Bermula 1 Disember ini, Saluran Ceria Anda, ntv7 akan membawakan sebuah lagi sitkom menarik – New Girl – yang bakal menghiburkan para penonton dengan jalan cerita yang mencuit hati mengenai seorang gadis yang kini dalam usaha mengubah nasibnya. Bersiaran selama 24 episod, para penonton setia ntv7 bakal melekat di kaca TV pada setiap hari Sabtu, jam 11.30 malam menerusi slot L.O.L Hour.
Benarlah kata orang sekali tersungkur bukanlah bermakna selamanya seseorang itu menemui kegagalan. Malah sudah masanya anda memikirkan bagaimana menggunakan segala daya dan peluang yang ada untuk terus bangkit dan berjaya dalam hidup.
Inilah antara mesej yang bakal disampaikan melalui drama sitkom bersiri Hollywood – New Girl – yang mengisahkan Jessica “Jess” Day seorang guru sekolah rendah yang mencari permulaan baru dalam hidupnya setelah gagal dalam percintaan.
Jess lakonan Zooey Deschanel sebelum ini telah menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Siri Komedi di Critics’ Choice Television Awards dan dinamakan sebagai Pelakon Wanita Kegemaran dalam TV Guide Awards membawakan watak seorang gadis periang, optimis, lucu naïf, baik hati, dan suka berimaginasi.
Jess yang menyangka telah mempunyai kehidupan yang amat sempurna namun akhirnya dikecewakan kekasihnya. Bagaikan menerima tamparan hebat, Jess kini terpaksa mencari kediaman baru bagi melupakan segala kenangan pahit bagi meneruskan kehidupan.
Sementara itu plot menarik diteruskan dengan Jess yang tergesa-gesa membuat keputusan, akhirnya menyewa sebuah pangsapuri bersama tiga orang jejaka yang tidak dikenalinya – Nick Miller (Jake Johnson), Schmidt (Max Greenfield) dan Winston Bishop (Lamorne Morris) – yang hanya mengizinkan Jess berpindah ke pangsapuri mereka setelah mengetahui Jess memiliki rakan karib yang merupakan seorang model.
Ternyata kehadiran Jess bukanlah semudah yang disangkakan buat Nick, Schmidt dan Winston kerana Jess yang berputus asa dengan kehidupannya sering melakukan tindakan di luar jangkaan yang juga menyusahkan mereka bertiga. Namun apa yang lucu,
Jess sering mencipta lagu dan menyanyi secara spontan untuk disesuaikan dengan keadaan yang dialaminya. Sepanjang kisah ini, anda pastinya tertawa melihat telatah Jess dan hubungan karib menarik bersama tiga jejaka yang baru dikenalinya di pangsapuri mereka.
Menurut Airin Zainul, Pengurus Besar Kumpulan, ntv7 & 8TV, saluran ntv7 akan memastikan bahawa kesemua drama bersiri Hollywood yang mengisi slot L.O.L Hour yang diperkenalkan ini mampu menceriakan lagi para penonton secara berterusan.
“Sebagai Saluran Ceria Anda, kami yakin bahawa gelak ketawa merupakan penawar terbaik buat para penonton bagi mengurangkan rasa tekanan mereka tidak kira apa jua yang mereka alami. Oleh kerana itu, kami membawakan mereka rancangan sebegini agar mereka sentiasa rasa terhibur,” kata Airin.
Penonton juga bakal melihat Nick, Schmidt dan Winston yang sebelum ini hanya berniat untuk bertemu rakan-rakan peragawati Jess kini bertekad untuk mengubah keadaan dan penampilan Jess serta membantunya memulakan hidup baru.
Pelbagai cabaran dan dugaan akan dihadapi Nick, Schmidt dan Winston dalam membantu rakan serumah baru mereka. Adakah mereka akan berjaya menceriakan kembali hidup Jess? Cukup beranikah Jess untuk mengubah hidupnya? Nantikan New Girl yang bakal menemui anda 1 Disember ini, setiap hari Sabtu, jam 11.30 malam hingga 12.00 tengah malam di Saluran Ceria Anda, ntv7.
Untuk maklumat lanjut layari www.ntv7.com.my, atau ikuti perkembangan ntv7 di akaun Facebook dan Twitter.