So You Think You Can Dance musim ke-7 kembali di AXN
PROGRAM realiti pencarian penari terbaik di Amerika Syarikat, So You Think You Can Dance (SYTYCD), akan kembali ke saluran popular, AXN. Penciptanya, Simon Fuller dan Nigel Lythgoe mengemas kini formula cukup berjaya rancangan itu dengan memperkenalkan format baru, yang pastinya akan lebih mencabar keupayaan peserta.
Dalam rancangan yang penuh aksi dan air mata dan diacarakan personaliti British, Cat Deeley itu, kepelbagaian bakat tarian peserta diuji dengan lebih luas, termasuk menarikan tarian genre Quickstep, Jazz & Salsa, hingga ke Hip-Hop, Krumping dan Popping.
Juri Nigel Lythgoe (American Idol), Adam Shankman (Hairspray) dan Mia Michaels (Cirque du Soleil), bersama-sama pereka tari yang pernah memenangi Emmy, Wade Robson (pernah bekerjasama dengan Britney Spears dan N’Sync) serta Tyce Diorio (pernah mereka tari untuk Janet Jackson dan Ricky Martin), lebih berhati-hati memilih peserta sehinggalah mereka berjaya mencari si juaranya.
Selain dinobatkan sebagai juara, pemenang SYTYCD turut berpeluang menghiasi muka depan majalah, mewakili produk dan membawa pulang wang tunai bernilai RM763,000.
Menambahkan lagi kerancakan musim terbaru ini ialah 12 bintang alumni SYTYCD termasuk naib juara musim keempat, Stephen “tWitch” Boss (Step Up 3D), peserta Top 6 musim ketiga, Lauren Gottlieb (Disaster Movie, Hannah Montana: The Movie), dan naib juara musim keenam, Kathryn McCormick (Fame).
Setiap minggu, peserta akan memilih pasangan baru daripada 12 anggota alumni terbabit dan menari mengikut gaya kegemaran masing-masing. Kini, hasrat untuk mendapatkan pasangan serasi sepanjang musim sudah tidak dapat dikecapi lagi.
Juri berpendapat, format baru ini akan menaikkan lagi tahap pertandingan dan tarian peserta itu sendiri.
“Ia membawakan kekuatan dan profesionalisme yang jitu kepada pentas pertandingan. Persaingan kali ini pasti menjadi lebih sengit. Anda semua mengenali saya. Saya tidak mudah teruja dan tiada apa yang boleh membuatkan saya teruja. Namun, saya begitu seronok ketika menyaksikan persembahan peserta kali ini, ” kata Michaels.
Musim ketujuh turut diserikan dengan kemunculan ramai bintang ternama seperti Ne-Yo, Usher, Enrique Iglesias dan Natasha Bedingfield. Manakala Ellen Degeneres pula membuat kemunculan istimewa dengan menarikan tarian hip-hop yang cukup mencabar. Tentunya kemunculan mereka sesuatu yang tidak mahu dilepaskan peminat.
So You Think You Can Dance musim ketujuh ditayangkan mulai 24 Januari, jam 8.10 malam.