Dalam menyemarakkan semangat Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, penyanyi terkenal tanah air Suki Low tampil dengan satu usaha yang cukup bermakna dan menyentuh hati. Berbekalkan semangat untuk menyebarkan kesedaran tentang autisme serta memupuk semangat keterangkuman, beliau bergabung tenaga dengan IDEAS Autism Centre (IAC) bagi melancarkan satu kempen yang dinamakan Anugerah Hati.
Kempen ini bukan sekadar inisiatif biasa, tetapi satu gerakan kesedaran yang bertujuan untuk merapatkan jurang antara masyarakat umum dengan individu dalam spektrum autisme, menerusi kuasa muzik, kasih sayang dan perpaduan.
Lagu Raya Yang Sarat Dengan Inspirasi Dan Harapan
Di tengah-tengah kempen Anugerah Hati ini adalah pelancaran lagu Hari Raya penuh inspirasi yang turut disertai dengan video muzik menyentuh perasaan. Lagu ini dinyanyikan oleh Suki Low bersama kumpulan seni budaya Alun Tradisi dan turut menampilkan Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz, yang berkenan mencemar duli untuk tampil dalam video muzik tersebut. Rakaman video dilakukan di IDEAS Autism Centre, Nilai, di mana momen-momen indah kanak-kanak IAC meraikan Hari Raya bersama masyarakat setempat dirakamkan dengan penuh kasih dan makna.
Visual dan melodi lagu ini bukan sahaja menghidupkan suasana meriah Aidilfitri, malah menonjolkan kekuatan keterangkuman, semangat komuniti, dan kesan luar biasa dalam amalan memberi. Melodi yang dipilih juga bukan sembarangan, sebaliknya irama Joget yang begitu dekat dengan budaya tempatan dipilih sebagai lambang kegembiraan, ketabahan dan kebersamaan.
Suki Low Seru Masyarakat Dengari Dengan Kasih, Terima Dengan Ikhlas
Berkongsi perasaannya tentang lagu ini, Suki Low berkata:
“Saya berbesar hati untuk mempersembahkan Anugerah Hati, sebuah lagu yang didedikasikan kepada kanak-kanak dengan autisme dan kepelbagaian yang kita boleh cipta bersama. Muzik melampaui batasan bangsa, kepercayaan, serta latar belakang, dan lagu ini adalah rayuan mesra saya — satu permohonan ringan untuk kita mendengar dengan kasih sayang, mencintai dengan lebih mendalam, dan membina dunia di mana cahaya setiap anak bersinar terang dan bebas.”
Tambah Suki lagi, pemilihan irama Joget bukan hanya untuk meriah semata-mata, sebaliknya irama ini dipilih kerana ia melambangkan ketabahan dan kekuatan kanak-kanak autistik, sambil tetap menyemarakkan rasa gembira dan kebersamaan yang sinonim dengan Hari Raya.
“Saya berharap ini menjadi lagu Raya yang abadi, yang menghormati tradisi kita sambil merangkul kemajuan. Raya kali ini, mari kita bergerak lebih daripada sekadar tradisi, mari kita perjuangkan keterangkuman, menggantikan keheningan dengan lagu, dan menukar pengecualian menjadi penerimaan.”
Pelancaran Rasmi Yang Dihadiri Rakan Kongsi Dan Keluarga IAC
Kempen ini telah dilancarkan secara rasmi pada 19 Mac 2025 bertempat di Bizmilla Wedding Hall, One City, Subang dalam satu Majlis Berbuka Puasa yang penuh rasa syukur dan keakraban. Majlis ini menyaksikan kehadiran ramai tetamu kehormat, termasuk penaja, rakan kongsi, penyokong, serta keluarga-keluarga yang terlibat secara langsung dengan IAC. Sambutan yang hangat ini membuktikan bahawa kempen ini benar-benar menyentuh hati ramai, apatah lagi di bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Suara IAC: Setiap Sumbangan Bawa Harapan
Puan Mazrina Arifin, Pengarah IDEAS Autism Centre turut berkongsi rasa terharunya:
“Anugerah Hati sangat bermakna bagi kami. Dengan mengangkat senyuman dan suara anak-anak serta guru-guru kami, kami berharap dapat menginspirasi Malaysia yang lebih inklusif dan penuh kasih sayang. Setiap sumbangan, besar atau kecil, membantu kami untuk menaja terapi, melatih pakar, dan memperluaskan jangkauan kami kepada lebih banyak keluarga yang memerlukan.”
Beliau juga mengalu-alukan kolaborasi Suki Low dan memuji kesungguhan penyanyi ini yang menggunakan bakat seninya untuk mencipta impak positif dalam komuniti.
Disokong Oleh Penaja Yang Dermawan Dan Komited
Kempen Anugerah Hati ini turut mendapat sokongan dari pelbagai pihak yang sama-sama komited untuk menyokong keterangkuman dalam komuniti autisme. Antara penaja yang terlibat ialah Lee & Poh Partnership, Enotech, Mar’s Kuala Lumpur, Kitsui dan ramai lagi penyumbang yang prihatin.
Mereka semua memainkan peranan penting dalam menjayakan kempen ini, yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang dalam usaha murni ini, sama ada melalui perkongsian video muzik mahupun sumbangan terus kepada pusat ini.
IDEAS Autism Centre: Membimbing, Merawat Dan Menyayangi
Ditubuhkan pada tahun 2012 oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), yang dipimpin oleh presiden pengasasnya YAM Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz, IAC memberikan penjagaan dan pendidikan khas buat kanak-kanak autisme, khususnya dari keluarga berpendapatan rendah. Kini dengan pusat di Rawang, Nilai dan Port Dickson, IAC menyokong 90 kanak-kanak, menyediakan mereka kemahiran asas dan membimbing mereka ke arah kehidupan yang bermakna dan berdikari.
Jom Dengar Dan Sebarkan Anugerah Hati!
IDEAS Autism Centre mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendengar, menonton dan berkongsi video muzik Anugerah Hati ini. Lagu ini boleh didengari dan distrim di semua platform digital utama bermula 19 Mac 2025.
Budiey rasa kempen Anugerah Hati ini adalah satu usaha murni dan kreatif yang perlu diraikan dan disokong oleh semua pihak. Gabungan muzik, seni dan misi sosial yang diterajui oleh Suki Low bersama IAC ini membuka mata kita tentang pentingnya kesedaran dan penerimaan terhadap individu autisme dalam masyarakat. Lebih-lebih lagi, ia menggunakan sambutan Hari Raya — satu perayaan yang penuh makna — sebagai platform penyatuan untuk menyebarkan mesej cinta, kasih sayang dan keterangkuman.
Budiey cadangkan agar lebih ramai artis dan penggiat seni tempatan tampil seperti Suki Low — menggunakan pengaruh dan bakat mereka untuk membawa perubahan sosial yang bermakna. Selain itu, masyarakat juga boleh memainkan peranan dengan menyokong usaha ini, menonton video muzik, berkongsi di media sosial dan membuat sumbangan kepada IAC. Bersama-sama, kita boleh membina Malaysia yang lebih prihatin, inklusif dan penyayang. Raya bukan sekadar bergaya, tetapi juga masa untuk kita memberi dan menerima dengan hati terbuka.