Ditemui semasa Sarah melancarkan single berjudul Dap Dap Dap yang diadakan pada 7 Febuari lalu, Sarah ternyata gagal menahan perasaan ketika bercerita mengenai pengarah muzik itu. Sarah berkata, hubungan dengan arwah Lok U boleh disifatkan baik kerana pernah beberapa kali menjalinkan kerjasama dengannya. Justeru, apabila mendapat berita pemergian Lok-U, emosinya cukup terganggu sehingga penyakit kebimbangan melampau (anxiety) yang dihidapi kembali menyerang.
Sarah sepatutnya berkolaborasi bersama Lok-U untuk single bergenre balada yang akan dilancarkan selepas Aidilfitri ini.
“Saya terkilan kerana terlupa mengundang arwah ke majlis pembukaan kedai minuman, baru-baru ini.
“Sebelum ini, arwah pernah menyatakan hasrat mahu berniaga dan menjadi seperti saya. Saya beritahu, saya akan bantu jika mahu mencuba, tetapi hajat tak kesampaian.
“Itulah sesalan saya hingga hari ini, rasa bersalah sangat,â€Â
– Siti Sarah
Mengakui bersahabat baik dengan Lok U, Sarah berkata dia masih teringat perbualan akhir mereka menerusi mesej peribadi beberapa hari sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.
“Selepas dia meninggal, saya mengalami kebimbangan (anxiety) yang teruk… sebelum itu dia ada mesej saya bertanya mengenai pembukaan kafe Bubble Bee dan saya betul-betul tak ingat nak ajak dia datang pada waktu itu.
“Dalam perbualan itu dia ada bertanya mengenai bisnes dan saya kata kalau betul-betul berminat kita boleh bantu, saya tak pasti apa hajat dia sama ada nak buat bisnes atau hanya sekadar nak tengok-tengok dulu.
“Tapi nampaknya hajat dia tak kesampaian, sampai hari ini saya rasa sangat kesal kerana tak dapat memenuhi permintaannya itu,”
– Siti Sarah
Siti Sarah ditemui semasa majlis pelancaran single terbaharu nyanyiannya berjudul Dap… Dap… Dap… yang diadakan di pejabat syarikat rakaman Indigital Sdn Bhd di Metropolitan Square, Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat.
Seakan tahu ajalnya akan tiba, Lok-U seperti sengaja melengah-lengahkan susunan lagu yang diberikan Indigital Music, sedangkan pengarah muzik itu tidak pernah bersikap sedemikian sebelum ini. Sarah berkata, lagu itu sedap didengar dan mempunyai elemen seperti lagu Salam Terakhir dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.
Kata Sarah, arwah teruja untuk berkolaborasi dengannya. Malah, arwah antara orang yang percaya kepada bakat dan kebolehan ketika berasakan dirinya tidak disukai.
“Arwah sepatutnya menyerahkan susunan lagu baharu pada hari meninggal dunia. Susunan lagu ini perlu diserahkan lebih awal, tetapi arwah seakan sengaja melengah-lengahkan sedangkan sikapnya bukan begitu.
“Lok-U juga ada menghasilkan lagu untuk pemuzik yang terlebih dahulu pergi iaitu arwah Kelly. Lagu ini dihasilkan bersama arwah Aji, tetapi belum sempat siap Aji pula pergi mengikut jejak langkah Kelly tetapi arwah teruskan juga.
“Mulanya dia berhasrat untuk buat muzik instrumental, tetapi Indigital Music menyarankan nama saya dan dia bersetuju,”
– Siti Sarah
Sementara itu, Sarah berkata Lok U kerap memberikan kata-kata semangat kepadanya untuk terus kekal berada dalam industri muzik tanah air.
“Dia antara orang yang percaya pada bakat saya, kita semua tahu Lok U orang besar dalam industri dan dia selalu yakinkan saya dan beritahu saya ada bakat besar.
“Kalau nak tahu, sebenarnya kita ada perancangan untuk rakam lagu baharu menggunakan khidmat susunan muzik oleh Lok U tapi sekarang dia dah tiada!,”
– Siti Sarah
Siti Sarah akan tetap meneruskan projek tersebut meskipun tanpa komposer berkenaan.
Bercakap mengenai lagu Dap… Dap… Dap…, single terbaharu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi dan komposer muda, Yonnyboii.
Tampil dengan genre yang lebih segar, Sarah memberitahu dia mencari sesuatu kelainan dalam muzik dengan menggunakan tajuk lagu yang lebih catchy.
“Sejujurnya saya nampak bakat besar pada Yonnyboii dan berpendapat dia boleh pergi jauh dalam bidang ini, jadi tak salah kita bagi peluang.
“Kita ikut peredaran muzik semasa dan bawa kelainan berbanding genre sebelum ini, idea sepenuhnya dari Yonny sendiri dan boleh dikatakan 80 peratus adalah hasil kerjanya.
“Tentang tajuk lagu? Kita pilih Dap… Dap… Dap… sebab lebih catchy! Ada dua makna sama ada manis atau sedap, kalau guna tajuk ‘Manis’ tu terlalu klise, jadi kita pilih tajuk yang lebih mudah diingati,”
– Siti Sarah
Lagu tersebut kini sudah boleh didengar di semua platform digital dan video muzik (MV) akan akan dilancarkan tidak lama lagi.
Lok U meninggal dunia di rumahnya di Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor pada 22 Januari lalu kerana sesak nafas dan rebah selepas pulang melakukan aktiviti joging.