Pada tahun 1996, kehadiran kumpulan Spider dalam dunia muzik tempatan dilihat hanya sebagai satu percubaan – satu taruhan berani dalam lautan muzik yang penuh cabaran dan persaingan. Namun siapa sangka, percubaan itu telah berkembang menjadi sebuah legenda muzik rock tanah air yang masih kekal utuh selepas hampir tiga dekad.
Berbekalkan tunjuk ajar dan pengaruh hebat dari maestro Dato’ M. Nasir, Spider tampil dengan karya-karya berkualiti tinggi seperti Nazraku, Aladdin, Relaku Pujuk, Kasih Latifah dan Cinta Dewa Dewi. Lagu-lagu ini bukan sekadar hits radio, malah menjadi soudtrack kehidupan ramai peminat yang membesar bersama muzik Spider.
Dengan rekod kemenangan Juara Lagu 2004 untuk Relaku Pujuk, serta pengiktirafan Album Pop Rock Terbaikmenerusi Nazraku di Anugerah Industri Muzik 2005, Spider tidak hanya mencipta fenomena, tetapi turut mengukir nama sebagai satu rujukan buat generasi pemuzik baharu.
Kini, selepas 29 tahun penuh warna-warni, Spider kembali dengan gaya yang lebih intim dan eksklusif melalui Spider Unplugged Concert yang akan berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2025. Konsert ini merupakan sebuah keraian muzikal istimewa, mengangkat kekuatan sebenar Spider bukan sekadar sebagai pemuzik, tetapi sebagai penghibur sejati yang tahu menyentuh emosi dan jiwa penonton.
Menurut Fandy Alias, wakil dari penganjur Naga Legend Entertainment, idea untuk mengadakan konsert unplugged bersama Spider disambut penuh semangat oleh kumpulan tersebut. “Menyebut sahaja nama Spider sudah membuatkan kami teruja. Konsep unplugged ini pertama kali ditampilkan bersama Spider. Kami yakin persembahan ini akan menjadi satu momen paling mewah dan berbeza untuk peminat,” jelasnya penuh yakin.
Spider yang kini terdiri daripada Tam (vokal), Aie (drum), Iss (bass) dan Pown (gitar), memandang serius setiap aspek persembahan yang akan dipersembahkan dalam Spider Unplugged Concert. Bagi mereka, ini bukan sekadar sebuah persembahan ‘asal boleh’ semata-mata.
Tam menjelaskan, “Spider tidak mahu sekadar naik ke pentas, goreng muzik dan balik. Kami utamakan konsep, kualiti bunyi dan kesiapsiagaan maksimum sebelum naik pentas. Hanya dengan itu kami boleh berikan yang terbaik dan benar-benar ‘kasi pecah panggung’.”
Tambah beliau lagi, konsert ini akan menjadi satu pengalaman baharu yang belum pernah dipersembahkan oleh Spider. Dengan sentuhan akustik, susunan lagu yang lebih emosional serta atmosfera yang lebih dekat dengan penonton, ia bukan sahaja akan menyentuh hati tetapi turut menggamit memori lama dan mencipta kenangan baharu.
Bagi peminat tegar, inilah peluang terbaik untuk menyaksikan sisi berbeza Spider – lebih jujur, lebih dekat dan lebih peribadi. Tiket-tiket telah mula dijual bermula 25 April 2025 jam 3 petang menerusi laman rasmi www.ilassotickets.com/spiderunplugged.
Harga tiket mengikut kategori adalah seperti berikut:
- RM198 (Kategori Aladdin – Free Seating)
- RM238 (Kategori Cinta Dewa Dewi – Numbered Seat)
- RM298 (Kategori Kasih Latifah – Numbered Seating)
- RM388 (Kategori Relaku Pujuk – Numbered Seating)
Jangan ambil mudah! Jika melihat kepada rekod Spider sebelum ini, tiket konsert mereka pernah ‘sold out’ sekelip mata. Maka jangan tunggu lama-lama – rebut peluang ini sebelum terlepas!
Apa Kata Budiey?
Spider bukan calang-calang kumpulan. Mereka bukan sekadar tampil dengan lagu popular, tetapi mereka membawa jiwa dan cerita dalam setiap karya. Konsert ini bukan sekadar acara hiburan tetapi juga satu manifestasi perjalanan seni yang sarat dengan pengalaman, pengorbanan dan cinta.
Konsep unplugged adalah simbol keberanian Spider untuk mencabar diri dan membawa sesuatu yang lain daripada kebiasaan. Dalam dunia muzik yang makin sarat dengan visual dan gimmick, Spider tampil dengan jiwa yang telus dan muzik yang tulen. Inilah kekuatan sebenar mereka.
Bagi Budiey, Spider Unplugged Concert ini adalah satu ‘must-watch’. Bukan sahaja untuk peminat setia, malah buat semua pencinta muzik tanah air. Kalau nak rasa semula magis muzik sebenar, inilah pentasnya!