in

Sundance Channel Siar Pesta Filem Antarabangsa Busan Ke-17

Sundance Channel Siar Pesta Filem Antarabangsa Busan ke-17

SUNDANCE CHANNEL MERAIKAN PESTA FILEM ANTARABANGSA BUSAN KE-17 DENGAN LIPUTAN PERDANA DAN TAYANGAN FILEM EKSKLUSIF

TAYANGAN ISTIMEWA PESTA DAN FILEM YANG AKAN DIPERTONTONKAN PADA 8 HINGGA 12 OKTOBER

Sundance Channel hari ini mengumumkan perancangan mereka untuk melakukan liputan secara eksklusif Pesta Filem Antarabangsa Busan ke-17 pada 8 hingga 12 Oktober ini. Selain daripada menampilkan buat julung kalinya pesta berprestij tersebut, rangkaian hiburan tersebut akan turut menayangkan secara eksklusif, filem – filem pemenang anugerah di Busan pada tahun – tahun sebelumnya.

Liputan yang diproduksikan oleh Sundance Channel Global dan Active TV ini turut menayangkan temubual para selebriti dan penggiat filem Asia dan antarabangsa. Para penonton turut disajikan tayangan eksklusif di sebalik pentas pembikinan pesta yang terkemuka di Asia ini, yang akan memaparkan kemeriahan suasana di atas karpet merah dan juga temubual – temubual beserta liputan filem – filem utama yang akan bersaing di Busan. Tayangan istimewa ini akan ke udara di rangkaian ini setiap hari bermula 8 Oktober.

Selain daripada menayangkan liputan eksklusif pesta di Busan itu, Sundance Channel turut menampilkan barisan lima buah filem yang pernah ditayangkan di pesta ini pada tahun – tahun sebelum ini. Antaranya termasuklah, buat julung kalinya di kaca televisyen di seluruh dunia, filem I Carried You Home, yang telah menerima pencalonan New Current Award pada Pesta Filem Antarabangsa Busan ke-16. Mereka yang dicalonkan bagi kategori ini dilihat sebagai pengarah muda Asia yang memberangsangkan dan berpotensi menerajui industi perfileman dunia.

Sundance Channel sebelum ini lagi telah memberi sokogan kepada pesta – pesta filem terkemuka dunia. Antara liputan eksklusif pelbagai pesta terkemuka rangkaian ini termasuklah Pesta Filem Antarabangsa Cannes, Anugerah Filem Asia di Hong Kong, Pesta Filem Sundance dan juga untuk kali pertamanya, Pesta Filem dan Muzik Sundance London. Malahan sejak sekian lama, filem – filem daripada pesta – pesta tersebut telah ditayangkan di rangkaian ini dengan membariskan para penggiat filem dan pelakon baru dan juga mereka yang telah menjadi ikon genre tersendiri.

Berikut adalah maklumat mengenao tayangan perdana filem -filem sepanjang minggu tersebut.

Cole
Tayangan Perdana pada 8 Oktober, jam 10 pm
Filem yang diarahkan Carl Bessai ini mengisahkan Cole Chambers (lakonan Richard De Klerk), seorang penulis berbakat yang bercita – cita tinggi walaupun tinggal di pekan kecil. Beliau bertambah tertekan dengan keadaan keluarganya yang bermasalah. Apabila beliau mendapat tawaran mengikuti kelas penulisan kreatif di sebuah bandar, beliau merasakan ini adalah peluang untuk beliau meninggalkan pekan kecil tersebut dan merealisasikan impiannya, tetapi adakah ianya berbaloi? Cole kemudiannya menghabiskan masa berjauhan dari tempat asalnya dan jatuh cinta dengan Serafina (Kandyse McClure), seorang gadis cantik di universiti. Tidak mampu bergelut dengan perasaan bersalah kerana meninggalkan keluarganya, beliau pulang ke rumah, tetapi malangnya, Serafina pula melawat pada masa yang tidak sepatutnya. Kehadiran Serafina mencetuskan beberapa insiden yang mengubah kehidupan semua orang di pekan itu buat selama – lamanya. Cole adalah tulisan lakon layar pertama Adam Zang, Bessai turut menjadi pengarah penggambaran bagi filem ini. Chad Willet memenangi anugerah Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik di Anugerah Leo pada 2010, dan filem ini juga menerima pelbagai pencalonan pada tahun tersebut pada beberapa pesta filem yang lain.

3 Backyards
Tayangan Perdana pada 9 Oktober, jam 10 pm
3 Backyards adalah hasil karya penulis/pengarah Eric Mendelsohn. Filem ini mengisahkan tiga orang penduduk pekan kecil pada satu hari musim luruh yang kelihatan sempurna. Filem ini membawa penonton ke dalam hidup setiap satu karakter dalam perjalanan mereka yang bakal menggegarkan suasana kehidupan normal mereka. Seorang ahli perniagaan (Elias Koteas) yang mengalami masalah perkahwinan, meninggalkan isterinya kerana lawatan kerja, tetapi sebenarnya masih berada di pekan tersebut. Seorang gadis (Rachel Resheff) mencuri barang kemas milik ibunya tetapi kemudiannya terperangkap dalam masalah yang menakutkan. Seorang suri rumah pula menumpangkan kenderaan kepada jirannya yang juga merupakan seorang selebriti terkenal tetapi kemudian tersesat ke kawasan yang berbahaya. Di pengakhiran hari tersebut, suasana pekan kembali tenang, di mana setiap karakter tersebut mendapat pengajaran hidup masing – masing. Mendelsohn mendapat Anugerah Pengarahan bagi filem ini pada Pesta Filem Sundance 2010, di mana beliau juga mendapat pencalonan Hadiah Juri Utama.

Bellflower
Tayangan Perdana pada 10 Oktober, jam 10 pm
Filem yang ditulis dan diarahkan oleh Evan Glodell ini mengisahkan tentang dua orang kawan di California dalam perjalanan mereka mengecapi kehidupan dewasa. Mereka gemar menghabiskan membina ‘flame-thrower’ dan pelbagai lagi senjata pemusnah sejagat, dengan ‘harapan’ malapetaka dunia secara global akan berlaku dan mereka akan memimpin ‘kumpulan bayangan’ mereka ke jalan selamat. Semasa menunggu berlakunya malapetaka tersebut, perjalanan kisah mereka menjadi lebih menarik apabila salah seorang daripada mereka berjumpa dan jatuh cinta dengan seorang gadis yang berkarisma. Dengan kehadiran gadis itu, mereka meneruskan perjalanan hidup mereka dan berlakunya pengkhianatan, percintaan, kebencian, kepercayaan, dan keganasan ekstrem yang melampau fantasi malapetaka dunia mereka. Filem ini adalah filem arahan pertama Glodell yang berinspirasikan pelbagai peristiwa hidupnya. Glodell turut membintangi filem ini bersama – sama Tyler Dawson dan Jessie Wiseman, yang muncul buat kali pertama mereka dalam sebuah “filem ganjil yang dipandu semangat liar seperti Tarantino”.

The Bang Bang Club
Tayangan Perdana pada 11 Oktober, jam 10 pm
The Bang Bang Club adalah nama kepada kumpulan empat orang fotografer; Greg Marinovich (Ryan Phillipe), Kevin Carter (Taylor Kitsch), Ken Oosterbroek (Frank Rautenbach) dan Joao Silva (Neels Van Jaarsveld), yang berjaya mengabadikan gambar hari – hari akhir pemerintahan kejam orang kulit putih di Afrika Selatan. Filem ini mempunyai jalan cerita yang luar biasa dan kadang kala mengerikan, ianya mengenai orang – orang muda ini dan perkara – perkara luar dugaan dan ekstrem yang dilalui mereka bagi mendapatkan gambar – gambar tersebut. Robin (Malin Akerman), editor foto mereka mengambil tanggungjawab menjaga dan melindungi mereka, dan turut memastikan gambar – gambar mereka dilihat di seluruh dunia. Filem yang berdasarkan buku yang ditulis Marinovich dan Silva ini, meceritakan kisah benar empat orang muda, suka duka persahabatan mereka dengan tekanan, ketegangan, dan dilema moral dalam situasi mereka berhadapan keganasan luar batasan, kesakitan, dan penderitaan. Filem yang diarahkan Steven Silver ini turut menceritakan kisah pengakhiran apartheid dan kelahiran Afrika Selatan yang baru.

I Carried Your Home
Tayangan Perdana pada 12 Oktober, jam 10 pm
Filem yang diarahkan Tongpong Chantangkul ini mengisahkan kehidupan kontemporari keluarga Thailand di mana dua orang adik beradik perempuan terpaksa berjumpa semula kerana kematian ibu mereka. Kisah silam mereka sehingga kematian ibu mereka diceritakan berjalinan dengan perjalanan menghantar mayat ibu mereka ke sebuah perkampungan kecil. Fokus cerita ini adalah mengenai dua adik beradik yang terpisah dan tidak pernah berjumpa sesama sendiri selama beberapa tahun. Dalam perjalanan menghantar mayat ibu mereka, mereka dapat rasakan kesukaran untuk berkomunikasi sesama sendiri, akibat masing – masing memendam dan ketegangan yang terbentuk antara mereka. Perlahan – lahan, mereka mula untuk bercakap sesama sendiri tapi dalam masa yang sama masih cuba untuk menyembunyikan perasaan mereka, rasa keseorangan yang telah mereka biarkan selama ini dan juga rasa kesunyian seorang ibu yang berjauhan daripada anak – anak mereka. Filem ini dibintangi Akamsiri Suwannasuk, Apiya Sakuljaroensuk dan Torpong Kul-On. Chantarangkul menerima pencalonan tahun lepas di Pesta Dilem Antarabangsa Busan bagi New Current Award.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Showdown Street Fest 2012

Duta Brands Innershine Maya Karin Lancar InnerShine Prune Plus