Kemuncak Slot Tribute P.Ramlee : “Selagi Cinta Berzikir” Karya Eirma Fatima Di TV1
Melengkapkan tayangan 10 telefilem terbaik mengisi Slot Tribute P.Ramlee di TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM) hujung minggu ini, 27 Januari 2013, jam 9.00 malam menyiarkan drama arahan Eirma Fatima bertajuk Selagi Cinta Berzikir.
Saksikan lakonan mantap pelakon Beto Kusyairy bergandingan dengan Sharifah Amani menjiwai telefilem yang diaspirasikan daripada lagu popular Tan Sri P.Ramlee bertajuk Berkorban Apa Sahaja ini yang turut dibantu oleh Dato’ Ahamad Tarmimi Siregar dan Azizah Mahzan.
Ia mengangkat kisah sepuluh tahun lalu, demi cinta, Nazira sanggup meninggalkan kemewahan keluarga untuk hidup bersama Fazli, seniornya ketika sama-sama menuntut di Universiti. Tekad Nazira untuk berkahwin dengan Fazli menyebabkan hubungan Nazira dengan ayahnya, Datuk Ramli menjadi dingin dan renggang. Ini kerana Datuk Ramli kurang senang bermenantukan Fazli yang bukan sahaja tidak tahu asal keturunan kerana dibesarkan di rumah anak yatim selepas diselamatkan dalam satu operasi membanteras kutu rayau, tetapi juga gagal mendapat sebarang pekerjaan selepas keluar dari Universiti. Fazli akhirnya bekerja sebagai makenik untuk menyara kehidupan.
Berlainan pula dengan ibu Nazira, Datin Mahani yang amat bersimpati dengan kehidupan Nazira dan Fazli yang serba kekurangan, tetapi tidak berani membantu Fazli kerana telah diugut oleh Datuk Ramli. Kononnya Datuk Ramli mahu Fazli berdikari. Pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa mereka hadapi untuk mendirikan rumah tannga.
Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk bernikah di Thailand. Malang tidak berbau kerana ketika dalam perjalanan, kawasan mereka telah diserang oleh penjahat yang cuba untuk menakluki kawasan itu. Fazli dan Nazira cedera. Fazli berasa kecewa kerana dia gagal menjaga Nazira. Kaki Nazira terpaksa dipotong kerana kecederaan yang teruk. Bagaimanapun Fazli tetap setia. Baginya Nazira tidak bersalah. Fazli nekad untuk hidup bersama Nazira biar apa pun yang berlalu. Bermulalah rutin baru dalam kehidupan Fazli. Dia sentiasa dihambat masa. Sebaik habis berkerja, dia akan bergegas pulang ke rumah untuk menjaga Nazira.
Fazli juga menjadi seorang yang sensitif. Nazira faham tekanan perasaan yang dilalui oleh Fazli.
Dia mula tabah berdepan dengan kemelut yang dihadapinya. Nazira dijaga dengan penuh kasih sayang. Dia sedar, Nazira amat menyintainya dan takdir telah menguji kesabarannya. Setiap hari, makan, minum, pakaian dan urusan diri Nazira dijaga sebaik mungkin. Kehidupan mereka sederhana tetapi bahagia.
Pada suatu hari, Fazli terpaksa balik lewat untuk mencari duit lebih. Nazira keluar dari rumah dan mencari Fazli. Nazira terserempak dengan beberapa penjahat dan mereka telah merogol Nazira. Fazli rasa bersalah dan semakin sensitif. Dia merasakan yang dia memang tidak layak untuk menjaga Nazira. Fazli telah menghubungi mak Nazira, Datin Mahani supaya mengambil Nazira semula.
Nazira marah tetapi dia menerima ketentuan takdir yang seandainya jika Fazli tidak mahu menjaganya lagi.