Tidak dinafikan lagi, nama Sophia bukan lagi asing di persada seni hiburan tanah air. Sophia mula bertapak di dalam muzik industri tempatan sejak 2015 menerusi penampilannya bersama kumpulan De Fam, dan terus mengorak langkah sebaris dengan penyanyi dan rapper sedia ada.
Ternyata percaturannya dengan cubaan bergerak solo pada 2018 selain ingin mencabar diri membuahkan hasil. Semenjak itu, Sophia sudah berkolaborasi dengan beberapa artis tempatan. Antaranya, Dayang Nurfaizah, Hannah Delisha, Budak Ngam, Harith Zazman dan ramai lagi.
Lebih membanggakan juga apabila Sophia mula menggilap bakatnya dalam penciptaan lagu. Malah, sejak lagu pertama Supergirls bersama De Fam, Sophia sudah mula menulis lirik sendiri.
Terbaharu, Sophia, 33, atau nama sebenarnya Sophiatul Liana Mohamed Sobri muncul dengan single berjudul NAH yang juga hasil ciptaan oleh Sophia Liana bersama dengan Navigator, Mambang dan Zizi Kirana.
Menurutnya, lagu NAH itu berkisar mengenai isu yang berlaku dalam di kalangan masyarakat umum.
“Kalau kita tengok sekarang ini ada orang yang lebih gemar menuding jari atau menyalahkan orang lain. Saling menyalahkan antara satu sama adalah sikap yang sering berlaku dan kadangkala seseorang itu tidak melihat kepada kesilapan diri sendiri. Malah, ada juga yang tidak bertanggungjawab terhadap tindakan yang dilakukan. Ini adalah isu yang saya cuba mengadaptasikan menerusi lagu ini.
“Proses penulisan lagu ini berjalan dengan sangat lancar, mungkin disebabkan kami sudah perincikan mengenai kandungan apa yang dikehendaki. Jadi, proses rakamannya juga tidak begitu lama dan senang bagi kami untuk memilih rentak yang bersesuaian dan bagaimana cara untuk membuatkan lagu ini kedengaran lebih menarik. Selain itu, orang disekeliling saya memberikan aura positif yang membuatkan saya berasa sangat selesa di studio. Proses rakaman lagu ini mengambil masa tiga hingga empat sesi.
Mendapat bantuan daripada Zizi Kirana dan Mambang dari segi melodi terutama pada bahagian korus. Saya mengambil masa satu hingga dua minggu sebelum pergi ke studio untuk rakamkan demo dahulu. Saya akan rakamkan demo itu di rumah sebelum pergi ke studio untuk menyelesaikan sesi rakaman sebenar. Dari situ, kami lihat bahagian mana yang lemah untuk ditambah baik terutama dari segi melodi dan lirik,” katanya.
Sophia yang juga pernah muncul menerusi lagu Pedas nyanyian Wany Hasrita berkata, proses rakaman lagu NAH juga sangat menyeronokkan termasuk ketika menjayakan penggambaran video muzik.
“Proses rakaman muzik video pula hanya mengambil masa satu hari disebabkan pengarahnya sudah tahu apa yang ingin dilakukan dan memudahkan segala gerak kerja kami sebagai satu pasukan dan ianya mampu diselesaikan dalam tempoh yang singkat.
Berkongsi lebih lanjut, Sophia mengakui turut berdepan cabaran ketika menghasilkan lagu NAH.
“Untuk siapkan lagu dan muzik video tidak ada cabaran yang begitu berat. Mungkin cabarannya dari segi masa untuk mengumpulkan semua yang terbabit dalam satu masa. Selain itu, mencari ‘cameo’ untuk melakonkan watak yang dimahukan dalam muzik video ini juga ada sedikit cabaran, namun semuanya berjalan lancar dan dapat diselesaikan dengan baik.
“Sementara itu, konsep muzik video diketengahkan adalah mengenai isu semasa. Kami ada cerita yang ingin disampaikan kepada orang ramai. Terdapat empat penari kanak-kanak yang akan mewakili generasi muda. Ada juga ‘cameo’ yang akan terbabit dalam babak isu semasa.
“Isu pertama adalah pergaduhan antara pasangan yang sering menyalahkan antara satu sama lain. Senario kedua pula, memaparkan seorang penunggang agama sedang menggunakan telefon bimbit untuk menonton perkara lucah dan seorang lagi cuba untuk mengambil kesempatan ke atas seorang wanita,” katanya.
Berbekalkan mesej yang cuba disampaikan dalam lagu NAH, Sophia berharap orang ramai dapat menghargai lagu ini dan menyebarkan perkara positif yang terkandung kepada orang ramai atau di mana-mana sahaja platform media sosial.
“Semoga dengan sokongan terhadap lagu ini dapat memberikan impak positif terhadap industri muzik tanah air,” katanya.
Single NAH boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 23Jun 2023, muzik video juga ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Def Jam Malaysia.