Rata-rata penonton dan peminat siri adiwira disajikan dengan filem dan drama yang dimonopoli adiwira lelaki. Begitu pun menerusi tayangan drama bersiri Inggeris bertajuk “Supergirl” yang bakal disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 3 September ini, setiap Ahad, pukul 9.30 malam menerusi saluran TV2, penonton dapat melihat kelincahan dan ketangkasan adiwira wanita yang hebat beraksi memukau penonton.
Menampilkan lakonan mantap Mehcad Brooks, Laura Benanti, Chyler Leigh dan Melissa Benoist, 13 episod siri Inggeris arahan Glen Winter ini mempertaruhkan kisah seorang adiwira yang berasal dari planet lain dan membesar di planet bumi. Beliau menggunakan keupayaan luar biasa yang ada padanya untuk membantu dan menyelamatkan masyarakat setempat. Kepantasan, kekebalan dan kekuatan fizikalnya digunakan juga untuk menghapuskan kuasa jahat yang menyerangnya.
Ikuti perjuangan seorang gadis dari planet Krypton untuk melindungi bandar di mana beliau dibesarkan dari serangan kuasa jahat. Kara El dihantar ke bumi dari planet Krypton untuk melindungi adik saudaranya, Clark. Kapal angkasanya tersesat dan mendarat ke bumi dua puluh empat tahun kemudian. Beliau dibesarkan oleh keluarga Danvers dan Kara bekerja di sebuah pejabat media bersama adik angkatnya, Alex.
Pada suatu hari Kara menggunakan keupayaan luar biasanya untuk menyelamatkan sebuah kapal terbang yang terbakar. Semenjak insiden tersebut Kara digelar Supergirl. Beliau yang mempunyai kepantasan serta kudrat luar biasa yang membolehkan beliau mendengar dan melihat dari jarak jauh bertindak membantu masyarakat di Bandar National City menangani pelbagai kecemasan.
Kara yang kini merupakan adiwira hebat ditugaskan juntuk menangani makhluk asing dari planet Krypton yang menyerang National City. Supergirl dengan bantuan Clark yang telah menjadi Superman berjaya menumpaskan makhluk asing.
Namun Supergirl menghadapi pelbagai penjenayah. Supergirl membantu menyelamatkan beberapa orang dari letupan bangunan dan tren. Beliau mengenalpasti Enox sebagai perancang kesemua letupan bom yang berlaku di National City. Enox merupakan pekerja yang tidak puas hati dengan majikan Lord Laboratories. Enox kemudian membunuh diri.
Pada masa sama Supergirl juga menentang Leslie, yang merupakan wartawan yang telah berubah menjadi ‘live wire’ dan membinasakan semua hartabenda di bandar National City. Supegirl bertindak menghapuskan kuasa penjahat ini. Sebuah robot hasil penciptaan tentera yang dinamakan Red Tornado digunakan untuk menewaskan Supergirl. Supergirl menggunakan segala kuasa luar biasanya dan berjaya menewaskan ‘Red Tornado’.
Supergirl menghadapi ancaman dari planet Krypton. Selain dari menyelamatkan penduduk bandar National City dari pencurian dan gempa bumi, Supergirl juga melawan makhluk asing dari planet Krypton yang ingin menakluki National City.
Supergirl, kali ini juga berjaya menyelamatkan Hank Hanshaw yang merupakan Ketua Operasi menghapuskan makhluk asing bila ia diculik oleh makhluk asing. Di samping itu, Supergirl dengan bantuan rakannya, Winn, dapat mengenalpasti ‘hacker’ sistem di pejabatnya.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.