in , ,

Sulur Nakasari 2.0 Nafas Gabungan Seni Tradisional Tari & Muzik 

Sulur adalah ibarat dari sebuah pokok yang berakar tumbuh menjalar, melingkar ke hadapan dan tumbuhnya tunas baharu.

Nakasari pula luahan rasa komposer melalui penghasilan muzik yang kaya dengan pelbagai rentak tradisional bersama gubahan yang segar, mantap dan unik. Begitulah juga maksud Sulur Nakasari yang mempersembahkan sebuah gerakan tari yang berakar dari tradisional Malaysia dan dialunkan bersama muzik Orkestra Tradisional Malaysia (OTM). 

Puan Zubaidah Mukhtar, Ketua Pengarah Istana Budaya menjelaskan, “Sulur Nakasari secara umumnya mempamerkan hasil kreativiti dan idea daripada barisan koreografer dan komposer Istana Budaya dalam melahirkan karya-karya rekacipta tari dan muzik yang baharu.” 

Persembahan ini utamanya dijayakan oleh dua (2) gabungan produk dari Istana Budaya iaitu residen Artis Budaya yang dikenali sebagai Artistana dan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM). Pementasan Sulur Nakasari 2.0 pada kali ini bakal menampilkan tiga (3) segmen dalam keseluruhan persembahan iaitu segmen Kreasi Tradisional, Kreatif Tradisional dan Kreatif Kontemporari. 

Sulur Nakasari 2.0 Nafas Gabungan Seni Tradisional Tari & Muzik

Sulur Nakasari 2.0 akan mempamerkan 12 jenis tarian antaranya seperti tarian Asli, Inang, Joget, Zapin Siltah, Jeraus dan Bakarano yang disusun oleh sembilan (9) orang koreografer Istana Budaya berbanding 10 jenis tarian yang telah dipersembahkan pada Sulur Nakasari yang lalu. 

Istimewanya sentuhan Sulur Nakasari 2.0 tahun ini bakal menjemput dua (2) artis tempatan yang hebat iaitu Bob Yusof dan Hazra Dollah bagi menyemarakkan lagi persembahan etnik kreatif dan tradisional Malaysia. 

Bagai irama dan lagu, begitu juga tari dan muzik. OTM berperanan menghasilkan identiti kesenian muzik tradisional yang unik dengan melibatkan pelbagai jenis instrumen dari berbilang kaum dan etnik di seluruh Malaysia. 

En. Yazid Zakaria selaku Konduktor/ Pengarah Muzik OTM menyatakan, “uniknya Sulur Nakasari 2.0 bagi tahun 2023 berbanding sebelum ini adalah lima (5) buah gubahan lagu baharu telah berjaya dihasilkan dan menjadikan 18 buah lagu secara keseluruhan dengan melibatkan sembilan (9) orang komposer dari OTM sendiri.” 

Gerak tari (Sulur) yang dialun bersama rentak muzik (Nakasari) mestilah dilengkapkan dengan rekaan busana bagi menampakkan impak yang hebat. Setiap jenis tarian dan persembahan mempunyai sentuhan busana yang berbeza bagi merealisasikan konsep yang dikehendaki oleh kareografer. Setiap sudut dari segi pemilihan warna, cara pemakaian dan susunan corak busana mestilah menjaga keaslian material seiring dengan mengekalkan identiti untuk setiap jenis tarian. Menariknya busana Sulur Nakasari ini merupakan hak cipta sepenuhnya milik Istana Budaya

Hasil sentuhan kreatif dan keindahan keseluruhan persembahan Sulur Nakasari 2.0 dalam menjanjikan satu pementasan yang hebat diketuai oleh Encik A. Aris A. Kadir sebagai Pengarah Persembahan dan Encik Badrul Zaman Abdul Jalil sebagai Sinografer. 

Manakala sentuhan keunikan seni tari dan muzik dalam menimbulkan satu rasa dan kepuasan pementasan ini diketuai oleh Encik Mohd Yazid Zakaria sebagai Konduktor/ Pengarah Muzik OTM dan Encik Rudy De Luna Jr. sebagai Pengarah Tari. 

Sulur Nakasari 2.0 akan dipentaskan selama dua (2) malam iaitu pada 28 dan 29 Julai 2023, jam 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya

Tiket persembahan dijual dengan harga tiket RAHMAH serendah RM30 untuk Upper Circle, RM50 untuk Grand Circle, RM80 untuk Stalls dan RM150 untuk Gold Seat. Tempahan tiket hanya boleh didapati di laman sesawang Istana Budaya https://www.istanabudaya.gov.my . 

Untuk maklumat lebih lanjut, awam boleh melayari portal dan di setiap platfom media sosial Istana Budaya atau menghubungi Unit Perhubungan Awam, Istana Budaya di talian 03-4026 5548/ 557/ 560. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Berjalan Mundur Fiersa Besari Live In Kuala Lumpur Telah Diubah Tarikh

Tonton Galaxy Unpacked Julai 2023, Ada Potongan Hingga RM400