Topik “Kualiti VS Kuantiti” Bersama Panel Komposer Julfekar, Tam Spider, Saiful Apek dan Erin Malik Dalam Program PING! Di TVi (Saluran 180 Astro)
Porgram bualbicara remaja yang membincangkan topik semasa dunia hiburan Malaysia, “PING!” bakal menemui penonton dengan sebuah lagi topik menarik, Kualiti vs Kuantiti pada 18 Februari ini, jam 9.30 malam menerusi TVi (Saluran 180 Astro).
Isu ini bukanlah sesuatu yang baru dalam industri seni kita kerana saban hari muncul pelakon atau penyanyi baru yang hadir dengan bakat masing-masing cuba meraih tempat di hati peminat seni. Tidak kiralah samada dalam bidang lakonan mahupun nyanyian.
Benarkah kita terlalu mengejar kuantiti daripada kualiti? Hakikatnya jika tiada kuantiti yang banyak kita tidak mampu untuk menghasilkan mahupun memilih yang benar-benar berkualiti. Jika sebaliknya pula industri ini akan dilihat sebagai ‘tangkap muat’ sahaja.
Topik inilah yang cuba dikupas dalam program PING! yang telah pun dirakamkan pada 3 Februari lalu bertempat di Seremban Parade, Seremban. Topik perbincangan yang hangat ini mengundang panel terdiri daripada komposer Julfekar, Saiful Apek, Tam Spider dan Erin Malik yang bakal berkongsi pendapat bernas mereka bersama penonton.
Menerusi segmen persembahan artis pula, tiga artis yang mempersembahkan lagu hebat masing-masing iaitu Grey Sky Morning, Tam Spider dan Min Yasmin.
Istimewanya program yang mengetengahkan pengacara Sonic dan Ninie KLfm ini turut dimeriahkan dengan gameshow bersama penonton.
Justeru kepada anda yang ingin mengetahui apakah intipati berkaitan tajuk yang diperbincangkan minggu ini, saksikan “PING!” hanya di TVi (Saluran 180 Astro).