Pertunjukan fesyen jenama ‘streetwear’ tempatan, Super Sunday, di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) seringkali dinantikan peminat fesyen negara terutama sekali pengikut tegarnya. Ternyata tahun ini, Super Sunday bagai melepaskan geram dengan persembahan penuh dinamik koleksi yang dinamakan Sunday Bois.
Menampilkan gabungan fesyen, muzik dan budaya jalanan popular seperti ‘skateboarding’ dan grafiti, Super Sunday membuktikan bahawa ianya bukanlah jenama yang boleh dipandang ringan. Amat gah dengan 30 persalinan yang hebat digayakan oleh 30 model tempatan termasuk Haniff Hamzah – personaliti radio terkenal dan vokalis kumpulan Hujan yang juga mewakili ‘rockstar’ generasi baru, Noh Salleh.
Masih mengekalkan DNA rekaan yang amat sinonim dengan jenama tersebut, koleksi Sunday Bois dimantapkan lagi dengan variasi serta interpretasi ‘streetwear’ yang lebih premium dari pelbagai segi – daripada penggunaan material hinggalah kepada pembuatan serta penggayaan.
Kolaborasi bersama jenama gaya ranggi Noh Salleh iaitu Hikari Riders ternyata memberi impak amat besar. Selain itu, koleksi tersebut turut menyaksikan kerjasama Super Sunday bersama Daddyhood (jenama ‘Esport’), VANS Malaysia dan SSST or Super Sentimental Secret Theory (jenama pakaian berkonsepkan ‘tech wear’ dari Bandung Indonesia).
“Ini adalah persembahan kami yang terbesar dan terbaik setakat ini. Hasil pengalaman selama enam tahun terlibat di dalam acara ini kami gunakan sepenuhnya. Saya amat berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam proses melahirkan koleksi Sunday Bois terutamanya para kolaborator dan juga peminat setia Super Sunday atas semangat serta kepercayaan yang diberikan.
Saya percaya bahawa Super Sunday telah berjaya memberikan suara lantang kepada genre ‘streetwear’ yang kadang kala dipandang remeh dan terbukti hari ini bahawa jenama ini lebih dari sekadar ‘hype’. Ianya serius bukan sahaja dari perspektif fesyen tetapi juga bisnes,” kata Zulkifli Salleh / Bob / Mr Kioue, pengasas serta pengarah kreatif Super Sunday.
Tahun ini di KLFW 2022, pertunjukan koleksi Super Sunday dirancakkan lagi dengan persembahan berapi dari kumpulan hip hop negara yang sedang hangat mencipta nama iaitu City Bois. Dikuasakan oleh ISUZU D-Max X-Terrain, acara tersebut turut dihadiri oleh nama-nama besar di bidang fesyen, muzik dan seni negara seperti Datuk Seri Bernard Chndran, Monoloque, Jiman Casablancas, Kuku Besi, Kim Samuel, Fritilldea, Ridduan TTFGA Ismail, Tisya Ong, Vivienna Q. Alfred, Nakalness dari kumpulan Forceparkbois, Bryan Chin – Sneakerlah, dan Hanis Ajar. Ternyata Super Sunday tanpa ragu-ragu telah mencatat sejarahnya sendiri dalam arena fesyen Malaysia dan di rantau Asia.
Untuk maklumat lanjut tentang koleksi ini, lawati www.supersundaystore.com atau ikuti Super Sunday di media sosial.