Mendirikan rumah tangga dengan seorang juruterbang yang dikenali sebagai Amir pada Februari tahun lalu, namun ikatan perkahwinan terlerai, tahun yang sama. Jika dihitung, mereka hanya mengecapi kebahagiaan sebagai suami isteri selama beberapa bulan.
Segala persoalan mula timbul apabila tiada lagi gambar bersama bekas suaminya dalam laman sosial, Instagram (IG), sejak akhir-akhir ini.
Lebih Baik Berpisah Daripada Terus Terluka
Enggan terus berselindung, wanita kelahiran Alor Setar, Kedah itu mengakui, dia sudah kembali memegang status ibu tunggal, sejak tahun lalu.
“Saya dan bekas suami sudah berpisah. Perkahwinan kami terlerai tahun lalu, tempoh edah pun sudah hampir tamat. Bagi pengikut IG, mereka tahu saya bercerai.
“Apa yang boleh saya katakan, tiada jodoh antara kami. Keputusan ini atas persetujuan bersama. Saya dan bekas suami sudah tidak boleh bersama, jadi jalan terbaik adalah berpisah.
“Saya tahu orang akan cakap, tak sampai setahun sudah bercerai. Bagaimanapun, usahkan setahun, malah ada yang berkahwin selama 30 tahun pun bercerai. Siapa nak berkahwin untuk bercerai, tetapi inilah takdir saya,”
– Mimie Haris
Enggan mengulas lanjut punca perceraian kali kedua itu, Mimie berkata, dia tak kisah untuk membiarkan orang ramai dengan persepsi mereka.
Baginya, cukup sekadar dia dan keluarga terdekat mengetahui punca perpisahan.
“Mulut tempayan boleh ditutup, tetapi tidak mulut manusia. Tak kisahlah nak cakap apapun, biarlah saya dan keluarga tahu apa yang dihadapi, itu sudah memadai.
“Saya rasa tak perlu nak fikir apa orang nak kutuk. Kalau dengar orang cerca, saya pula tidak boleh meneruskan hidup. Lagipun, saya dan bekas suami tidak boleh hidup bersama. Daripada terus menyakitkan hati, lebih baik kami berpisah,” katanya.
Mengulas tindakannya yang kelihatan terbuka berkongsi dalam laman sosial, biarpun ini perkahwinan kali kedua yang gagal dipertahankan, Mimie berkata, dia tidaklah terlalu terbuka berkongsi soal peribadi dan perceraian dalam IG.
“Ramai pengikut yang tertanya-tanya apabila tiada lagi gambar bersama bekas suami. Saya rasa tak perlulah nak berselindung, jadi saya berkongsi perkara sebenar. Lagipun, saya bukan lagi menjadi isteri orang, bimbang timbul fitnah apabila orang tak tahu saya sudah bercerai.
“Jika ikutkan, usia saya masih muda dan tiada cahaya mata anak lagi. Sudah tentu, saya mahukan hubungan yang berkekalan sama seperti pasangan suami isteri lain.
“Jadi, nak kata serik, tidak juga. Kalau ada jodoh, adalah… Tetapi, buat masa sekarang, saya baru sahaja bercerai, perasaan nak berkahwin lagi memang tiada,” katanya.
Mimie atau nama sebenarnya, Norshamimi Ahmad Haris berkata, kegagalan dalam dua perkahwinan lalu mengajarnya erti kesabaran dalam menghadapi dugaan.
“Dugaan bukan hanya dalam perkahwinan tapi di luar perkahwinan juga ada. Antara dugaannya dari orang sekeliling.
“Kami bercerai bukan disebabkan tiada cahaya mata. Tidak rezeki lagi nak memiliki anak, nak buat macam mana? Apabila direnung semula, kalau ada anak pun susah jika hubungan saya dan bekas suami tiada keserasian. Tetapi, jika dipertemukan jodoh lagi, saya memang mahukan anak,” katanya.
Mimie berkata, dia tidaklah bersedih sangat, mungkin disebabkan sibuk bekerja.
“Saya mahu menjadi wanita berdikari dan tidak mengharapkan lelaki bertanggungjawab atas kehidupan sejak dahulu lagi. Apapun, saya usaha sendiri.
“Saya lebih cenderung kepada dunia pengacaraan. Bagaimanapun, saya merancang mengeluarkan single baharu selepas kali terakhir pada 2013.
“Sebenarnya, saya ada menyanyikan lagu runut bunyi untuk beberapa drama. Saya setuju mahu menghasilkan single selepas dipelawa rakan yang juga pengacara dan komposer, Zack Merican,” katanya.
*Sumber: Berita Harian