Diva pop Malaysia Anita Sarawak dan suaminya Mahathir Abdullah diserang empat perompak bersenjatakan parang di Taman Melawati pada 6 petang semalam. Di dalam kejadian yang tidak disangka-sangka itu, Mahathir telah ditetak di belakang kepalanya dengan parang ketika cuba mempertahankan diri. Keempat-empat perompak itu sempat melarikan diri menaiki motosikal setelah Mahathir melawan balik.
Anita ketika ditemui berkata, beliau dan suaminya telah pergi ke rumah ibu tirinya, seniwati terkenal tahun 50an Datin Umi Kalthum untuk menjemputnya menghadiri satu majlis berbuka puasa di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Ketika pasangan itu sampai di rumah Umi yang terletak di Taman Melawati, pemandu mereka Tan Ah Sing, 52, telah keluar dari kereta untuk memanggil Umi sementara Mahathir dan Anita duduk di dalam kereta. Sewaktu Tan keluar untuk memanggil Umi, beliau didatangi empat orang perompak yang menaiki dua buah motosikal.
Perompak-perompak itu telah merampas dompet dan telefon bimbit Tan. Sejurus melihat kejadian itu, Mahathir yang berbangsa Inggeris, telah menyuruh Anita duduk di dalam kereta dan mengunci pintu kereta demi keselamatannya sementara dia keluar untuk membantu Tan.
“Semasa dia (Mahathir) membantu sambil menjerit meminta tolong, perompak tersebut telah menetak bahagian belakang kepalanya. Mereka melarikan diri apabila melihat jiran-jiran meluru keluar dari rumah masing-masing untuk membantu,” kata Anita, 57, di Prince Court Medical Centre, di Jalan Tun Razak, semalam.
Anita yang terkejut dengan insiden tersebut masih kelihatan tenang. Namun ketika ditanya berapa jahitan yang diterima suaminya, beliau enggan komen. Keadaan Mahathir dilaporkan stabil. Pemandu Anita, Tan, bagaimanapun tidak mengalami apa-apa kecederaan.
Sesiapa yang mempunyai maklumat diminta menghubungi ibu pejabat polis Ampang Jaya di talian 03-4252 2222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. [sumber]