Penyanyi, Sufi Rashid, 28, selamat bergelar suami kepada pilihan hatinya, Nurulain Md Yusof, dalam majlis yang berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya, hari ini.
Pasangan berkenaan dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan di hadapan Pendaftar Nikah Putrajaya, Hasli Othman.
Menurut kenyataan dikirimkan kepada BH Online, juara Akademi Fantasia 2015 itu sah bergelar suami dengan hanya sekali lafaz.
Kata artis kelahiran Singapura itu, dia cukup bertuah apabila mengenali Ain yang akhirnya menjadi teman hidup.
“Saya bersyukur dijodohkan dengan Ain. Dia isteri yang sangat memahami kerjaya saya sebagai selebriti. Dia juga tidak pernah menghalang saya daripada terus berkarya dalam industri seni.
“Saya memohon agar peminat mendoakan kebahagiaan kami hingga selama-lamanya,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Aku Sanggup itu.
Pada majlis yang dihadiri oleh keluarga terdekat dan teman rapat itu, Sufi menyerahkan wang hantaran berjumlah RM20,000, mas kahwin RM910 dan sebentuk cincin kepada isteri, selain tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.
Sufi atau nama sebenarnya Muhammad Sufi Rashid mengikat tali pertunangan dengan pengasas sebuah produk makanan itu pada 15 Disember tahun lalu, selepas berkenalan selama dua tahun.
Majlis resepsi pasangan terbabit akan berlangsung di Damansara Perdana, esok.
Sumber: Berita Harian