Dalam program 13 episod diberi tajuk “Pantang Dicabar” disiarkan mulai 26 Julai ini, setiap Ahad, pukul 11.05 pagi di TV1 ini menggandingkan hos Akmal Ahmad dan Kim Fukazawa. Hos program ini melakukan aksi lasak berbeza pada setiap episod yang belum pernah dicuba sebelum ini. Mereka diberi tunjuk ajar oleh jurulatih tertentu sebelum melakukan aksi-aksi tersebut. Tambah mengujakan lagi kerana melibatkan lokasi penggambaran luar negara iaitu Thailand, dan Indonesia juga di Malaysia sendiri berdasarkan aktiviti lasak dipilih.
#1 – LUNCUR AIR
Dalam episod pengenalan ini, hos melakukan aktiviti ekstrem di Chonburri berdekatan Bangkok, Thailand. Aktiviti yang dilakukan luncur air (wakeboarding). Mereka meluncur dalam air di sebuah tasik yang popular dengan sukan ekstrem tersebut. Hos perlu menjawab soalan berkaitan luncur air. Mereka kemudiannya meneruskan perjalanan ke Thai Wake Park Pattaya, Chonburi melakukan aktiviti ekstrem luncur air. Mereka bertemu Belka, seorang peluncur air profesional yang mengajar mereka teknik asas untuk meluncur air dengan betul.
#2 – RENTAS BERTALI
Hos membawa penonton ke Pattaya, Thailand untuk melakukan aktiviti ekstrem iaitu Rentas Bertali (Zipline) di Flight Of The Gibbon, Siracha, Chonburi. Setibanya di pusat tersebut, mereka disambut oleh Suwanus Yibpikul dan diberi penerangan dan maklumat terperinci berkaitan aspek keselamatan oleh Sompote Cherntong, seorang ‘Skyrangers Flight Of Gibbon’. Terdapat sebanyak 23 ‘platform’ Rentas Bertali di kawasan tersebut dengan ‘patform’ yang paling tinggi ialah 45 meter. Mereka juga perlu berjalan di titian berayun untuk menguji tahap ‘kegayatan’ seseorang.
#3 – LOMPATAN ‘BUNGEE’
Mereka meneruskan perjalanan ke lokasi X-Bungy, Pattaya, Thailand untuk melakukan aktiviti ekstrem Lompatan ‘Bungee’. Kim dan Akmal telah disambut oleh En. Mark, pemilik X-Bungy Pattaya dan berkongsi cara lompatan dan aspek keselamatan yang perlu diambil berat oleh setiap penerjun. Beliau juga menerangkan yang Lompatan ‘Bungee’ di tempatnya merupakan yang tertinggi di Thailand iaitu 60 meter. Kim mencabar Akmal untuk melakukan Cabaran Lastik Manusia. Mereka ditarik naik menggunakan kren sehingga ketinggian 60 meter untuk melakukan Lompatan ‘Bungee’ tertinggi di Thailand.
#4 – LUMBA GO-KART
Episod seterusnya ke Bangkok, Thailand melakukan aktiviti Lumba Go-Kart di Impact Speed Park Bangkok antara litar go-kart yang terkenal. Akmal bertemu dengan Neo dan beliau menyuruh Neo yang kemudiannya berjaya melakukan aksi ‘tagline’ tersebut. Mereka seterusnya tiba di litar go-kart yang terkenal iaitu Impact Speed Park di Bangkok dan bertemu dengan Kittiwath Jangwang, pengurus litar tersebut. Kittiwath menerangkan sedikit sebanyak tentang sejarah penubuhan dan aktiviti yang sering dianjurkan di litar tersebut. Cabaran dimulakan dengan perlumbaan solo yang perlu dilakukan dengan catatan masa di bawah 45 saat.
#5 – LUNCUR ANGIN
Dari Bangkok menuju ke Bali, Indonesia melakukan aktiviti ekstrem Luncur Angin (Windsurfing). Setibanya di Bali, mereka memulakan cabaran pertama iaitu melalui Kuiz Aktiviti Ekstrem yang mengutarakan soalan berkaitan sukan Luncur Angin. dan Kim disambut oleh Geby Amanda, Eksekutif Pemasaran Rip Curl School Of Surf dan kemudian bertemu Surya Gangga Nata, Penolong Ketua Jurulatih yang mengajar mereka teknik untuk meluncur angin dengan posisi keseimbangan badan yang betul berpandukan arah tiupan angin.
#6 – TERBANG DI AIR
Episod di Bali, Indonesia, Akmal dan Kim melakukan aktiviti ekstrem Terbang Di Air (Flyboarding). Peserta perlu menggunakan peralatan khas untuk terapung di atas air yang menggunakan kuasa tujahan air. Mereka ke Pandawa Marine Adventures, Tanjung Benda, Nusa Dua, Bali meneruskan cabaran ‘Flyboarding’. Mereka disambut oleh Pak Nyoman, jurulatih sukan ‘Flyboarding’. Pak Nyoman mengajar Kim dan Akmal teknik yang betul untuk melakukan aksi ‘Flyboarding’.
#7 – PARALAYAR
Aktiviti ekstrem Paralayar (Parasailing) cabaran yang dilakukan oleh hos dalam episod ini. Kuiz Aktiviti Ekstrem dimulakan dengan soalan berkaitan dengan aksi Paralayar untuk menguji pengetahuan am mereka. Masih di Pandawa Marine Adventures, Tanjung Benda, Nusa Dua, Bali untuk meneruskan cabaran Paralayar. Akmal dan Kim menaiki bot dibawa ke tengah laut dan mereka akan ditarik naik dengan menggunakan payung terjun. Akmal memulakan aksi tersebut pada ketinggian 50 meter yang membuatkan dirinya gayat pada ketinggian tersebut. Seterusnya tiba giliran Kim pula dan beliau menjerit dan teruja apabila berada di udara bersama payung terjun.
#8 – MEREDAH ARUS
Bali, Indonesia masih menjadi pilihan dalam melakukan aktiviti ekstrem Meredah Arus (River Rafting) dimana peserta perlu mengharungi arus sungai yang deras dengan menggunakan kemahiran mengendalikan bot pelampung getah. Kim telah dicabar oleh Akmal melakukan aksi ‘Zipline Berbasikal’ yang mana Kim perlu berbasikal di atas seutas kabel pada kedudukan tinggi. Akmal dan Kim kemudiannya dibawa ke Ubud, Bali oleh BMW Rafting bagi melakukan cabaran Meredah Arus. Mereka menuju ke Sungai Telaga Waja yang merupakan sungai yang sesuai untuk aktiviti Meredah Arus.
#9 – MERENTAS LEMBAH
Akmal dan Kim terus berada di Bali, Indonesia bagi menyahut cabaran seterusnya iaitu aktiviti lasak Merentas Lembah (Canyoning). Pelbagai aksi perlu dilakukan dalam Merentas Lembah seperti memasuki hutan, menyusur dan mendaki tebing serta terjun ke dalam air terjun. Hos meneruskan perjalanan ke Buleleng, Bali untuk melakukan aktiviti Merentas Lembah. Mereka telah diberi taklimat oleh seorang tenaga pengajar syarikat Adventure & Spirit, iaitu Gustian Romanto yang akan membantu mereka dalam aksi Merentas Lembah.
#10 – RENANG DENGAN JERUNG
Lagi episod menarik di Bali, Indonesia melakukan aktiviti ekstrem Renang Dengan Jerung. Mereka dikehendaki berenang di laut dengan kehadiran beberapa ekor ikan jerung. Kim melakukan aksi Dayung Berdiri. Mereka seterusnya dibawa oleh En. Nyoman Sudra, seorang penjaga dan penyelamat di Ocean Club Bali menuju ke kelong yang menempatkan ikan jerung. Setibanya di kelong, mereka disambut oleh Pak Arshad Bahir, penyelia kelong tersebut yang sudi berkongsi maklumat berkaitan dengan aktiviti yang akan mereka lakukan. Kim dan Akmal memulakan cabaran Renang Dengan Jerung dengan menggunakan peralatan ‘Snorkeling’.
#11 – MOTOR LASAK
Kim dan Akmal kembali berada di Kuala Lumpur, Malaysia melakukan cabaran aksi ekstrem sukan Motor Lasak (Enduro). Mereka seterusnya menuju ke Rock Enduro, Kemensah, Selangor, litar untuk sukan Motor Lasak. Akmal dan Kim diberi taklimat serta diajar asas tunggangan oleh Encik Muhd. Mereka mula menunggang di kawasan lapang untuk membiasakan diri dengan motor sebelum memasuki laluan hutan yang berbukit dan berliku. Malang tidak berbau buat Kim selepas beliau terlibat dengan kemalangan ketika menuruni sebuah bukit.
#12 – JURUTERBANG SEHARI
Kali ini penonton dibawa ke Petaling Jaya, Selangor mencabar diri sebagai Juruterbang Sehari (One Day Pilot). Akmal dan Kim melakukan cabaran dan kemudiannya menuju ke Terminal Subang Skypark bertemu dengan Kapten Imran Ismail, seorang juruterbang profesional. Kapten Imran memberi taklimat berkaitan penerbangan yang akan mereka lakukan nanti. Beliau juga melakukan pemeriksaan terhadap pesawat ringan yang akan digunakan. Akmal berpeluang untuk mengendalikan pesawat semasa berlepas dengan bantuan tunjuk ajar Kapten Imran. Selepas Akmal selesai mendarat, tiba giliran Kim mengendalikan pesawat dan selepas beberapa ketika, Kim kelihatan gementar dan takut. Kapten Imran segera mengambil alih pemanduan sehingga mereka selamat mendarat.
#13 – PARAMOTOR
Episod akhir Akmal dan Kim berada di Pulau Indah, Klang melakukan aksi ekstrem sukan Paramotor (Aerochute) yang melibatkan aksi terbang menggunakan bantuan motor dan juga payung terjun. Kuiz Aktiviti Ekstrem dimulakan untuk menguji pengetahuan am Kim dan Akmal berkaitan sukan Paramotor. Mereka bertemu En. Saufi Salim, juruterbang Paramotor profesional merangkap Presiden Persatuan Paramotor Malaysia. Beliau berkongsi maklumat berkaitan sukan Paramotor. Akmal dan Kim diajar asas penerbangan sebelum melakukan penerbangan yang sebenar. Akmal dan Kim kemudiannya melakukan penerbangan masing-masing sambil ditemani juruterbang Persatuan Paramotor Malaysia.