Subi Letak Jawatan Pengurus Operasi Suria FM. Pengurus Operasi Suria FM, Subarma Mokhtar (Subi) menolak andaian kononnya dia menghadapi tekanan sehingga memaksanya untuk meninggalkan stesen radio itu berkuat kuasa 31 Julai ini.
Subi berkata dia sebenarnya ingin mengubah kerjaya dengan menceburkan diri dalam bidang perniagaan, pembangunan perisian setelah 15 tahun berada dalam industri hiburan radio.
“Sudah tiba masanya untuk saya berubah angin ke bidang yang baru pula. Lagipun memang sejak dahulu lagi saya minat dengan bidang perisian komputer. Bagaimanapun peletakan jawatan ini bukan disebabkan tertekan dengan bebanan yang dipertanggungjawabkan. Rasanya, kerja di mana-mana sekalipun, tekanan pasti ada,”
Tambah Subi, jawatannya itu akan digantikan dengan seorang yang berpengalaman di bidang radio dalam masa terdekat ini.
Subi mula menyertai Suria FM pada tahun 2008 menerusi jawatan Pengarah Program dan dilantik sebagai Pengurus Operasi pada tahun 2010.