artis-artis popular seperti Dato Hattan, Ella, Aizat Amdan, Black, Khai Bahar, Amy Search, Indah Ruhaila dan ramai lagi. Bahkan, mereka juga berpeluang beramah mesra secara dekat dan mengambil tandatangan serta gambar bersama penyampai dan artis kegemaran mereka di siri jelajah ini.
Jelajah Suria 10 Tahun ke lokasi terakhir meraka pada 29 April lepas di Mydin USJ, Subang Jaya. Aktiviti pentas dan persembahan dimulakan pada jam 5.30 petang. Walaupun cuaca tidak begitu cerah di waktu petang, pengunjung kekal setia berada di sekitar pentas bagi menantikan persembahan artis kegemaran mereka seperti Aizat Amdan, Putera Band, Amir AF dan ramai lagi.
Konsert kemuncak Jelajah Suria 10 Tahun dimulakan pada kira-kira jam 9 malam dengan persembahan pembuka tirai daripada Syamel yang membawakan lagu hits beliau iaitu Hidup Dalam Mati dan Lebih Sempurna.
Populariti dan kehebatan persembahan daripada Hazama, Akim & The Majistret, Kaka Azraff, Drama Band, Liyana Jasmay, Syed Shamim tidak dapat disangkal lagi apabila penonton sanggup meredah deraian hujan di waktu malam konsert dan memenuhi ruangan hadapan pentas bagi menyaksikan persembahan daripada mereka dengan lebih dekat.
“Alhamdulillah. Pelbagai reaksi penerimaan orang ramai terhadap siri jelajah ini. Yang pasti, rata-rata semuanya menghargai initiatif kami dalam turun padang bertemu peminat dan pendengar setia kami. Kami mengharapkan sokongan ini berkekalan dan tentunya kami akan memberikan yang lebih baik kepada semua,” kata Subarma Mohtaruddin, Pengurus Besar Program Suria.
“Matlamat kami adalah ingin memperkenalkan dan memperkukuhkan lagi jenama Suria kepada orang ramai. Dengan initiatif sebegini, bukan sahaja jenama Suria itu dikenali, malah mampu menarik pendengar baru untuk mendengarkan Suria. Janji kami adalah kami sentiasa akan menyajikan segala bentuk hiburan yang terkini dan terbaru untuk orang ramai,” kata Shahida Azad Jamaludin, Pengurus Kanan Pengurusan Penjenamaan dan Digital Suria.
Batu Pahat merupakan lokasi pertama Jelajah Suria 10 Tahun pada 1 April yang lalu sebelum ke Terengganu (8 April), Pulau Pinang (15 April) dan Perak (22 April).
Jangan lupa untuk menonton video-video berdurasi pendek terbitan Suria seperti Suria Jam, #ApaItuCinta, Parodi Zulin dan banyak lagi di laman web www.suria.my
Dapatkan maklumat dan perkembangan terkini berkenaan Suria di laman web Suria dan juga laman sosial Facebook, Instagram & Twitter SuriaFMMalaysia. Gunakan #JelajahSuria10Tahun untuk sebarang interaksi berkaitan jelajah ini di laman sosial.