Kisah perhubungan mereka menjadi tular kerana kehadiran Sufian di majlis sambutan hari lahir Arianna diperkatakan warganet baru-baru ini.
“Saya tidak mempunyai hubungan istimewa dengan mana-mana wanita termasuk Arianna. Saya mengenalinya sebab dia berkawan dengan kawan baik saya.
Secara kebetulan pula lokasi majlis hari lahirnya diadakan berdekatan dengan rumah saya. Itu yang saya pergi memeriahkan majlis.
“Buat masa sekarang, saya nak fokus pada kerjaya, bab-bab cinta saya masih belum bersedia.
Bukannya saya tidak ‘move on’ dengan kisah cinta lalu sebaliknya rasa tidak yakin untuk kembali bercinta,”
– Sufian Suhaimi
Sufian ditemui pada majlis pelancaran lagu runut bunyi (OST) filem Motif berjudul Takkan Merubah yang berlangsung di Red Box Pavilion, Kuala Lumpur hari ini.
Lagu ciptaan Amylea Azizan dan Farouk Roman itu merupakan dendangan duet buat kali pertama antara Sufian dengan Amira Othman.
Sebelum dikaitkan dengan Arianna, pelantun lagu Di Matamu turut dikatakan bercinta dengan pelakon dan pengacara Jasmine Suraya Chin.
Dakwaan itu timbul selepas Sufian menghadiri majlis penghargaan buat peminat Jasmine, malah dia turut sama mendendangkan lagu pada majlis tersebut.
“Saya tiada hubungan istimewa dengan Jasmine dan kami sekadar rakan artis. Saya diundang pada majlis itu oleh syarikat pengurusan Jasmine memandangkan dia minat dengan lagu Di Matamu.
“Saya terharu bila dapat tahu Jasmine minat lagu itu dan saya rasa ini masanya untuk saya beri balik kepada peminat saya,”
– Sufian Suhaimi
Ujarnya, dia mengharapkan kenyataannya ini akan dapat menjernihkan kekeliruan ramai mengenai hubungannya dengan Arianna dan Jasmine.
Menurut Sufian, dia berharap selepas ini orang ramai dapat memberikan fokus terhadap kerjaya seninya daripada memberikan perhatian terhadap gosip-gosip tidak berasas yang sering kali dikaitkan dengan dirinya.
Sumber: KopiPlanet