Segalanya Tentang Sukan Dalam Stadium Angkasa Musim ke-2 Mulai 25 Oktober 2011 di TV1
Setelah mendapat sambutan hangat di kalangan penonton menerusi edisi musim pertama siarannya, program bual bicara sukan Stadium Angkasa kembali bersiaran buat musim kedua mulai 25 Oktober depan.
Terdahulu program ini pernah membuka mata semua pihak dengan percubaan berani membangkitkan topik rasuah bola sepak menerusi salah satu episod musim pertamanya yang menyaksikan beberapa orang bekas pemain bola sepak membuat pengakuan dan hukuman yang diterima mereka akibat skandal rasuah. Hakikatnya program ini berani membongkar ‘realiti’ berlaku dalam industri sukan tanah air yang tidak pernah lagi terokai oleh program berbentuk sama sebelum ini.
Penerimaan baik penonton itu membuktikan program bual bicara dengan konsep santai yang membicarakan pelbagai topik dalam lingkungan sukan ini nyata menyumbang kepada penyampaian info dan kupasan topik ‘panas’ dan terkini berkaitan sukan tanah air setiap minggu.
Menarik mengenai program ini, ia bukan sahaja membicarakan tentang isu semata-mata malahan program ini turut membantu mempromosikan aktiviti sukan dan sebagai menyambung kehangatan Stadium Angkasa pada musim pertama, musim kedua ini masih mengekalkan konsep yang sama. Cuma pada masa sama sedikit penambahbaikan dilakukan bagi memantapkan program ini.
Bagi musim kedua ini, Hafizal Hamad ikon sukan RTM dikekalkan sebagai pengacara bergandingan bersama bekas juara sepak takraw negara, Azlan Mubin yang juga merupakan pengacara di RTM. Azlan yang berpengalaman selama 4 tahun di RTM dan juga sebelum ini pernah terlibat dalam pelbagai program seperti Wisel Penamat, Sorakan, Laporan Sukan Sea, Sukma, Sukan Asia dan banyak lagi.
Beberapa segmen baru turut diperkenalkan antaranya Sehebat Atlet, Aksi Terbaik, Inspirasi Sukan, Isu Panas dan Apa Dah Jadi. Menariknya penonton secara eksklusifnya akan berpeluang menyaksikan visual-visual lama yang berada dalam simpanan RTM.
Bagi usaha menyumbang kepada kelainan, program ini akan lebih memberi peluang kepada penonton di studio dan di rumah untuk berbicara dengan tetamu di ,ama mereka boleh menghubungi studio menerusi telefon ataupun laman sosial Facebook Stadium Angkasa.
Interaksi dengan penonton ini dilihat penting kerana penonton sebenarnya mempunyai banyak idea dan mereka lebih mengetahui apa yang mereka mahukan untuk program ini.
Cetusan idea disumbangkan dua orang penerbit baru; Kamarul Anuar dan Muhd Alim Mustofa, Unit Sukan RTM yang menyumbang tajuk dan isu-isu terkini dalam menjayakan program musim baru ini dan sekaligus menarik perhatian lebih lagi penonton yang mahu mengikuti perkembangan sukan dalam dan luar negara.
Justeru kepada peminat industri sukan, usah lepaskan peluang berkongsi informasi dan kupasan menarik sukan sepanjang sejam siarannya ini, setiap Selasa, jam 10.00 malam hanya di TV1.