Berkongsi ragam kehidupan pasangan baru berumah tangga juga kekalutan seorang isteri cuba untuk memperbaiki diri mahir memasak, paparan 13 episod drama ini mengenai dua pasangan suami isteri yang baru melangsungkan perkahwinan dan mereka menyewa rumah di kawasan perumahan yang sama. Secara kebetulan kedua-dua pasangan, Hakimi dan Nadia juga Rasyid dan Alia tinggal berjiran.
Hakimi dan Rasyid bekerja di syarikat yang sama sementara kedua-dua isteri mereka pula adalah suri rumah sepenuh masa. Isteri-isteri mereka tidak pandai memasak sedangkan suami mereka pula gemar jenis masakan dan lauk pauk yang berbeza setiap hari.
Untuk mengatasi masalah ini kedua-dua isteri membelinya di restoran berhampiran tanpa pengetahuan suami dan mendakwa makanan tersebut adalah masakan mereka. Mereka mendapat pujian kerana keenakannya.
Bangga dengan masakan isteri si suami telah mempelawa rakan sepejabat mencuba masakan isterinya di rumah. Malahan menjemput pihak TV membuat program masakan secara langsung. Menyedari hal ini si isteri memberi berbagai-bagai alasan dan membuat pelbagai helah untuk menutup kelemahan diri masing-masing.
Penat dengan helah yang tidak berkesudahan dan rahsia mereka diketahui suami masing-masing, akhirnya mereka belajar memasak. Namun berlaku pula konflik apabila Nadia dan Alia bergaduh dengan cef terkenal yang menjadi guru masakan mereka yang dianggap cerewet.
Kak Siti telah keluar dari rumah sewanya kerana tidak mampu membayar sewa yang tinggi. Berita tersebut menggembirakan penduduk taman kerana mereka tidak suka dengan perangainya yang suka membawa mulut. Sementara Abang Sazali pula menuju ke Perlis menguruskan perniagaannya. Semasa pulang ke rumah, Hakimi hampir melanggar seorang wanita muda yang melintas jalan secara tiba-tiba. Wanita tersebut baru berpindah ke taman tersebut.
Abang Sazali memberitahu isterinya yang rumah dikosongkan Kak Siti telah ada penyewa baru bernama Mina. Semasa Hakimi dan Rasyid pulang dari masjid Abang Sazali menceritakan sedikit sebanyak mengenai latar belakang Cik Mina, termasuk dia seorang yang pandai menguruskan rumah tangga dan pandai memasak. Hakimi dan Rasyid disampuk angau.
Selepas dipujuk, Mina akhirnya bersetuju mengajar Nadia dan Alia. Kehadiran Mina menarik minat Hakimi dan Rasyid. Masing-masing berangan menjadikan Mina sebagai isteri kedua mereka. Abang Sazali pula menyimpan perasaan resah. Pilihan Mina sebagai suami mengejutkan semua orang. Drama ini menampilkan gandingan pelakon utama Risteena Munim, Ruhanies, Daler Yusuf, dan Nazrief Nazri.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.