Program realiti ‘Suara Viral 2.0’ ialah sebuah pertandingan nyanyian terbitan Astro Prima yang bermatlamat untuk mencungkil bakat baharu dalam bidang nyanyian tanpa mengira latar belakang bagi mewarnai persada seni hiburan tanah air. Penyertaan untuk musim kedua kini diluaskan kepada seluruh rakyat Malaysia dan warganegara yang memiliki status Pemastautin Tetap (PR) berumur 18 tahun ke atas. Peserta juga boleh menonjolkan bakat terpendam secara solo, duo, berkumpulan dalam bentuk band, busker atau penyertaan keluarga yang tidak melebihi enam orang ahli.
Seiring dengan perubahan trend hiburan semasa, program ‘Suara Viral 2.0’ bakal memperkenalkan pembaharuan daripada segi format serta senarai tarikan utama yang melibatkan barisan juri dan hos sebagai kelainan segar untuk terus kekal relevan.
Format penjurian untuk edisi kali ini pula akan menggunakan sistem liga yang ditentukan berdasarkan pemarkahan 100% oleh barisan juri profesional. Seramai enam peserta yang akan berentap secara kalah mati untuk setiap pusingan selama tujuh minggu. Juara mingguan secara automatik akan mara ke peringkat suku akhir untuk bersaing sekali lagi bagi menempah tempat ke pusingan akhir. Hanya empat finalis terbaik sahaja yang akan terpilih untuk beraksi di episod kemuncak bagi merebut gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta trofi.
Bagi menambahkan lagi keunikan musim terbaharu, ‘Suara Viral 2.0’ juga akan memperkenalkan konsep ‘Tangga Viral’ yang mana setiap peserta dikehendaki memulakan persembahan masing-masing dengan berdiri di kedudukan anak tangga teratas. Peserta juga perlu menyambut cabaran untuk menyanyi dalam suasana yang berlatarkan bayang silhouette bagi menambat hati juri berdasarkan kemantapan vokal dan bakat nyanyian semata-mata.
Jika juri terhibur dengan persembahan tersebut, mereka boleh menekan butang ‘buzzer’ yang berfungsi untuk menyalakan lampu di setiap anak tangga sekaligus akan mempamerkan wajah peserta dengan jelas.
Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Prima
“Bermula sebagai sebuah platform yang mengetengahkan bakat barisan pelantun suara bekerjaya yang tular di media sosial ke pentas komersial, kini jenama ‘Suara Viral’ sebagai program pencarian bakat diluaskan ke skala yang lebih besar untuk mencungkil bakat nyanyian di kalangan rakyat Malaysia dan penduduk tetap di negara ini sekaligus menzahirkan impian dan keinginan mereka untuk bergelar bintang,
Selain memberi ruang dan peluang kepada lebih ramai peserta berbakat di luar sana, penganjuran musim terbaharu menerusi edisi ‘Suara Viral 2.0’ juga pastinya lebih mantap dengan penambahbaikan daripada segi format asal pertandingan dan pertukaran barisan utama demi memastikan kandungan program ini sentiasa ‘up-to-date’ supaya kekal relevan sekaligus memberi pengalaman baru kepada audiens.
Kami juga amat berbesar hati dengan kehadiran nama-nama besar yang kesemuanya mempunyai latar belakang dan reputasi cemerlang kerana sudi berkongsi tip, pengalaman, ilmu dan kepakaran dengan keluarga ‘Suara Viral 2.0’. Peranan mereka dalam menjayakan program ini amat penting kerana setiap bimbingan dan inspirasi yang disalurkan kepada para peserta pastinya memberikan impak yang mendalam sekaligus membantu untuk mencorakkan permulaan perjalanan seni mereka dalam bidang hiburan.
Daripada segi penyertaan pula, sambutan untuk musim ini amat menggalakkan sekaligus menjadikan ia sebagai cabaran kepada pihak produksi Astro sendiri untuk menyenarai pendek barisan peserta yang benar-benar menonjol untuk diserap masuk.
Semoga pembaharuan yang diperkenalkan pada musim ini mampu melonjakkan kegemilangan jenama ‘Suara Viral’ ke peringkat yang lebih tinggi.â€
TRIVIA MENGENAI ‘SUARA VIRAL 2.0’
Penerbitan ‘Suara Viral 2.0’ turut disokong oleh aplikasi Astro Go dan portal Gempak selaku Rakan Digital Rasmi. SINAR juga turut hadir sebagai Rakan Radio Rasmi.
‘Suara Viral 2.0’ bakal menyaksikan empat penghibur tersohor tanah air dengan latar belakang portfolio seni yang bukan calang-calang iaitu Dato’ Hattan, Haqiem Rusli, Aina Abdul dan Marsha Milan yang diberi mandat untuk menduduki kerusi Juri Tetap.
Sementara itu, seorang Juri Jemputan dan seorang Juri Viral yang terdiri daripada barisan selebriti tanah airjuga turut diundang khas secara bergilir-gillir pada setiap minggu untuk menyertai barisan Juri Tetap bagi mengadili persembahan para peserta.
Bagi memberikan kelainan agar tidak klise, pelawak versatil yang cukup sinonim dengan teknik lawak tiru gaya atau impersonate, Danial Zaini serta pelakon dan penyanyi muda terkenal, Naim Danial diberi kepercayaan untuk menghidupkan pentas utama ‘Suara Viral 2.0’selaku Hos.
Selain itu, ‘Suara Viral 2.0’ juga turut membawa masuk khidmat dan kepakaran Cikgu Siti Hajar selaku Guru Vokal dan Alam Wakaka selaku Guru Persembahan Pentas untuk memberikan bimbingan kepada para peserta musim ini.
Berikutan pelaksanaan fasa PKP susulan penularan wabak Covid-19, sesi pencarian dan uji bakat untuk ‘Suara Viral 2.0’ telah diadakan secara online sepenuhnya sekitar bulan Jun dan Ogos yang lalu menerusi penyertaan yang dihantar di platform SINAR dan Gempak.
Juara ‘Suara Viral 2.0’ bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000. Manakala juara mingguan pula turut memenangi wang tunai RM1,000 sebagai insentif.
Info Siaran Rangkaian Program ‘SUARA VIRAL 2.0’
Rangkaian program ‘Suara Viral 2.0’ akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Prima (105) serta boleh distrim menerusi Astro Go dan On Demand.
Sebuah episod istimewa ‘Uji Bakat Suara Viral 2.0’ akan disiarkan pada hari Rabu, 10 November 2021, jam 10.00 malam.
Klip aktiviti para peserta sewaktu di kelas vokal akan dipaparkan melalui liputan kapsul ‘Jom Intai Suara Viral 2.0’ setiap hari Selasa, jam 7.00 malam mulai 16 November 2021. Manakala sedutan aktiviti perjalanan dan persiapan peserta sewaktu di belakang pentas sebelum konsert bermula akan disiarkan menerusi kapsul ‘Menjelang Suara Viral 2.0’ pada setiap hari Rabu, jam 7.00 malam mulai 17 November 2021.
Konsert mingguan ‘Suara Viral 2.0’ pula bakal ditayangkan pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam mulai 17 November 2021 selama 10 minggu.