Kebelakangan ini, Budiey dapat menerima banyak komen daripada pembaca tentang kemelut rumahtangga Maya Karin. Dalam pada itu, media juga disogokkan dengan kenyataan dibuat oleh media. Dan semalam, telah disiarkan kenyataan balas daripada suami Maya Karin yang mengatakan beliau tidak suka dan meminta agar Maya Karin berhenti buat statement berkenaan hubungan mereka.
KUALA LUMPUR: “Saya tak gembira dengan apa yang berlaku, tolong minta dia berhenti membuat komen di media,” kata suami kepada pelakon popular, Maya Karin, 31, berhubung kemelut rumah tangga dihadapi mereka.
Steven David Shorthose atau nama Islamnya, Muhammad Ali Steven, 41, berkata dia tidak bersetuju dengan tindakan isterinya yang juga Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-49 kerap membuat kenyataan di media akhir-akhir ini mengenai konflik antara mereka.
Katanya, walaupun tidak secara terperinci, Maya sepatutnya tidak mengulas mengenai status perhubungan mereka di media, apatah lagi tindakan itu didakwanya melanggar perjanjian dibuat mereka sebelum ini.
“Kami pernah buat perjanjian supaya masing-masing tak buat kenyataan media terutama berkaitan status hubungan kami. Dia sepatutnya menghormati perjanjian itu dengan tak mengeluarkan apa-apa kenyataan.
“Saya berharap dia cuma jawab ‘no comment’ (tiada komen) apabila ditanya…itu lebih daripada cukup berbanding kenyataan lain yang saya anggap lebih membuatkan masyarakat tertanya-tanya dan berteka-teki dengan apa berlaku.
“Secara dasarnya saya memang tak bersetuju dengan tindakannya. Dia patut berhenti beri komen,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.
Selepas lama mendiamkan diri dan menjadi pemerhati dengan membaca setiap kenyataan dibuat isterinya di media, guru sebuah sekolah antarabangsa itu akhirnya tampil membuat teguran, namun tidak bersedia bertemu media.
Kemelut rumah tangga dihadapi Maya dan Steven mula dihidu media sejak Februari lalu apabila mereka dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung berikutan berdepan konflik, namun belum bercerai.
Pasangan itu bernikah pada 14 Ogos 2008 dan melangsungkan perkahwinan dalam suasana romantis di tepi Tasik Como, Bellagio, Itali, disusuli majlis resepsi di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, pada 26 Ogos tahun sama selepas tujuh tahun bercinta.
Ditanya tindakannya bagi mengakhiri kemelut yang melanda perkahwinannya itu, Steven yang enggan mengulas lanjut berkata dia hanya berserah kepada takdir.
Bagaimanapun, dia mengakui masih menyayangi Maya yang dikenali tujuh tahun sebelum mengambil keputusan bernikah dan kes mereka setakat ini belum sampai ke peringkat penyelesaian di mahkamah syariah.
“Saya tak mahu mengesah atau menafikan kemelut atau status hubungan kami, tapi saya akui sayangkan Maya. Saya tak bawa pun kes ini ke mahkamah atau jumpa kaunselor perkahwinan,” katanya.
Mengenai khabar angin dia meletak jawatan sebagai guru dan pulang ke di England, Steven memberitahu dia tidak berhasrat meninggalkan negara ini serta kerjayanya sebagai pendidik.
“Khabar angin banyak tersebar di surat khabar dan Internet mengatakan saya tinggalkan negara ini, tapi saya ingin jelaskan saya tidak tinggalkan Malaysia, malah masih di Kuala Lumpur,” katanya tetapi tidak mahu memaklumkan lokasi kediamannya.