Isu pembayaran teater ‘Korupsi Dewan Semandung’ hasil terbitan Ogy Ahmad Daud pada bulan Mac tahun lalu nampaknya masih belum berkesudahan. Umpama peribahasa rumah dah siap tapi pahat pula berbunyi, sebelum ini penulis skrip pementasan tersebut iaitu saudara Aloy Paradoks lantang mendedahkan dirinya masih belum menerima payment penuh daripada Kak Ogy.
Sudah beberapa bulan berlalu, penulis skrip berkenaan mendedahkan sehingga kini bayaran tersebut masih belum diselesaikan oleh Ogy.
Menerusi satu perkongsian di Twitter, Aloy meluahkan rasa kesal walaupun negara kembali menjalani Perintah Kawalan Pergerakan, namun bayaran masih belum diselesaikan lagi.
Walaupun sudah membongkarkan hal tersebut kepada umum dengan harapan Fauziah Ahmad Daud segera menyelesaikan tunggakan itu, siapa sangka penantiannya terus menemui jalan buntu. Terdahulu menerusi laporan mStar, pelakon wanita popular ini ada bersuara untuk menjawab semula asakan mengenai isu terbabit. Ketika itu, dia sedar bahawa hutang memang wajib dibayar malahan menjelaskan akan terus mencari jalan penyelesaian.
Dengan nada-nada yang sedikit menyindir, dia nampaknya begitu kesal kerana kemelut itu berterusan sehingga ke hari ini sedangkan ia sudah hangat diperkatakan sejak tahun lalu lagi.
Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang bersimpati dengan nasib penulis itu serta berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan segera.
Pada 3 May 2020, penulis skrip ini pernah menulis keluhan panjang di Facebooknya sehingga meraih perhatian ramai. Meskipun sedar bahawa kelantangan menyuarakan isu ini akan memberi kesan pada dirinya nanti, namun dia terus berani untuk menuntut semula haknya.
Difahamkan, teater Korupsi Dewan Semandung arahan Khir Rahman itu dibintangi telah dipentaskan di Istana Budaya pada 28 Februari hingga 1 Mac tahun lalu.
‘Saya Tak Lari, Saya Tetap Akan Bayar’
Penerbit Teater Korupsi Dewan Semandung, Fauziah Ahmad Daud menjelaskan dia tidak pernah lupa atau lari dari membayar hutang kepada barisan produksi dan pelakon serta penulis skripnya, Aloy Paradoks. Fauziah atau mesra dengan panggilan Ogy yang menerbitkan teater itu di bawah produksi Ogy Ventures & Network berkata, dia mengambil sikap berdiam diri untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan.
“Malaslah nak cakap yang saya bayar hutang. Saya tak cerita pada orang pun. Takkan saya nak melayan sahaja apa dia nak menulis.
“Saya bayar kepada rakan kongsinya Rayza Mukmin. Itu tak perlulah saya nak ceritakan kepada semua orang. Ya, saya mengaku belum habis bayar untuk dia, tapi yang lainnya ramai yang saya sudah habis bayar. Yang penting saya bayar, bukannya saya lari atau tukar nombor telefon. Saya nak lari ke mana?,”
Ogy yang juga pelakon senior memaklumkan dia juga tidak keluar dari kumpulan WhatsApp yang diwujudkan khas untuk teater ini.
“Tapi mungkin dia (Aloy) gemar cara begitu, biarkanlah. Saya pun tak kuasa melayan. Tak baguslah dia bermusuh sesama Melayu dan Islam kerana duit. Lagipun saya memang berurusan dengan rakan kongsinya. Saya dah cakap apa-apa saya akan bayar kepada dia.
“Saya malas nak melayan lebih-lebih kerana dalm kumpulan WhatsApp pun Aloy ada keluarkan perkataan, tunggu saja nak jumpa nak tampar. Saya buat tangkap layar, tunjuk kepada Rayza dan kata perlukah bercakap dengan orang tua begini?,”
Ogy juga mengakui ada membaca status Aloy di Facebook yang dikirimkan seorang individu kepadanya.
“Saya tengok dan baca serta ucap terima kasih kepada orang itu. Saya tiada niat nak jawab balik atau apa-apa. Tak perlu nak menjawab-jawab kerana yang utamanya nak selesaikan hutang. Fokus saya memang nak bayar. Bayangkan daripada berpuluh-puluh orang, tinggal hanya empat orang iaitu dia, pemuzik dan dua lagi untuk dibayar. Itu tunjukkan saya nak lari kah? Saya bukanlah orang yang nak lari atau buat kecoh. Malaikat kanan kiri dah nampak saya bayar. Allah dah nampak saya bayar cukuplah,”
Ogy berkata, apabila mengeluarkan kenyataan begini, dia pasti akan dituduh sebagai penunggang agama dan sebagainya.
“Bagi saya senang sahaja. Yang penting sebelum saya tutup mata, saya harus selesaikan pembayaran. Cuma saya pelik ada yang keluarkan cerita kononnya orang yang pernah kerja dengan saya beritahu macam-macam. Orang yang tak tahu cerita sebenar main tokok tambah sahaja. Saya pun tak tahu bila tiba-tiba ada yang kata itu, ini,”
Dia secara jujur memberitahu ada diantara kru program Spotlight terbitannya belum menerima pembayaran.
“Tapi itu tak bermakna saya larikan diri. Saya masih membayar. Untuk apa saya buat perniagaan produk pes kari, Ogy’s Curry Paste kalau bukan untuk bayar hutang.
“Sampai sekarang saya tak raih untung dari jualan produk tapi nawaitunya adalah untuk membayar hutang. Bahkan bayaran saya berlakon drama bersiri Diva Popular pun, saya gunakan untuk bayar hutang,”
*Sumber: Harian Metro